BUAH GELUGUR / ASAM GELUGUR

Asam gelugur adalah bahan penting dalam masakan terutama untuk masakan berlemak seperti rendang, masak lemak cili api atau masak singgang bagi menghilangkan rasa hanyir pada ayam, ikan atau daging selain memberikan pengawet atau ketahanan pada masakan. Rasa masam yang terbit dari asam gelugur ini menyebabkan masakan lebih tahan lama dan tidak basi berbanding juadah yang tidak dimasukkan asam gelugur.
Asam gelugur yang kita gunakan dalam masakan dikenali sebagai asam keping kerana buah asam gelugur telah diproses (dihiris kecil) dan dikeringkan sebelum di pek untuk jualan. Asam keping boleh dibeli di mana mana kedai runcit, pasar atau pasaraya bersama sama dengan bahan herba lain seperti kulit kayu manis, bunga lawang, halba , buah pelaga dan sebagainya.

Buah gelugur atau asam gelugur banyak ditanam dikawasan Utara Semenanjung Malaysia seperti Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Pahang danKkedah sebagai sumber ekonomi dan nilai perubatan. Pokok ini dikatakan berasal dari Semenanjung Malaysia dan ianya telah tersebar penanamannya di negara jiran seperti Thailand, Indonesia, Filiphina dan India. Buah gelugur berasal dari keluarga Clusiaceae atau Glutiferae dan dikenali dengan nama sainstifik iaitu Garcinia Cambogia. Tanaman ini mampu mengeluarkan buah pertama selepas 7 hingga 8 tahun penanaman dan ianaya berbuah sepenjang tahun.

Ianya merupakan bahan penting dalam bidang kosmetik dan farmaseutikal dalam penghasilan ubat ubatan kecantikan dan ubat pelangsing badan. Daun dan bunga buah gelugur mempunyai rasa lemak, sedikit manis, masam dan kelat manakala buahnya berasa sangat masak apabila dimakan mentah. Kebiasaanya buah gelugur akan diproses untuk diambil ekstrak ubat ubatan atau diproses menjadi asam keping. Rasa asam gelugur adalah lebih kelat dan masam berbeza dengan buah asam jawa yang mempunyai rasa masam masam manis.

CIRI CIRI MORFOLOGI

Berikut merupakan ciri ciri morfolgi bagi buah gelugur:

PENANAMAN POKOK ASAM GELUGUR

Penanaman pokok asam gelugur adalah kerana isi buahnya yang mengandungi pelbagai khasiat yang berguna kepada kesihatan manusia dan penyedap masakan. Ianya boleh ditanam menggunakan anak benih yang disemai dari biji dari buah yang matang. Biji benih yang telah dikeringkan selama beberapa hari boleh disemai di atas media semaian. Benih akan bercambah dan matang selama hampir 3 atau 4 minggu dan telah cukup umur untuk dipindahkan ke tanah dengan jarak tanaman 9m x 9m dan pastikan kawasan tanah tersebut kosong (tiada tanaman pokok lain). Lubang sedalam 2 kaki dikorek dan ditabur dengan baja asas sebelum anak pokok buah gelugur dipindahkan.

Pembajaan baja dilakukan dengan menaburkan sebanyak 30 hingga 50 gram baja NPK 12:12:17:2 diletakkan dipangkal pokok 3 kali setahun. Cantasan perlu dilakukankan kepada pokok yang telah mencapai ketinggian 2 hingga 3 meter tinggi bagi memudahkan proses pembajaan, meracun dan kawalan seranggan perosak dan proses penuaian buah. Jika tiada cantasan dilakukan, hasil buah yang dihasilkan adalah rendah. Pokok buah asam gelugur boleh hidup subur tanpa gangguan dari serangga perosak atau penyakit kerana ianya jenis tanaman liar dan tahan penyakit. Keadaan cuaca yang tidak menentu (kemarau/hujan/banjir) memberikan kesan buruk kepada tanaman ini kerana ia akan menyebabkan buah asam gelugur akan gugur.

KHASIAT DAN NUTRISI

Buah asam gelugur kaya dengan pelbagai khasiat seperti HCA iaitu asid hidro citrit yang diambil untuk mengatasi masalah obesiti. HCA membantu mengekang dan mengawal nafsu makan dan menguraikan sel sel lemak dari terkumpul di perut atau otot. Bagi ibu mengandung, air rebusan asam gelugur ini diminum bagi membantu mengecutkan rahim dan menurunkan lemak lemak yang terdapat di sekitar perut wanita selepas bersalin.

HCA bersifat tidak beracun dan tidak bertoksik. Ianya juga mempunyai perasa dan berbentuk serbuk yang tidak berbau. Ianya mempunyai unsur aktif sebanyak 50% dan dos pengambilan adalah sebanyak 500mg HCA sebanyak 3 kali sehari sebelum makan. Tindakbalas yang berlaku dimana HCA akan menghalang penukaran gula asas dalam makanan menjadi lemak yang akan menyebabkan kolestrol terutama pada perut arau hati. Selain HCA, buah asam gelugur juga mengandungi unsur Vitamin B Komples iaitu Tiamin dan zat besi yang berguna untuk meningkatkan kadar metabolisma badan dan menjaga otot atau sendi dari menjadi rapuh. Buah asam gelugur juga mengandungi Vitamin C yang akan meningkatkan daya tubuh, sebagai bahan anti oksidan dan menjaga kesihatan kulit.

Ianya diambil dalam kuantiti yang sedikit kerana jika berlebihan, ia akan menyebabkan berlakunya penyakit yang lain. Kebanyakkan pengusaha produk kecantikan telah mengambil ekstrak buah asam gelugur dan dicampurkan bahan bahan yang digunakan dalam penghasilan ubat pelangsingan dan supplement diet. Ekstrak asam gelugur ini akan dijual dalam bentuk kapsul ubat dan memudahkan pengguna untuk mengamalkannya.
Kajian yang dilakukan oleh pihak Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) ke atas khasiat nutrisi buah asam gelugur memperakui bahawa asam gelugur membantu dalam menukarkan lemak kepada tenaga dimana unsur HCA yang terkandung didalamnya akan membakar kandungan lemak sekaligus menukarkan ia kepada sumber tenaga yang akan digunakan oleh tubuh badan, ia juga akan membantutkan keinginan selera makan seseorang dan mengawal berat badan sesiapa yang memakannya.

Melalui banyak kajian pihak FRIM juga mendapati bawah asam gelugur boleh bertindak sebagai bahan anti fugal (membantut pertumbuhan kulat), anti-mikrobial (kawalan kutu dan hama) serta ciri ciri ubat uabatan bagi mengurangkan berat badan. Ekstrak buah asam gelugur tidak digalakkan diambil oleh ibu mengandungi atau menyusukan bayi, pesakit Alzheimer, pesakit mental atau kanak kanak / orang dewasa yang menghidap penyakit diebetis mellitus. Ini kerana ekstrak asam gelugur akan memberikan tindakbalas yang berbeza kepada golongan yang tersebut, malah ianya akan memberikan kesan buruk kepada mereka sekiranya termakan ekstrak asam gelugur ini.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Herba and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply