Industri sarang burung walit berkembang disebabkan oleh nilai eksotik dan kepercayaan bahawa sarang burung walit berkhasiat untuk memulihkan tenaga, meningkatkan daya tahan penyakit, melegakan asma dan mampu merawat sel kulit sebagai agen antipenuaan. Kepercayan masyarakat Cina tentang khasiat dan nilai eksotik sarang burung bermula semenjak penemuan sarang burung dan penggunaannya oleh pedagang Cina semasa pelayarannya ke nusantara untuk mencari produk tropika sebagai bahan perubatan tradisional Cina pada abad ke-15.
Kepercayaan mengenai khasiat dan kesukaran mendapatkan bekalan sarang burung menyebabkan komoditi ini menjadi makanan yang eksotik dan mendapat nilai yang tinggi di pasaran. Namun begitu, khasiat sarang burung ini masih belum dibuktikan secara saintifik dan permintaan di kalangan pengguna adalah berasaskan tanggapan dan kepercayaan semata-mata. Kajian saintifik pada umumnya hanya membuktikan bahawa sarang burung mempunyai nilai protein yang tinggi, mengandungi nilai perubatan, merawat penyakit dan menjadi agen antipenuaan. Penerokaan secara saintifik mendapati ekstrak daripada sarang burung walit mampu mengekang virus 60 selesema. Kajian ini merujuk kepada penemuan awal yang mendapati tonik sarang burung menggalakkan proses mitosis hormon dan menggalakkan pertumbuhan sel kulit serta sistem imunisasi. Walau bagaimanapun, penerokaan yang lebih mendalam dari segi aplikasi kepada manusia masih di peringkat awal.
Buat masa ini banyak syarikat pengeluar mengeksploitasi keyakinan pengguna terhadap sarang burung terutamanya syarikat pengeluar perubatan tradisional Cina dengan mempelbagaikan produk berasaskan sarang burung untuk pasaran domestik dan antarabangsa. Antara produk berasaskan sarang burung ialah tonik sarang burung, makanan kesihatan untuk ibu mengandung dan pelbagai minuman serta tonik untuk kesihatan.
Burung Walit seringkali disalah ertikan sebagai burung layang-layang tetapi hakikatnya ia adalah dua spesies yang berbeza. Burung Walit berasal daripada keluarga ‘Apodidae’ dan mempunyai tabiat tidak suka bertenggek. Sarangnya pula boleh dimakan dan terdapat tujuh spesies kesemuanya. Terdapat hanya dua spesies burung walit yang sarangnya boleh dimakan iaitu ‘Aerodramus Fuciphagus’ (edible nest-swiflet) dan ‘Aerodramus Maximus’ (black nest-swiflet). Kedua-dua spesies ini banyak ditemui di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.
Untuk bersarang, burung walit memerlukan suhu di sekitar antara 26-31°C dan kebiasaannya hidup berpasang-pasangan. Anak burung walit yang baru menetas akan buta selama 20 hari dan apabila berusia 7-9 hari, ia akan mula memakan bolus serangga dan mula minum pada usia 10 hari. Burung walit gemar memakan serangga dan segala aktiviti yang dilakukan adalah ketika terbang kerana spesies ini tidak dapat bertenggek. Aktiviti tersebut termasuklah makan, minum, dan mengawan. Kesemua aktiviti ini akan dilakukan di udara dan ia hanya akan pulang ke sarang pada waktu senja untuk berehat dan bertelur.
Permintaan terbesar bagi pasaran sarang burung walit kini tentulah dari negara China yang mempercayai khasiat produk ini sejak ratusan tahun dahulu. Sarang burung walit mendapat permintaan yang tinggi di China di mana sup sarang burung itu dilihat menjadi pengukur kepada status seseorang individu. Harga bagi satu kilogram produk tersebut pula mencecah RM4, 000 hingga RM6, 000 untuk pasaran tempatan dan boleh mencapai hingga RM12, 000/kg di pasaran dunia. Purata permintaan bagi seluruh dunia untuk produk ini adalah sekitar 12, 000 tan metrik setahun, namun jika dicampur pengeluaran dari semua negara-negara sekitar Asia Tenggara, kita hanya mampu menghasilkan sehingga 500 tan metrik sahaja.
Penternakan sarang burung walit kini dikuasai lebih dari 90% oleh kaum bukan bumiputera kerana dek kesedaran awal mereka bahawa industri ini mampu memberikan keuntungan yang lumayan. Mereka sedar dengan hanya mengeluarkan modal sekali sahaja untuk memulakan industri ini, keuntungan yang bakal dituai adalah untuk selama-lamanya. Premis hendaklah dibina di atas tanah pertanian atau perusahaan pada jarak minima 100 meter dari kawasan kediaman. Di samping itu juga, kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan perlu diperolehi terlebih dahulu. Reka bentuk bangunan perlulah berdasarkan kepada kehendak dan keperluan burung bagi menjamin burung walit akan terus menetap di situ. Pengubahsuaian premis dilakukan untuk menjadikan suasana dalamannya sama dengan gua, terutamanya ciri-ciri gelap dan lembab.
Rumah untuk burung walit juga perlu disediakan dengan ‘roving room’ kerana semasa memasuki bangunan burung walit akan berputar-putar dahulu mengikut putaran jam sebelum menuju ke sarangnya. ‘Resting room’ perlu disediakan sebagai tempat untuk burung walit berehat dan membina sarang. Lubang untuk burung keluar dan masuk sesuai diletakkan di bahagian atas bangunan dengan arah bertentangan daripada matahari naik atau jatuh bagi menjaga pencahayaan di dalam bangunan.
Isu utama yang dihadapi oleh pengeskport sarang burung negara ialah kadar pencemaran nitrat yang tinggi dan pengeluaran sarang burung tiruan yang menggunakan jenama Malaysia sebagai sumbernya. Di samping itu, terdapat juga hasil kajian yang memaparkan kesan negatif terhadap kesihatan akibat memakan sarang burung walit. Usaha perundingan perdagangan dan diplomatik di peringkat kepimpinan tertinggi dan pegawai-pegawai kerajaan secara dasarnya telah berjaya menyelesaikan pertenglingkahan yang timbul. Rundingan dan persetujuan dalam beberapa perkara sedang giat dijalankan. Antaranya kejayaan menetapkan paras minimum nitrat dalam sarang burung daripada paras nitrat 0 bahagian perjuta (ppm) kepada paras nitrat 30 ppm, penggunaan identifikasi pengesanan radio frekuensi (RFID) bagi tujuan mengesan sumber sebenar sarang burung secara sukarela.
Unjuran perkiraan secara konvensional yang baik tidak dapat dibuat disebabkan tiada jaminan semua rumah burung walit yang dibina akan dimasuki oleh burung walit. Faktor sebenar yang mempengaruhi burung untuk memasuki sesebuah rumah burung masih menjadi persoalan dalam industri ini. Sehingga kini tiada anggaran yang tepat berhubung tempoh masa burung mula membuat sarang dan jumlah kutipan sarang burung dari mula rumah burung walit beroperasi diterima umum. Lazimnya saiz dan populasi burung serta pelbagai faktor luaran alam sekitar, pencemaran dan kewujudan bekalan serangga sebagai makanan burung dianggap faktor yang mendorong burung untuk membuat sarang di rumah yang dibina.
Persaingan dan cabaran dari segenap dimensi sememangnya wujud dalam membangunkan industri ini. Namun prospek industri masih terbuka luas. Produk ini masih mempunyai potensi untuk berkembang disebabkan kepercayaan pengguna terhadap khasiat, nilai eksotiknya dan nilai pemakanan dari segi protein dan mineral yang tinggi. Dari aspek pasaran pula, negara China kian berkembang dan pertumbuhan pesat ekonominya masih berterusan. Pertumbuhan ekonomi meningkatkan golongan rakyat berpendapatan tengah dan tinggi yang menjadi kumpulan pengguna utama sarang burung walit. Di samping itu, pertumbuhan China Town di seluruh pelusuk dunia sejajar dengan pertumbuhan pelaburan luar negara China di benua Amerika, Afrika dan Asia Barat akan membawa bersama budaya pemakanan mereka. Ini ditambah pula dengan peningkatan kadar rakyat China yang berhijrah dan melancong ke luar negara turut memberi impak positif terhadap permintaan sarang burung di seluruh dunia.
Selain itu kempen dan promosi berkaitan kebaikan produk sarang burung walit memungkinkan pengguna di kalangan bukan etnik China bertambah pada masa akan datang. Aspek pemprosesan dan permintaan sarang burung sebagai bahan mentah atau ramuan dalam perubatan tradisi China juga merupakan satu lagi aspek yang membawa kepada pertumbuhan pesat dalam permintaan sarang burung ini.
Pemantuan yang semakin meningkat menunjukkan industri ini berpotensi untuk berkembang lagi. Bagi mengekalkan industri ini untuk terus lestari kerjasama antara pihak berkuasa, pengusaha dan pedagang perlu digembleng dalam semua aspek rantaian nilai membabitkan pengeluaran, pemprosesan dan perdagangan. Sistem pengeluaran rumah walit perlu dipantau bagi memastikan penyelenggaraan dan pembinaannya tidak menimbulkan pertikaian akibat gangguan bunyi, bau dan najis burung. Ancaman penyakit bawaan yang berpunca daripada sistem penyelenggaraan premis perlu dikawal. Bagi kaedah pemprosesan, pengusaha perlu mengambil langkah dan pengurusan yang betul tanpa mengguna kaedah yang boleh menjejaskan kualiti dan mencemarkan produk dengan bahan pembersih yang tidak mematuhi aspek keselamatan makanan.
Sistem perdagangan juga perlu dipantau untuk mengelakkan penyalahgunaan sumber produk tiruan dan kemasukan sumber dari negara yang tidak diiktiraf dan mengamalkan urus tadbir industri yang diiktiraf oleh negara pengimport. Dari segi bantuan dan insentif kerajaan pula, ia perlu diperluaskan kepada sokongan pemasaran dan promosi yang mantap untuk menangkis propaganda negatif oleh sesetengah pihak terhadap sarang burung walit negara.
Di peringkat pengguna pula mereka kini lebih peka dan berpengetahuan. Pengguna masa kini mementingkan mutu dan kualiti produk dari aspek jaminan kebersihan dan kesihatan, sumbangan nilai nutrisi produk makanan kepada kesihatan dan kepekaan kepada isu pematuhan alam sekitar dan kebajikan haiwan menjadi semakin ketara. Dengan itu pengusaha dan pihak berkuasa sewajarnya membina satu sistem yang diterima pakai oleh pengguna meliputi kepentingan menjamin kehendak kesihatan pengguna dan penjagaan alam sekitar serta sensitif kepada kebajikan haiwan.
- Salam Ramadan 1443H / 2022 - April 3, 2022
- Kepentingan Batas Tanaman - January 24, 2022
- Skim Pelaburan untuk Usahawatani - January 16, 2022