Berita Tani 2 hb April 2017

Jihad transformasi strawberi usahawan muda

CAMERON HIGHLANDS 1 April – Menjadikan strawberi sebagai perniagaan utama, seorang anak muda berusia 28 tahun dari Brinchang, mempunyai cita-cita yang cukup besar untuk empat tahun akan datang.

Sebaik menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Bioteknologi di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2011, Sharol Hafizi Jamaludin tidak teragak-agak untuk terjun menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

Biarpun mengakui sukar untuk mendapatkan pinjaman bank selepas bergelar graduan, dia memulakan satu perniagaan keluarga dengan bermodalkan RM100,000 hasil ‘pinjaman’ kedua ibu bapanya.

Bapanya, Jamaludin Lawani, 62, merupakan seorang usahawan pertanian dan juga kontraktor sementara ibunya, C Wan Noraini C Wan Ahmad tidak bekerja.

Biarpun tidak memiliki sebarang pengalaman dalam pengendalian penanaman strawberi, menerusi penubuhan syarikat SH Agro Highlands Sdn. Bhd., Sharol Hafizi membuka kebun tanaman itu dengan menggunakan teknik aerofertigasi yang dibangunkan serentak dengan pembinaan lapan unit chalet di Brinchang.

Uniknya, kebun berkenaan didirikan ‘tergantung’ kira-kira tiga meter dari paras tanah, justeru dapat menjimatkan ruang sekali gus menghidupkan suasana chalet dalam kebun strawberi yang pertama seumpamanya di Cameron Highlands.

Ternyata usaha tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya memenangi pertandingan ‘Rural Business Challenge’ (RBC) di bawah kelolaan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) bagi kategori pengembangan perniagaan pada tahun 2013.

Usaha gigih usahawan muda ini kemudian diteruskan lagi dengan penambahan 24 lagi bilik di chalet berkenaan selain penyediaan ruang makan, santai barbeku serta dewan seminar yang boleh memuatkan sehingga 30 orang.

Pada tahun lalu, Sharol Hafizi maju setapak lagi dalam perniagaannya apabila membuka sebuah pusat jualan milik bumiputera berskala besar di Cameron Highlands yang dijenamakan sebagai Sky Farm CH.

Pusat jualan tersebut bukan sahaja menawarkan produk makanan dan kraftangan berasaskan strawberi, malah pengunjung berpeluang membeli pelbagai jenis anak pokok selain bersantai di kafe dengan berlatarbelakangkan air terjun semula jadi beserta mini zoo.

Lebih menarik, orang ramai turut berpeluang memetik buah strawberi secara segar di kebun yang turut dibangunkan secara aerofertigasi, justeru kelihatan tergantung di atas pusat jualan tersebut.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih khususnya kepada MARA Pahang yang banyak memberikan bantuan. Pada tahun 2014, saya mengikuti program Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) yang mengajarkan saya tentang nilai-nilai asas seorang usahawan.

“Pada tahun lalu, saya juga terpilih untuk menerima bantuan geran latihan perniagaan di bawah MARA melalui program Pembangunan Standard Perniagaan (PSP) yang dipantau oleh syarikat perunding selama setahun.

“Dari situ, saya diajar bagaimana untuk menstruktur serta memperkembang syarikat termasuk dari segi perakaunan, operasi dan pentadbiran,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut Sharol Hafizi, ketika ini pengeluaran buah strawberinya boleh mencecah sehingga 200 kilogram seminggu dan operasi perniagaannya telah berjinak-jinak ke arah memproses produk hiliran termasuk jem dan kordial.

Namun begitu, menjelang tahun 2021, dia meletakkan sasaran untuk menghasilkan pengeluaran strawberi mencecah satu tan seminggu dengan jangkaan jualan sehingga RM10 juta setahun.

“Saya kini merancang penambahan kebun strawberi di atas tanah seluas kira-kira empat hektar di Lembah Jasar, Tanah Rata yang telah dikenal pasti dengan dilengkapi pembinaan 100 unit chalet berkonsepkan kontena.

“Melalui projek ini, saya ingin melakukan tranformasi penanaman strawberi dengan membangunkan kawasan tersebut sebagai pusat agropelancongan.

“Pada masa sama, syarikat saya juga akan menjadi koordinator kepada pembangunan 20 orang usahawan belia di Cameron Highlands yang mana kita akan bimbing dan pantau selain dibantu dari pemasaran,” katanya.

Sehubungan itu, Sharol Hafizi mengakui, bagi menjayakan impian yang disifatkannya sebagai suatu jihad perniagaan dan tidak mementingkan keuntungan semata-mata; dia amat memerlukan sokongan daripada beberapa agensi termasuk termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pemenang Anugerah Usahawan MARA 2017 bagi kategori belia peringkat kebangsaan itu turut mengakui kekangan modal merupakan antara cabaran yang dihadapinya selain perlu mengusai penggunaan teknologi terkini berkaitan penanaman, pembenihan serta pemprosesan produk strawberi.

Sehubungan itu, dia amat mengalu-alukan sokongan mana-mana pihak termasuk dari segi kajian dan pembangunan (R&D) berkaitan strawberi ekoran tranformasi yang ingin direncanakan itu memerlukan anggaran kira-kira RM5 juta untuk fasa pertama.

“Dalam perniagaan, saya sentiasa meletakkan diri sebagai kurang bijak dan perlu belajar daripada orang-orang yang mempunyai kepakaran. Saya percaya, ilmu itu jangan lokek untuk dikongsi kerana kita akan peroleh lebih daripada apa yang kita berikan pada orang lain.

“Jika Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mempunyai legasinya sendiri dalam bidang perniagaan, saya juga ingin melakukan perkara sama,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/bisnes/ekonomi/jihad-transformasi-strawberi-usahawan-muda-1.464661#ixzz4d4ca3la3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Berita Tani, Strawberi and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply