KELIP KELIP KG KUANTAN KUALA SELANGOR

Pengalaman menyelusuri sungai menggunakan sampan membelah kepekatan senja sambil menyaksikan suasana yang mengasyikkan, keajaiban atau magis seperti pokok krimas berlampu adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh para pengunjung yang datang ke kawasan pelancongan Kelip Kelip Kuala Selangor. Perasaan berdebar dan teruja menguasai diri setiap pelancong yang datang kerana ingin menyaksikan suatu pemandangan yang unik dan jarang boleh dilihat ditempat lain. Menyaksikan sendiri suatu keindahan ciptaan Allah swt menambahkan lagi keyakinan dan keimanan kita mengenai kekuasaanNya.

Di dunia, hanya Malaysia dan Brazil (Iklim khaltulistiwa) terdapat serangga unik ini. Kadar kerlipan cahaya serentak dari serangga ini menjadikannya sangat unik dan tidak boleh didapati di tempat lain di dunia ini. Kadar kerlipan adalah 3 kerlipan sesaat dan ianya hanya boleh disaksikan dengan mata kasar sendiri dan amat sukar untuk diambil menggunakan kamera berkuasa tinggi. Keunikan serangga ini menjadi bualan masyarakat dunia sehingga menarik perhatian pelancong dari luar negara terutama negera eropah, timur tengah, benua Australia dan Asia Tenggara untuk datang ke sini bagi menyaksikan keunikan tempat ini.

Ianya terletak di sebuah perkampungan kecil di Kg Kuantan, Kuala Selangor kira kira 56km dari ibu negera Kuala Lumpur. Majlis Daerah Kuala Selangor adalah agensi yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengawal selia kawasan pelancongan ini. Agensi ini juga menjalankan aktiviti pemasaran dan mendapat kerjasama dengan Kementerian Pelancongan Malaysia serta Kerajaan Negeri Selangor dan akhirnya kawasan pelancongan Kelip Kelip Kg Kuantan ini telah digazetkan sebagai kawasan pelancongan Negeri Selangor.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) merupakan syarikat kerajaan yang membantu kebajikan para pendayung selain ianya sebagai sumbangan kebajikan korporat TNB dan menjadikan kawasan pelancongan ini terutama pendayung dan penduduk kampong sebagai Kampung Angkat TNB.

TNB juga menjadikan Kelip Kelip Kg Kuantan sebagai ikon iklan dan ianya sangat sinonim dengan fungsi TNB yang menyinari hidup setiap penduduk di Malaysia. Iklan billboard mengenai kelip kelip kg kuantan boleh dilihat di pintu masuk tol KLIA berfungsi sebagai suatu tarikan kepada pelancong yang datang ke Malaysia.

Kawasan pelancongan Kelip Kelip ini telah beroperasi pada sekitar tahun 1970an oleh seorang penduduk kampong iaitu En Jalaluddin dan keluarga. Beliau dibantu oleh beberapa penduduk kampung yang pada asalnya adalah nelayan sungai berpendapatan sederhana mengenalpasti keunikan serangga ini. Pada ketika itu, hanya terdapat 10 sampan sahaja yang membawa pelancong untuk melihat kelip kelip dengan muatan 4 orang dewasa untuk 1 sampan. Beliau telah mempromosikan kawasan ini secara sederhana. Oleh kerana kekurangan kemudahan infrastuktur seperti jaket keselamatan dan jeti yang selamat, En Jalaludin telah meminta pihak Majlis Daerah Kuala Selangor untuk membangunkan kawasan ini. Pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah datang mengambil sampel dan menjalankan kajian khusus mengenai serangga kelip kelip ini dan habitatnya. Pihak FRIM telah dipertanggungjawabkan untuk melindungi dan memulihara serangga unik ini dari kepupusan. Kerjasama dari pelabagi pihak untuk memajukan dan menjaga kawasan pelancongan ini.

Kini, kawasan ini telah dibangunkan dan dinaiktaraf hasil kerjasama dari pelbagai pihak telah menarik ramai pelancong dari luar dan dalam Malaysia untuk menyaksikan sendiri keindahan cahaya yang dihasilkan oleh serangga kelip kelip. Seramai 30 pendayung ditugaskan untuk mendayungkan sampan yang membawa pelancong ke pinggir Sungai Selangor ini. Beroperasi setiap hari (Isnin hingga Ahad) pada waktu 7.30 malam sehingga 10.30 malam dengan harga tiket masuk RM 53.00 untuk 1 sampan.

SERANGGA KELIP KELIP

Kelip kelip adalah serangga berluminasi (menghasilkan cahaya ) berasal dari keluarga Lampyridae dan di klasifikasikan kepada empat genera iaitu Pteroptyx, Luciola, Colopthia dan Lychnuris dan mempnuyai nama sainstifik bagi kelip kelip adalah Pteroptyx tener Olivier (Nada & Kirton, 2004). Serangga invertebrata ini berhabitat pada sejenis pokok bakau yang hidup subur di persisiran sungai Selangor yang dikenali sebagai pokok berembang atau Sonneratia caseolaris. Serangga kecil ini membiak, berlindung dan menghisap cecair dari batang pokok berembang ini sebagai kesinambungan kitar hidupnya. Saiz kelip kelip adalah kecil disekitar 2 hingga 25 milimeter panjang dan mempunyai badan exoskeleton, 6 kaki dan 3 bahagian badan meliputi kepala, thorax dan abdomen (Steins, 2000). Secara kasarnya, ianya kelihatan kumbang atau nyamuk tetapi ianya unik kerana mempunyai organ cahaya yang berkelip dari bahagian bawah abdomen.

Kelip kelip jantan mempunyai 2 segmen organ cahaya berbanding kelip kelip betina yang hanya mempunyai 1 segmen organ cahaya sahaja. Keadaan ini menjadikan sinaran flash dari kelip kelip jantan lebih bersinar kelip kelip betina. Kelp kelip betina tidak mempunyai kemampuan untuk terbang jauh dan ia hanya terbang disekitar kawasan mengawan sahaja.

Kitar hidup kelip kelip seperti serangga yang lain iaitu bermula dengan perkembangan telur, larva, pupa dan peringkat dewasa yang memakan masa 2 hingga 3 bulan sahaja. Kelip kelip betina akan bertelur dibawah daun pokok pokok sago. Selepas 15 hingga 20 hai, larva bersaiz 2mm panjang akan menetas dari telur dan hidup siput kecil, kutu dan cacing yang terdapat pada sisir sungai tersebut. Selepas beberapa minggu larva akan bertukar menjadi pupa dan berkembang menjadi kelip kelip dewasa selepas 10 hari (William, 1991). Kelip kelip dewasa akan hidup beberapa minggu lalu terbang ke pokok berembang dan memancarkan cahaya untuk mengawan (kelip kelip jantan dan betina).

SINARAN CAHAYA KELIP KELIP

Hasil kajian dari pihak FRIM mendapati sinaran cahaya dari serangga kelip kelip terhasil daripada tindakbalas biokimia di organ cahaya kelip kelip. Tindakbalas tersebut menghasilkan 90 peratus tenaga cahaya dan 10 peratus tenaga haba (Kumari, 2000). Cahaya tersebut terhasil apabila substrat luciferin + protein (ATP) dan oksigen bertindakbalas antara satu sama lain.

Tujuan utama sinaran cahaya kelip kelip adalah untuk reproduksi dimana ianya sebagai komunikasi seksual antara kelip kelip jantan dan betina. Kelip kelip jantan yang terbang akan berkelip dengan kod khusus manakala kelip kelip betina di daun akan menafsirkan kod sinaran tersebut. Setiap spesis kelip kelip mempunyai kod sinaran yang berbeza. Selain dari itu, kerlipan sinaran cahaya adalah untuk melindungi serangga ini dari dimakan oleh pemangsa seperti burung, ulat atau kumbang besar. Ia akan bertindak dengan penyamaran aggresif dengan mengeluarkan lucibugafign dari darah kelip kelip iaitu sejenis bahan kimia yang menjadikannya tidak sedap untuk dimakan sekaligus menyelamatkannya dari dimakan oleh pemangsa. (Segelken, 1997).

KEMUDAHAN AWAM

Majlis Daerah Kuala Selangor menyediakan kawasan parking terbuka tanpa mengenakan sebarang cas kepada pengunjung yang datang. Sebuah jeti kayu, jaket keselamatan, tandas, gerai makan dan kedai cenderahati disediakan untuk memudahkan pelancong berasa selesa apabila berada di sini. Para pendayung telah menjalani kursus asas untuk bahasa inggeris, korea cina dan arab sebagai persediaan melayani pertanyaan dari pelancong mengenai kelip kelip.

Pengunjung akan dibawa menyelusuri sungai menggunakan sampan kayu yang didayung oleh pendayung khas yang ramah dan mesra memberikan penerangan mengenai kelip kelip. Ianya memakan masa selama 30 hingga 45 minit bergantung kepada keadaan cuaca. Penggunaan sampan adalah untuk mengelakkan dari berlakunya pencemaran bunyi hasil dari bunyi enjin bot yang bising. Jika keadaan ini berlaku, kadar populasi kelip kelip akan menurun dan akhirnya akan menyebabkan kepupusan sepsis unik ini. Sultan Selangor iaitu Sultan Sharafudin telah mencemar duli untuk melihat sendiri kawasan kelip kelip ini memuji usaha pemuliharaan dan kemajuan yang dilakukan oleh pelbagai pihak. Beliau juga menitahkan bahawa bot berenjin dilarang untuk melalui kawasan persisiran sungai ini bagi memulihara populasi kelip kelip ini.

Para pengunjung yang ingin lari dari hiruk pikuk kota disarankan untuk datang ke kawasan ini sebagai salah satu terapi untuk menghilangkan tekanan kerja dan mencari ketenangan fikiran. Suasana kampung yang damai dan aman boleh dijadikan sebagai kawasan isitirehat yang sesuai. Hotel budget seperti De Palma Inn, Hotel Suns Inn dan Hotel Apps terletak di Kuala Selangor boleh ditempah sebagai tempat untuk bermalam dan hanya 8km di Kuala Selangor. Kemudahan restoren ikan bakar Aroma di Pantai Remis, Jeram juga menghidangkan pelbagai jenis makanan laut yang segar untuk dinikmati oleh para pengunjung.

ANCAMAN KEPUPUSAN

Tiada kemajuan pembangunan tanpa ancaman kepupusan. Itulah antara masalah pencemaran air sungai dimana sungai Selangor dicemari dengan pelbagai jenis sampah seperti plastik, kayu, hasil domestik dan pelbagai lagi. Apabila pencemaran sungai berlaku, ianya akan menyebabkan pokok berembang tidak dapat tumbuh dan sekaligus menurunkan kadar populasi kelip kelip ini. Kelip kelip dijadikan petunjuk biologi dan mempunyai hubungan rapat antara ekosistem sungai dan populasi kelip kelip dimana apabila sungai tercemar maka populasi kelip kelip menurun.

Kadar pemanasan global juga menyumbang kadar penurunan populasi kelip kelip, dimana suhu yang tinggi memberikan kesan proses pengawanan dan pengeluaran telur kelip kelip betina. Ianya boleh dikesan terutama pada musim elnino yang lalu dimana suhu persekitaran meningkat sehingga 38 darjah Celsius. Pada waktu malam, kadar kerlipan kelip kelip dilihat kurang berbanding musim biasa.

Pengunaan kamera berflash oleh pengunjung juga menjejaskan populasi kelip kelip walaupun para pendayung telah diingatkan agar tidak mengambil gambar kelip kelip. Kelip kelip sangat sensitif kepada cahaya dan memerlukan kawasan yang gelap untuk berkelip mengeluarkan cahaya. Pihak Majlis Daerah Kuala Selangor memperbaiki dan menggunakan lampu kalimantang berkuasa watt yang rendah di kawasan jeti supaya keadaan persekitaran tersebut tidak diterangi dengan pencahayaan yang tinggi untuk tujuan pemuliharaan.

PROGRAM KONSERVASI BERTERUSAN

Pelbagai pihak bekerjasama bagi menjaga, memulihara dan memajukan kawasan habitat kelip kelip ini. Kadar pencemaran sungai dikawal dengan kempen dan penguatkuasaan di media massa dan elektronik agar penduduk dan rakyat tidak sesuka hati membuang pelbagai sampah ke dalam sungai dan akhirnya mengugat ekosistem hidupan lain. Penduduk kampung juga diajar agar tidak membuang sampah ke dalam sungai dan penduduk kampung sebagai mata mata ketiga dan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat mana mana pihak yang sengaja mencemarkan sungai.

Program konservasi penanaman pokok berembang juga dilakukan oleh pelbagai institut dan univeristi penyelidikan seperti FRIM, UKM, UM dan UPM yang bekerjasama pihak NGO bagi menjalankan aktiviti penanaman pokok berembang dan usaha membersihkan kawasan sungai. Malah usaha beberapa anak muda kampung yang menjaga dan menanam pokok berembang telah mendapat perhatian media terutama TV3 dan ianya telah disiarkan semasa program Majalah Tiga.

Pusat Pelancongan Kelip Kelip Kg Kuantan, Kuala Selangor ini perlu dipelihara dengan sebaiknya untuk tontotan generasi berikutnya. Ia juga memberikan sumber pendapatan kepada penduduk kampung dan pusat ecotourism yang menarik untuk dilawati. Pelbagai pihak perlu bekerjasama dalam usaha memelihara dan memulihara kawasan habitat serangga yang unik ini agar ianya boleh hidup dan tidak terancam.

Kongsikan!
This entry was posted in Agro-pelancongan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply