GELENGGANG

Sebut sahaja mengenai daun gelenggang pasti akan mengimbau balik kenangan saya dengan arwah mak. Arwah mak adalah seorang yang kuat mengamalkan perubatan tradisional berbanding penggunaan ubat ubatan di pasaran. Beliau lebih selesa menggunakan tanaman herba dari alam sekitar yang lebih natural, segar dan tiada kandungan bahan kimia berbahaya dalam merawat apa juga masalah kesihatan, sebarang luka atau kesakitan. Semasa nafas masih dihela oleh arwah mak, mak menghadapi sedikit masalah kegatalan kulit dibahagian belakang tubuhnya akibat terkena getah pokok daun rumbia dan sagu yang diambilnya di dalam hutan. Sejak dari itu, mak akan menggaru bahagian yang gatal itu sehingga menyebabkan kawasan kulit tersebut menjadi luka dan membengkak.

Bagi mengurangkan rasa gatal ini, beliau mengambil daun gelenggang yang terdapat dikawasan hutan berhampiran rumah lalu digosok dengan perlahan dikawasan gatal tersebut. Getah dari daun gelenggang ini dapat mengurangkan rasa gatal dan menyembuhkan luka akibat gosokan daun tersebut. Walaupun rasa sedikit sakit dan pedih, namun arwah mak rasa sangat selesa dan cepat sembuh.

Pernah juga ahli keluarga kami terluka kerana terlibat dalam kebakaran Arwah mak mengambil daun gelenggang ini dan ditumbuk sehingga lumat lalu diletakkan di atas luka kesan terbakar. Semasa membalut luka tersebut, beliau akan memohon kesembuhan dari ALLAH SWT dan menyampaikan pesanan kepada kami. Antara pesanannya, gunakan herba yang terdapat di sekeliling kita terutama daun gelenggang kerana daun gelenggang ini mempunyai pelbagai khasiat dalam menyembuhkan luka dan kegatalan kulit. Ia juga boleh digunakan bagi mengubati penyakit panau dan kurap.

ASAL USUL DAUN GELENGGANG

Daun gelenggang berasal dari keluarga Fabaceae dan spesis Senna alata. Ianya juga dikenali dengan nama cassia, wild senna, candlestick senna, ketepek badak, sulok (Sarawak), andadasi dan palochina (Tagalog). Tumbuhan ini adalah tumbuhan tropika dan sub-tropika. Pokok ini tumbuh meliar di kawasan semak dan belukar kecil di pinggir jalan dengan ketinggian pokok diantara 1.0 meter hingga 5.0 meter tinggi.
Masyarakat Arab menggunakan daun gelenggang dalam perubatan tradisional sejak dahulu lagi namun pada abad ke-9, pedagang Eropah yang berdagang ke Tanah Arab membawa pulang pokok ini dan ditanam di rumah mereka dan kemudian tersebar ke seluruh Eropah lalu digunakan oleh pengamal tradisional Eropah sebagai ubat tradisional dalam mengubati penyakit kulit.

Bahan aktif yang terkandung di dalam daun gelenggang adalah antraquinone glucosides dengan kadar 2.5 peratus. Bahan aktif ini sangat berkesan bagi mengatasi masalah penyakit kulit dan kegatalan dimana antraquinone glucosides akan bertindak sebagai perencat kepada pertumbuhan kulat kulit, serangan hama atau pertumbuhan mikrobakteria. Ujikaji yang dijalankan oleh penyelidik dari Eropah ke atas kulit lembu mendapati luka dilembu akibat penyakit Congolensis Dermatophillus, Pityriasis versicolor, serangan hama arnab dan Psoroptes cuniculi sembuh setelah diletakkan campuran serbuk daun gelanggang ke atas luka yang dihadapi oleh lembu tersebut.

CIRI-CIRI MORFOLOGI

Tumbuhan perdu ini boleh hidup subur dengan mencapai ketinggian sehingga 5.0 meter. Batang pokok ini berwarna coklat gelap, berbentuk bulat melurus ke atas dan batang berkayu keras. Akarnya merupakan akar tunggal berwarna hitam dan berbentuk bulat memegang kuat tanah. Daun gelenggang bersifat majmuk dan bersusun dengan banyak. Kuantiti daun pada 1 cabang dahan adalah 8 hingga 24 daun yang berwarna hijau pekat. Bentuk daun adalah bulat panjang dan tumpul dihujung. Saiz daun adalah 5 hingga 15cm panjang dan 5 hingga 9 cm lebar. Jalur daun ditengah tengah daun disertai jalur berselang seli ke tepi daun. Permukaan daun kesat dan kasar dan rupa bentuk seakan akan daun jambu batu.

Bunga pokok gelenggang berwarna kuning keorenan berbentuk tandan dan bersifat majmuk. Kelopak bunga adalah 5 dan dipegang oleh cabang dahan yang muncul dari batang utama tumbuhan ini. Pokok ini menghasilkan buah gelenggang yang berwarna hijau ketika muda dan bertukar warna hitam coklat ketika usia matang. Buahnya bersaiz panjang (18cm x 25cm). Biji pokok gelenggang ini berbentuk segi tiga dan pipih dengan warna hijau pada asalnya sebelum bertukar hitam.

PENANAMAN POKOK DAUN GELENGGANG

Tumbuhan herba ini boleh ditanam di kawasan tanah gambut, mineral dan berpasir. Batas bersaiz 1.5 meter x 2.5 meter perlu disediakan bagi kawasan tanah rendah supaya pokok tidak terendam ketika musim hujan dan sistem pengairan yang baik perlu disediakan bagi mengalirkan lebihan air jauh dari tapak projek.
Pembiakan dilakukan dengan kaedah keratan batang yang disemai kira kira sebelum dipindahkan ke atas batas. Siraman sprinkler 2 kali sehari adalah disyorkan bagi tanaman ini dan pembajaan organik boleh diberikan kepada tanaman sebulan selepas ditanam.

Pokok daun gelenggang tidak mudah diserang penyakit atau serangga perosak. Daun tumbuhan akan tumbuh dengan subur dan daunnya akan dikutip apabila mencapai tempoh matang. Daunnya akan diambil dengan cara mencantas cabang dahan, diproses (dibersih dan dikeringkan) dan dihantar ke kilang pemprosesan bagi menghasilkan pelbagai jenis produk kesihatan dan ubat ubatan.

KHASIAT & MANFAAT

Tumbuhan S. alata ini ditanam bagi mendapatkan manfaat mengatasi malah penyakit kulit dan kegatalan. Ia akan memberikan kesembuhan dan menghilangkan kegatalan akibat gigitan serangga atau jangkitan parasit. Sekaligus, ia akan memberikan khasiat kepada kulit dan bertindak sebagai agen anti bakteria. Selain dari itu, ciri ciri antiseptic yang terdapat di daun gelanggang digunakan untuk penghasilan sabun kerana keupayaan tumbuhan ini mengeluarkan buih dan merawat kulit. Sabun ini akan melembutkan lapisan epidermis dan sekaligus membunuh kuman atau patogen yang terdapat di kulit. Ianya dikatakan setanding dengan sabun yang terdapat dipasaran.

Daun gelengang juga dipercayai boleh merawat penyakit ciri birit atau sembelit. Bahan laksatif di dalam daun tersebut akan bertindak seperti julap dan membersihkan usus besar manusia dengan meningkatkan pergerakan peristalsis dan melancarkan sisa tubuh badan keluar melalui kolon usus. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewartakan ekstrak daun gelenggang sebagai ubat tradisional dan ubat farmaseutikal.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Herba and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply