SEAFOOD SHELL OUT

Trend makanan di Malaysia sentiasa kehadapan mengikut perkembangan semasa seiring dengan kepantasan teknologi maklumat. Para pengusaha restoren dan kedai makan sentiasa berusaha melalukan anjakan paradigma dengan menyajikan hidangan yang menarik perhatian pelanggan. Mereka perlu melakukan revolusi dan pengolahan menu makanan supaya restoren dan kedai makan mereka sentiasa menjadi tumpuan pengunjung.
Hal ini berlaku kerana selera pelanggan sentiasa berubah ubah terutama dengan kepantasan teknologi maklumat dimana semua orang akan berlumba lumba untuk memaparkan apa yang mereka makan, di mana tempat yang mempunyai tarikan menu unik, bersama siapa mereka menikmati makanan dan yang paling penting keenakkan rasa serta rupa makanan yang mereka makan.

Dewasa ini, trend makanan masyarakat Malaysia telah berubah, mereka lebih gemarkan ringkas, cepat dan mudah untuk didapati. Antara menu masakan yang menjadi viral di media social adalah seperti pisang goreng cheese, pau cendawan, churros, samyang noodle (mee segera korea), kuih keria antarabangsa, seafood shellout dan pelbagai jenis menu makanan yang menjadi trending di Instagram ,Facebook, Twitter dan pelbagai lagi media massa. Di antara banyak “menu viral” ini, Seafood Shell Out merupakan pilihan no 1 rakyat Malaysia kerana rupa dan rasa menambat hati untuk merasainya. Banyak restoren yang menawarkan menu yang istimewa ini tumbuh bagai cendawan selepas hujan terutama di kawasan Lembah Klang. Keenakkan makanan seafood shell out ini pasti menjadi bualan samada golongan wanita atau lelaki terutama yang tinggal di kawasan Bandar sekaligus menimbulkan minat dan keinginan untuk menikmatinya.

SEAFOOD SHELL OUT

Pasti ramai diantara kita yang pernah pergi ke restoren yang menghidangkan makanan shell out. Namun, berapa ramai diantara kita yang tahu apa itu menu Seafood Shell Out dan siapa yang memulakannya. Seafood Shell out merupakan menu makanan laut yang terdiri dari kerang, ketam, udang, pelbagai jenis siput yang dimasak kering bersama pes cili dan dimakan bersama sayur sayuran yang direbus seperti brokoli, jagung, kentang, lobak merah. Nasi putih juga disediakan tetapi dalam kuantiti yang sedikit. Hidangan Seafood Shell Out ini dikatakan menjadi viral apabila seorang selebriti dan pelakon iaitu Haniz Zalika memaparkan di Instagram miliknya. Kunjungan beliau ke restoren Shell Out di Kota Damansara menjadikan menu ini menjadi bualan dan ikutan masa kini. Menu ini kelihatan sangat menarik dan nampak menyelerakan. Dalam masa beberapa hari sahaja, menu ini menjadi tular di laman sosial dan orang awam terutama peminat beliau menjadi teruja untuk menikmatinya. Itulah pengaruh media sosial dan aura seorang selebriti akan memberikan kesan kepada rakyat akhirnya mengubah corak pemakanan dan trend pemakanan di Malaysia.

Ianya nampak seperti menu biasa yang dimasak dan dimakan bersama keluarga. Tarikan utama seafood shell out adalah hidangan makanan laut ini dihidangkan di atas meja besar yang dilapik dengan plastik tanpa ada sebarang mangkuk atau pinggan bagi mengisi menu menu tersebut. Pelanggan juga perlu makan menggunakan tangan kerana sudu atau garfu juga tidak disediakan. Hanya apron untuk mengalas pakaian dan beberapa pengetuk kecil bagi mengetuk kulit ketam diberikan kepada pelanggan. Dalam maksud yang lain, plastik yang besar dan bersih akan dihamparkan di atas meja makan lalu diletakkan makanan laut yang telah dimasak ditengah tengah meja lalu bermakan secara beramai ramai samada bersama kawan kawan atau keluarga.
Ianya sangat sesuai dijadikan menu mudah semasa hujung minggu bersantai bersama keluarga dan kawan kawan sambil mengeratkan silaturahim. Trend ini nampak familiar dengan makanan nasi ambang yang popular dikalangan masyarakat jawa di kampung kampung. Nasi ambang terdiri dari gabungan nasi putih, mee goreng, serunding kelapa dan ayam goreng lalu diletakkan di dalam dulang besar. Nasi ambang biasanya dimakan beramai ramai (dikongsi makan 4 orang atau lebih).

Begitu juga konsep hidangan seafood shell out, dulang besar ditukar kepada plastik besar dan menu utama adalah pelbagai jenis makanan laut. Hidangan makanan laut yang segar serta kombinasi diantara mentega dan bawang putih membangkitkan aroma dan rasa yang sempurna bagi setiap hidangan. Sayuran sayuran yang direbus lebih berkhasiat untuk dinikmati. Ini merupakan satu contoh makanan seimbang dimana kandungan protein, karbohidrat, vitamin, mineral dan pelbagai jenis lagi terkandung dalam satu hidangan.

CABARAN DAN POTENSI PENGUSAHA

Pengusaha kafé dan restoren shell out pasti berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan menghidangkan juadah menu yang menyelerakan dalam usaha menarik perhatian pelanggan untuk berkunjung dan menikmati juadah yang disediakan. Faktor harga yang berpatutan menjadi keutamaan pelanggan dalam pemilihan restoren atau kafe seafood shell out. Harga makanan yang mahal, rasa yang tidak sedap dan perkhidmatan yang rendah pasti menyebabkan pelanggan berfikir 2 atau 3 kali untuk datang semula ke restoren atau kafe tersebut.

Ada sesetengah pengusaha akan mengenakan bayaran harga makanan berdasarkan berat makanan laut yang di pilih. Sebagai contoh, ada juga pengusaha yang menawarkan harga makanan secara pakej iaitu RM 75.00 untuk 1 pek hidangan yang boleh dimakan bersama 4 orang pelanggan. Kebiasaanya setiap pakej melengkapi dengan menu nasi putih, beberapa hidangan makanan laut seperti ketam masak sambal, kerang bakar, udang bersos, sayur sayuran dan minuman ringan. Selain dari itu, ada juga pengusaha café atau restoren shell out ini mengenakan bayaran kepada pelanggan berdasarkan jumlah berat makanan laut yang diambil. sebagai contoh harga ketam segar yang perlu dipilih oleh pelanggan berharga RM 25.00 bagi 500 gram berat ketam. Pelanggan boleh meminta pihak restoren memasak makanan laut tersebut berdasarkan citarasa pelanggan. Tarikan utama restoren atau café shell out adalah tahap kebesaran makanan laut seperti ketam, udang loster atau udang biasa, kepah, sotong dan pelbagai lagi. Saiz makanan laut yang besar berbanding yang dibeli dipasar dan dimasak sendiri pasti menarik perhatian pelanggan lebih lebih lagi apabila diviralkan di media sosial. Selain itu, kebanyakkan café atau restoren shell out ini menyajikan makanan laut yang segar dimana mereka mengambil dan membeli makanan laut dari jeti pengumpulan ikan atau dari peraih yang dipercayai. Ianya sebagai satu jaminan kepuasan kepada pelanggan dan sekaligus menjaga mutu makanan itu sendiri.

Terdapat juga beberapa menu lain yang disajikan kepada pelanggan bagi mereka yang kurang gemar atau alah kepada makanan laut seperti nasi biryani kambing, vegetarian food, burger chese dan sebagainya. Ianya bergantung kepada kreativiti pengusaha bagi menarik perhatian pelanggan dalam usaha memajukan perniagaan supaya seiring dengan kehendak dan kepuasan pelanggan.

Berikut merupakan antara café atau restoren shell out yang popular di kawasan Lembah Klang:

? Shell Out Café Kota Damansara merupakan restoren pertama yang memulakan sajian menu shell out ini. Tarikan utama pengunjung di retoren ini adalah pelanggan mudah untuk memilih makanan laut dan rasa (sensation) samada rasa asli (original) atau rasa gabungan (Malaysian Style). Selain itu, pelanggan juga dibenarkan untuk memilih tahap kepedasan makanan laut samada kurang pedas (mild), sederhana (medium) atau ekstraordinari pedas.

? Sue & Tuya Shell Out yang terletak di Subang Bestari yang menyajikan kesegaran makanan laut dengan harga RM 50.00 sahaja dimana ianya boleh dikongsi bersama 3 hingga 4 orang dewasa. Resipi pes sambal yang digunakan semasa menyediakan masakan shell out ini adalah resipi turun temurun keluarga pengusaha.

? Ocean Hauz– Bangi pula menyajikan makanan laut seperti udang lobster, Ketam besar, udang bersaiz xxl, dan juga king squid. Ramai artis terkenal seperti SIti Nordiana dan Mira Filzah kerap kali datang bersama kawan kawan dan keluarga datang ke restoren ini bagi menikmati keenakkan rasa makanan laut yang dimasak dengan rasa yang enak dan segar.

? Geo’s Hartamas yang terletak di pinggir Kuala Lumpur hanya mengenakan cas sebanyak RM 30.00 dan pelanggan boleh menikmati hidangan shell out dengan sepuasnya. Berat hidangan shell out adalah 500 gram dan nasi putih boleh diminta tambah tanpa ada apa apa cas tambahan. Pakej ini terdiri dari masakan mengandungi, udang, ketam, kupang, lala, sotong goreng, brokoli dan kentang. Makanan barat seperti pasta dan spaghetti juga disediakan kepada pelanggan.

Kini bukan sahaja ianya trending di kawasan Bandar, malah kawasan luar Bandar juga sedang giat dengan perkembangan dan pengaruh restoren shell out. Kawasan tarikan pelancong seperti di Langkawi, Kota Bharu, Kuala Terenggan dan Port Dickson juga telah mula wujud restoren atau café shell out ini. Trend ini menunjukkan bahawa pengusaha akan sentiasa mempamirkan hidangan yang terbaik dalam memajukan perniagaan selaras dengan perkembangan isu semasa.

Kongsikan!
This entry was posted in Agro-pelancongan and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply