Zaman ilmu di hujung jari ini menjadikan pengguna kini semakin cakna dengan kesihatan dan keselamatan produk pertanian. Oleh yang demikian, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyeru para pengusaha dan pengeluar produk pertanian bagi mendapatkan Sijil Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM). Sijil SALM merupakan satu jaminan pengeluaran produk pertanian yang berkualiti tinggi. Sijil SALM telah dilancarkan sejak tahun 1992 lagi.
SALM merupakan satu inisiatif untuk membantu meningkatkan nilai pasaran produk pertanian dengan meraih kepercayaan daripada pengguna dan dalam masa yang sama dapat meminimakan impak kemusnahan terhadap alam sekitar dengan mengurangkan penggunaan agro-kimia.
Para peladang yang berminat untuk meningkatkan mutu pertanian dan hasil kerja boleh mengemukakan permohon sijil SALM daripada Jabatan Pertanian. Selepas mengemukakan permohonan, persediaan perlu dibuat sebelum menerima kunjungan dari Juruaudit yang dilantik oleh Jabatan Pertanian. Juruaudit akan menjalankan pemeriksaan ladang, pemerhatian rekod ladang yang disimpan oleh pengusaha dan pemeriksaan tempat pengambilan sampel hasil ladang untuk tujuan analisa di makmal. Penilaian dibuat berdasarkan garis panduan GAP (Good Agriculture Practice) dengan mengambil kira pengurusan tanah dan bahan substrat, penggunaan bahan tanaman dan input, pembajaan, kawalan perosak, pengendalian lepas tuai, pengurusan sisa ladang, pengredan, pembungkusan dan perlabelan.
Berikut adalah syarat-syarat yang mesti dipatuhi oleh pengusaha lading untuk mendapatkan sijil SALM:
1. Diusahakan secara sah.
2. Mempunyai laporan pemeriksaan tanah.
3. Mempunyai ladang di kawasan cerun yang bersesuaian.
4. Mengusahakan ladang di paras 1000 meter dari aras laut.
5. Mengamalkan langkah pemulihan tanah.
6. Menyimpan rekod ladang dengan sempurna.
7. Tidak menggunakan enapcemar untuk pembajaan.
8. Tidak menggunakan GMO (genetically modified origin).
9. Menggunakan racun perosak yang berdaftar sahaja.
10. Mengamalkan IPM (intergrated pest management).
11. Memastikan pekerja memakai pakaian yang sesuai.
12. Mempunyai tempat penyimpanan racun yang selamat.
13. Mengamalan ‘harvesting system’ yang bagus.
14. Mengamalkan pengurusan sisa pertanian yang baik.
15. Menggaji pekerja sah berumur lebih dari 16 tahun.
16. Mengeluarkan hasil pertanian yang mempunyai residu racun perosak di bawah paras MRL mengikut Akta Makanan 1983.
17. Mengeluarkan hasil pertanian yang mempunyai kandungan logam berat arsenic, plumbum, mercury, cadmium di bawah paras yang dibenarkan mengikut Akta Makanan 1983.
Sijil SALM hanya akan diberikan kepada pengusaha ladang yang mematuhi segala syarat yang telah ditetapkan. Pensijilan ini sah untuk tempoh 2 tahun sahaja dan perlanjutan sijil ini bergantung kepada penyimpanan rekod ladang oleh pengusaha dan hasil analisa produk pertanian yang dilakukan secara berkala.
Industri pertanian dan pengeluaran makanan mempunyai masa depan yang cerah dengan pelbagai insentif dan galakan daripada kerajaan. Pertubuhan peladang juga menyediakan kursus bagi pengusaha ladang dan petani bagi mempelbagaikan system tanaman seterusnya meningkatkan hasil pengeluaran. Sektor pertanian di Negara ini mampu berkembang lebih maju dengan menaiktaraf teknologi perladangan, lepastuai dan keselamatan makanan ke tahap lebih tinggi.
- Penanaman buah naga - November 28, 2016
- Sekuriti Makanan - November 16, 2016
- Sarang Burung Walit - November 14, 2016