PENTERNAKAN KERANG

Kerang merupakan sejenis hidupan yang bercengkerang yang tergolong dari kumpulan moluska dan dari keluarga Arcidae. terdapat hampir 200 jenis kerang tetapi sebahagian besarnya tidak sesuai untuk dimakan dan untuk diternak secara komersial. Kerang dijual kepada orang ramai di pasar awam, pasaraya dan di jeti penangkapan ikan secara segar. Ianya tidak boleh disimpan terlalu lama tanpa dimasak segera kerana isi kerang akan mati dan busuk. Selepas ditangkap, jangka hayat kerang adalah pendek, kira kira 8 atau 12 jam sahaja di atas darat. Kebanyakkan pengusaha akan memproses kerang untuk dijadikan kerang sejuk beku yang mana ianya lebih tahan lama, boleh dipasarkan dan boleh dieksport tanpa ragu mengenai jangka hayatnya asalkan kerang sejuk beku disimpan di dalam sistem penyimpanan yang betul (suhu yang sesuai untuk produk sejuk beku).

Kerang perlu dimasak dahulu sebelum dimakan isi nya yang lembut dan sedap samada kerang tersebut direbus, dibakar atau dimasak bersama cili dan bawang. Isi kerang akan dikopek dan ditanggalkan dari cengkerang keras yang melindunginya. Hidangan kerang bakar dan kerang rebus merupakan tarikan utama kepada mana mana restoren makanan laut dan ianya biasanya dimakan setelah direbus atau dibakar bersama pencicah air asam yang pastimya meningkatkan selera pelanggan. Ketika perayaan, kerang dijadikan sebagai rendang dan ianya juga dimasukkan sebagai perencah utama untuk masakan char kuew toe kerang. Selain itu, sambal kerang juga pasti enak dinikmati bersama nasi lemak. Masakan dari kerang adalah sangat sinonim dengan masyarakat Asia Tenggara terutama Malaysia, Indonesia, Thailand dan Brunei.

5 tahun sebelum ini harga kerang sangat murah dengan kadar RM 2.00 sekilogram, tetapi akibat daripada faktor pencemaran, peningkatan kadar kematian benih kerang dan kemerosotan kadar tumbesaran menyebabkan penurunan pendaratan kerang segar. Bekalan kerang berkurangan menyebabkan harga jualan kerang dipasaran mencecah RM 10.00 sekilogram. Ramai peniaga mengeluh kerana kerang yang dijual tidak laku kerana pelanggan tidak mahu membeli kerang dengan harga yang mahal.

CIRI CIRI MORFOLOGI KERANG

Kerang mempunyai banyak spesis tetapi hanya beberapa spesis kerang yang boleh dimakan dan diternak secara komersial. Spesis kerang darah atau nama spesisnya Anadara granosa merupakan sejenis kerang yang biasa dimakan oleh masyarakat Asia Tenggara terutama masyarakat Malaysia. Gelaran kerang darah diberikan kepada spesis kerang Anadara granosa adalah kerana ianya membantu dalam penghasilan hemoglobin darah dalam tubuh badan manusia. Secara umumnya, kerang darah adalah haiwan bivalvia dimana ianya akan hidup dipermukaan dasar dan boleh bersembunyi di dasar lumpur perairan pantai. Kerang mempunyai bentuk simetri bilateral dimana 2 cengkerang keras yang terbina dari unsur kapur dan kalsium yang berfungsi melindungi isi lembut kerang dari gangguan dari ikan besar, hidupan marin atau burung burung sebagai pemangsa yang menjadikan kerang sebagai rantaian makanan mereka.

Isi lembut berwarna merah merupakan tubuh kerang terdiri dari mantel yang melekat kuat pada cengkerang dikawal oleh otot dan mantel berfungsi sebagai pusat pengumpulan gliko protein. Sistem saraf, sistem pernafasan dan sistem pencernaan kerang tidak kompleks berbanding haiwan akuatik lain namun insang kerang masih boleh menyerap oksigen dengan baik. Penutupan dan pembukaan cengkerang kerang dikawal oleh otot aduktor yang terdapat dihujung sisi cengkerang. Apabila terdapat gangguan, otot aduktor akan bertindak secara reflex dengan menutup cengkerang dan membuka cengkerang tersebut apabila berasa selamat. Kerang merupakan haiwan akuatik yang tidak mempunyai kepala, hidung, telinga, mulut dan kaki. Ia hanya boleh berpindah dari satu tempat ke tempat lain dengan mengeluarkan “kaki palsu” atau isi daging dari cengkerangnya. Kaki palsu ini akan melekat dan menyorong pasir yang terdapat di dasar pantai. Dengan bantuan arus dan pasir tersebut, kerang dapat berpindah dan bergerak.

Kerang merupakan haiwan akuakultur yang mencari makan dengan menyerap plankton atau mikroorganisma halus yang terdapat dipersekitarannya (filter feeder). Malah kerang juga boleh menyerap pelbagai jenis logam berat yang terdapat dipersekitaran perairan. Sekiranya persekitaran mempunyai kandungan logam yang tinggi, kadar penyerapan logam oleh kerang adalah tinggi dan keadaan ini boleh menyebabkan kerang menjadi bertoksin.

PENTERNAKAN KERANG DI MALAYSIA

Penternakan kerang di Malaysia secara komersial boleh dijumpai di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia terutama di kawasan pantai berlumut dan berselut seperti di Negeri Johor, Melaka, Selangor dan Perak. Selain itu, penternakan kerang juga dilakukan di persisiran pantai di Negeri Kedah. Negeri Perak merupakan negeri pengeluar utama kerang namun akibat pencemaran menyebabkan kemerosotan pembenihan kerang, maka pihak Jabatan Perikanan melaksanakan pusat ternakan kerang melalui program Kosnep Kebun Kerang (Cockle Farm) di Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor. Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan menyatakan benih kerang dari kawasan Pantai Barat Semenanjung terutama di Selangor dijumpai dengan banyak secara semulajadi. Benih kerang boleh membiak dengan baik dalam persekitaran yang tidak terdedah kepada arus ombak yang kuat dan dasar pantai juga berjenis selut halus.

Berikut merupakan keperluan kawasan bagi penternakan kerang:

Benih kerang dengan saiz diantara 4 hingga 10 mm boleh dikutip di kawasan hutan bakau atau muara sungai. Ianya dikutip menggunakan tangguk dawai yang diikat pada sebatang kayu semasa air surut menggunakan sampan. Benih kerang yang berlumpur perlu dibersihkan dengan air sungai tersebut dengan mengocak ngocakkan tangguk dawai bagi membuang kotoran yang melekat di benih kerang. setelah dibersihkan, ia akan dikumpulkan di dalam bekas.

Benih kerang perlu ditabur ke kawasan penternakan kerang yang memenuhi kriteria seperti jadual di atas. Penaburan benih dilakukan semasa air pasang dan dalam keadaan cuaca yang baik. Kadar penaburan benih bergantung kepada saiz benih dan keluasan kawasan penternakan. Pemeriksaan kawasan pembenihan kerang yang ditabur dilakukan dalam tempoh 3 hingga 4 bulan dimana pengusaha perlu memastikan anak benih kerang besar dengan sekata. Jika didapati benih kerang tidak membesar dengan baik, benih tersebut perlu diubah selerak atau “diserak” kepada kawasan yang sesuai dan tiada gangguan musuh musuh kerang.

Kerang boleh dikutip apabila mencapai saiz 3.8 cm (saiz dewasa) dalam masa 12 hingga 18 bulan selepas ditabur. Jika kawasan penternakan kerang memenuhi ciri ciri seperti jadual diatas, pasti tumbesaran kerang dewasa mencapai pertumbuhan optimum. Kebanyakkan pengusaha kerang akan melakukan aktiviti pengutipan kerang semasa waktu malam dan kerang perlu dijual kepada pengguna secara segar diwaktu siang. Perancangan strategi pemasaran kerang adalah penting kerana jika salah perkiraan, maka kerang yang dijual akan cepat busuk kerana jangka hayat kerang tidak lama.

KHASIAT & NUTRISI KERANG

Kerang dimakan kerana khasiat dan nutrisi seperti protein dan zat mineral yang terkandung di dalamnya. Ianya merupakan sumber protein termurah kepada pengguna dan dijadikan sumber protein alternatif bagi menggantikan ikan dan daging. Zat mineral seperti zat besi, zink dan Vitamin B1 sangat berguna kepada pertumbuhan tubuh badan manusia dimana zat besi akan mengangkut oksigen ke seluruh badan dan zink pula merangsang metabolism badan. Ia juga mengandungi kandungan lemak tepu yang rendah dan sumber asid lemak Omega 3. Bagi sesiapa yang menghadapi masalah kekurangan darah adalah disyorkan untuk memakan kerang dalam kadar sederhana kerana kerana akan merangsang penghasilan hemoglobin dalam darah. Selain itu, mengikut kepercayaan masyarakat dari Negara China bahawa pemakanan kerang boleh meningkatkan nafsu syahwat manusia. Kepercayaan ini adalah kepercayaan kuno masyarakat China dan tiada kajian khusus mengenainya.

KEMAJUAN INDUSTRI PENTERNAKAN KERANG

Penternakan kerang boleh membantu nelayan persisiran pantai dalam usaha meningkatkan pendapatan selain dari bergantung kepada hasil tangkapan ikan terutama pada musim tengkujuh atau musim air laut bergelora. Malaysia merupakan kawasan penternakan kerang yang sesuai kerana Malaysia dikelilingi oleh perairan yang memenuhi kriteria pembiakan kerang yang baik. Khazanah kurniaan Tuhan Yang Maha Esa ini perlu disyukuri dan dimanfaatkan dengan sebaiknya. Pelan pemuliharaan hidupan kerang ini perlu dilakukan oleh pihak yang dipertanggungjawab memegang profail supaya sumber protein termurah ini mempunyai bekalan dan kesinambungan yang berterusan hingga ke masa hadapan. Pencemaran atau sebarang musuh utama penternakan kerang perlu dikawal supaya ianya tidak menjejaskan pembiakan dan tumbesaran kerang yang mempunyai khasiat yang tinggi.

Penyeludupan benih kerang ke negara Thailand perlu dibendung supaya benih kerang tidak dijual kepada mereka yang tidak bertanggungjawab kerana permintaan benih kerang kepada pengusaha tempatan adalah tinggi. Strategi pemasaran kerang perlu diperkuatkan supaya produk kerang sejuk beku dari Malaysia boleh menembusi pasaran antarabangsa sekaligus seluruh dunia boleh menikmati keenakkan rasa dari hidupan akuakultur yang berkhasiat ini.

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in Ternakan air and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply