Sekuriti Makanan

“Makanan perlu untuk kelangsungan hidup”. Begitulah pentingnya makanan kepada manusia. Makanan bukan saja membekalkan tenaga kepada tubuh malah membekalkan nutrient untuk tumbesaran dan kesihatan tubuh. Kekurangan bekalan makanan di suatu kawasan menyebabkan berlakunya kebuluran.

Sekuriti makan diinterpret secara berlainan. Di peringkat antarabangsa, sekuriti makanan membawa maksud pertanggungjawaban semua negara bagi memastikan pasaran dan harga makanan stabil. Di peringkat kebangsaan, sekuriti makanan bermaksud keupayaan memastikan penawaran makanan yang stabil dalam pasaran domestik. Di tahap perseorangan pula, ianya bermaksud kecekupan bekalan makanan yang memenuhi keperluan ( Noorfazreen M.A dan Asmak A.B, 2011). Dasri sudut Islam pula, sekuriti makanan merujuk kepada bekalan makanan yang halal dan tayyibah yang cukup untuk kehidupan (definisi oleh Asmak berdasarkan surah al Quraisy,106:4).

Secara amnya sekuriti makanan bukan saja berkaitan bekalan makanan yang berpanjangan dan mencukupi serta harga yang mampu milik, malah sekuriti makanan juga merujuk kepada makanan yang berkhasiat, selamat dan halal. Menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-bangsa Bersatu, aktiviti pertanian telah berjaya meningkatkan pengeluaran makanan dunia beratus-ratus kali ganda. Ini menunjukkan sumbangan pertanian kepada industri makanan sedunia.

Di dalam sekuriti makanan, terdapat beberapa komponen penting iaitu

a) Ketersediaan makanan – makanan dibekalkan secara cukup dalam pasaran domestik.
b) Akses makanan – makan boleh diperolehi dengan mudah
c) Penggunaan makanan – penggunaan makanan yang lengkap dan berterusan.
d) Kestabilan – setiap isi rumah mesti memiliki makanan walaupun ketika berlaku krisis ekonomi dan sebagainya.

Halal adalah elemen penting dalam menentukan sekuriti makanan. Makanan halal mesti dihasilkan dengan kaedah yang menitik beratkan kebersihan dan ketertiban dalam proses pembuatannya serta persekitaran yang bersih. Halal merangkumi semua bermula dari ladang sehingga ke produk akhir makanan. Panduan lain yang dilaksanankan bagi menentukan sekuriti makanan adalah GMP dan HACCP. Kedua-dua panduan ini turut menekankan proses pembuatan makanan yang bersih, sihat dan selamat seperti halal.

Dasar Sekuriti Makanan telah dilaksanakan di Malaysia sejak sebelum merdeka lagi melalui Dasar Padi dan Beras Negara. Namun dasar ini hanya memberi penekanan kepada penghasilan beras iaitu makan ruji bagi rakyat Malaysia. Setelah berlaku krisis makanan dunia, kerajaan telah menggubal Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara dan telah diluluskan pada tahun 2008. Dasar ini memberi jaminan sekuriti makanan yang mencukupi bagi negara ini. Melaluinya Dasar pertanian Negara diperkasa memandangkan sektor pertanian merupakan tunjang utama kepada sekuriti makanan di Malaysia.

Tuntasnya, aktiviti pertanian sangat penting kerana ianya merupakan nadi kepada kecukupan bekalan makanan sesebuah negara. Sekuriti makanan tercapai apabila penduduk di suatu tempat memperoleh makanan berkhasiat yang cukup pada setiap masa. Makan tersebut mestilah bersih dan tidak memudaratkan pengguna. Dalam Islam, sekuriti makanan merupakan perkara yang amat dititikberatkan sehingga ada dijelaskan di dalam al-Quran. Di Malaysia terdapat beberapa dasar yang berkaitan dengan sekuriti makanan dan dasar-dasar ini digubal untuk memastikan sekuriti makanan terjamin.

saliha nasrul
Latest posts by saliha nasrul (see all)
This entry was posted in Info and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply