Roselle atau nama botanynya Hibiscus sabdariffa juga dikenali dengan nama ‘asam raya’ di kalangan penduduk tempatan. Roselle adalah tumbuhan dari famili Malvacae. Ianya mula diperkenalkan di Malaysia sekitar tahun 1990 iaitu di negeri Terengganu. Tanaman ini sesuai ditanam atas tanah bris dan gambut. Tanaman ini di tanam secara komersial di Malaysia untuk dapatkan kalix dan kelopak daripada bunganya. Namun pucuk dan akar pokok roselle juga digunakan dalam perubatan tradisional iaitu bagi mengubati masalah usus dan pelawas.
Kelopak dan kalix roselle mengandungi antosianin paling tinggi iaitu jenis delphinidin 3-O-sambubioside dan cyanidin 3-O-sambubioside (Obouayeba A. P et. al, 2014). Menurut sebuah laporan penyelidikan yang mengkaji kesan aktiviti antosianin, didapati bahawa antosianin juga dapat melindungi jantung (cardioprotective), mencairkan kolestrol (hypocholestrolemic), antioksida dan melindungi hati (hepatoprotective) (Ross I.A., et. al, 2003). Phytokimia lain seperti phenol, phenolic acid, flavonoids, phytic acid dan sterol juga wujud di dalam ektrak bunga roselle. Kajian makmal mendapati kalix dan kelopak roselle mengandungi kandungan vitamin C(Asid askorbik) yang tinggi iaitu sebanyak 260-280 miligram(mg) bagi setiap 100gram(g) kaliks kering. Selain itu biji roselle juga mengandungi nutrisi penting iaitu protein jenis globulin, albumin, glutelin dan prolamin (Fatoumata T., et. al, 2013). Tidak hairanlah jika ekstrak roselle dijadikan makanan dan minuman kesihatan, sebagai pewangi, perisa, pewarna, dan bahan tambah dalam pembuatan kostemik.
Sehingga hari ini beberapa varieti roselle telah dihasilkan dan antara yang terkenal adalah Varieti UMKL dan UMKL-2 yang telah ditanam secara komersial di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia. Tanaman rosel merupakan tanaman semusim dengan pokok bersaiz renik dan boleh tumbuh pada ketinggian 205 cm. Jangka hayat roselle ialah 6 hingga 10 bulan. Pokok mula berbunga pada pada usia 45 hingga 60 hari selepas ditanam dan sekuntum bunga akan keluar pada setiap ketiak daun. Buah rosel berwarna merah gelap dan akan matang pada umur 35 hari selepas bunga kembang.
Penanaman roselle
Penanaman roselle biasanya melalui biji benih. Benih benih roselle disemai terlebih dahulu di dalam bekas semaian selama 10 hari. Anak benih boleh dipindahkan di atas batas bertanah bris atau mineral. Penanaman rosel di tanah bris memerlukan penggunaan baja organik seperti tahi ayam dan baja sebatian NPK 15:15:15 dan NPK 12:12:17:2. Ini kerana tanah bris memang kurang subur dan perlukan lebih baja organik. Pengairan adalah penting dalam menanam rosel kerana ia adalah jenis tanaman yang responsif terhadap air. Sistem pengairan atas tanah atau renjis perlu dibina.
Penyakit kulat yang penulis biasa jumpa dan menyerang rosel adalah Reput Daun (Coniella rnusaiaensis var.Hibisci) dan Reput Batang (Phoina spp). Kejadian ini mudah berlaku sewaktu musim hujan dan sistem saliran kurang sempurna. Cara Kawalan disyorkan dengan menggunakan racun kimia seperti jenis Carbendazim pada 0.05%. Serangga perosak yang biasa menyerang Rosel adalah bena hijau, kumbang dan kutu (Podogrica gemelle, Phylloreta spp.). Kawalannya boleh dilakukan dengan menggunakan Deltamethrin, Fenvalerate atau Carbaryl.
Pungutan dilakukan secara manual dengan memotong buah menggunakan gunting. Buah roselle yang dituai perlu disimpan di tempat sejuk untuk melambatkan pengurangan phytokimia selepas dituai.
Penanaman roselle mampu untuk menambah pendapatan sampingan memandangkan roselle boleh diproses sendiri dirumah untuk dijadikan jus, jem, halwa, jeli, jeruk dan sebagainya. kepada mereka yang berminat untuk menjadi usahawan tani, mereka boleh memulakan impian dengan penanaman roselle.
Reference:
1. Obouayeba A. P., Nazaire B., Diabate S., et. al, (2014). Phytochemical and Antioxidant Activity of Roselle (Hibiscus sabdariffa) Petal Extract. Journal of Pharmaceutical. Pp 1453.
2. Fatoumata T., Tidjani A., Camel L., Guo-wei L., and Yong-Hui S., (2013). Extraction, Characterization, Nutritional Function Properties of Roselle (Hibiscus sabdariffa Linn) seed Protein. Journal of Science. Pp 159-166.
- Penanaman buah naga - November 28, 2016
- Sekuriti Makanan - November 16, 2016
- Sarang Burung Walit - November 14, 2016