PERIA

Peria atau disebut bitter gourd merupakan antara sayuran yang pahit dan pasti ramai yang tidak menggemarinya Hal ini terjadi kerana rasa pahit yang terbit dari isi peria apabila dikunyah akan dirasai di lidah sehinggakan si pemakan berkerut muka dan memejamkan mata akibat kepahitan itu. Rasa pahit dari isi peria tersebut adalah disebabkan oleh unsur CHARANTIN yang sangat berkhasiat untuk kesihatan manusia.
Kebiasaannya sayur peria dijadikan ulam ulam segar dan ditumis bersama ikan bilis, cili padi serta belacan. Rasa pahit buah peria pasti akan bercampur bersama rasa manis ikan bilis dan kepedasan cili padi. Juadah ini enak dimakan ketika masih panas bersama sama nasi panas. Pengguna boleh mendapatkan buah peria yang dijual di mana mana pasar harian atau pasaraya bersama sama sayuran ulaman lain seperti petola dan kacang botor.

Buah peria boleh dibeli dengan harga disekitar RM 2.00 sekilogram. Namun, jika bekalan peria dipasaran melebihi permintaan, harga peria akan jatuh sehingga RM 0.80 sekilogram. Pengusaha peria perlu merancangan strategi penamanan supaya bekalan buah peria sentiasa mencukupi dan tidak berlaku lambakan kerana ianya akan menjejaskan pendapatan pengusaha akibat penurunan harga jualan buah peria. Peria akan dijual dalam 2 saiz iaitu kecil berwarna hijau muda dan panjang berwarna hijau tua.

Buah peria merupakan tanaman menjalar yang berkongsi keluarga bersama buah petola iaitu Cucurbitaceae dan dikenali dengan nama sainstifik Momordia charantia. Peria katak merupakan peria yang terkenal di kalangan rakyat Malaysia dan penduduk di Asia Tenggara. Nama peria katak dipanggil sedemikian rupa kerana rupa bentuk kulit peria yang berkedut dan berlekuk lekuk seperti katak. Di negara lain, Ianya juga dikenali dengan nama Karela bagi masyarakat India, Pare bagi warganegara Indonesia, Nigauri bagi rakyat Jepun, Kho qua bagi warganegara Vietnam dan banyak nama lain. Di Filiphina, peria akan dimasak bersama terung, bendi, kacang buncis, tomato dan kacang lima. Juadah ini dinamakan pinakbet sangat lazat dan enak dimakan ketika panas bersama beras pulut putih.

Penanaman buah peria terutama peria katak adalah untuk pasaran domestik dan juga dieksport ke negara luar terutama Singapura. Ia ditanam kerana buahnya boleh dijadikan ulaman dan sayuran. Selain itu, ia juga dijadikan penawar kepada penyakit diebetes kerana kepahitan yang boleh mengawal dan menurunkan kadar gula dalam darah pesakit. Hasil penemuan dan penyelidikan dari sainstis dari seluruh negara mengenai khasiat buah peria mendapati peria mengandungi kandungi insulin semulajadi iaitu hypoglycemic lalu dijadikan plantisulin iaitu sejenis ubat ekstrak peria yang digunakan sebagai ubat bagi mengurangkan kandungan gula dalam darah dan air kencing.

Buah peria mengandungi kandungan nutrisi dalam 100g sampel seperti tenaga (17 kcal), karbohidrat (3.70 gram), protein (1.0 gram), kolestrol (0 mg) dan serat makanan sebanyak 2.80 gram. Ia juga mengandungi pelbagai jenis vitamin seperti Folat (72 µ gram), Niacin (0.4 mg), Thiamin (0.4 mg), Vitamin A (471 IU) dan Vitamin C sebanyak 84 mg. Antara unsur mineral yang terkandung dalam 100g sampel peria adalah natrium (5mg), Kalium (296 mg), Kalsium (19 mg), Copper (0.034 mg), Besi (0.43 mg), Magnesium (17 mg), Mangan (0.089 mg) dan Zink (0.80 mg).

Banyak syarikat pengeluar produk herba dan kesihatan berlumba lumba dalam penyelidikan dan penanaman buah peria yang khasiat yang terkandung di dalamnya sekaligus ianya memberikan potensi besar untuk menjadi produk yang terbaik untuk mengawal penyakit kencing manis. Ekstrak buah peria akan dimasukkan bersama uncang teh, jus minuman dan tidak kurang dibentuk menjadi tablet ubat.

CIRI MORFOLOGI

Peria merupakan tumbuhan yang menjalar dan memanjat mana mana bahagian kayu sokongan untuk terus hidup dengan subur. Struktur sulur paut yang terdapat pada batang peria memudahkannya untuk memanjat. Ianya sama seperti pokok timun malah rupa pokok petola seakan akan pokok timun tetapi ianya dibezakan dengan daunnya yang bersaiz kecil berbanding daun pokok timun yang lebar. Berikut merupakan keterangan ciri ciri mengenai tanaman peria.

PENANAMAN PERIA

Di Malaysia, negeri Selangor, Perak dan Johor merupakan kawasan penanaman tumbuhan peria dan Johor merupakan pengeluar utama sayuran ini. Pada tahun 2015, sebanyak 850 hektar kawasan penanaman peria dilaporkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia. Penanaman peria memerlukan cuaca yang panas sekurang kurangnya 6 jam sinaran cahaya matahari dengan suhu persekitaran diantara 20 hingga 35oC. melalui penbagai penyelidikan membuktikan bahawa kekurangan pendedahan cahaya matahari kepada tanaman peria boleh menjejaskan pengeluaran. Kawasan yang kurang cahaya matahari kurang subur dan tidak menghasilkan buah peria yang banyak. Ianya boleh ditanam pada mana mana jenis tanah yang mempunyai saliran pengairan yang terbaik. Pastikan kawasan penanaman tidak ditenggelami air ketika musim hujan atau tengkujuh. Ph tanah penanaman disekitar 5.5 hingga 6.5 dan pengapuran perlu dilakukan pada tanah yang berasid tinggi. Aktiviti pengapuran dilakukan 2 minggu sebelum penanaman dan ianya akan dibiarkan mengalami proses pembaikan struktur dan ph tanah secara semulajadi.

Sama seperti penanaman buah petola, tanaman peria memerlukan batas dan kayu sokongan untuk tumbuh dan membesar. Struktur junjung ini perlu disiapkan terlebih dahulu kira kira 2 minggu sebelum penanaman. Saiz batas yang disyorkan adalah 2 x 8 kaki persegi dengan jarak tanaman 1.5m x 0.5m. Batas yang telah disiapkan perlu dilapik dengan silvershine dan dilubangkan di tengah tengah plastik tersebut. Tujuan penggunaan silvershine untuk melindungi biji benih dan mengekalkan kelembapan tanah.

AKTIVITI PENANAMAN PERIA

Biji benih peria boleh didapati dengan cara mengeringkan biji buah peria dibawah panas matahari sehingga betul betul kering. benih tersebut perlu dirawat dengan racun kulat bagi mengelakkan serangan penyakit atau perosak selain meningkatkan peratus pertumbuhan dan percambahan biji benih. Selain dari itu, kedai pertanian dan baja jual menjual benih peria dengan harga yang berpatutan.

Pengusaha boleh menanam terus benih peria dengan mengorek lubang sedalam 2 hingga 3cm dan lubang tersebut diisi dengan 1 atau 2 biji benih peria. Tetapi selepas 10 hari semaian, kerja penjarangan dilakukan dengan memindahkan anak pokok peria ke dalam lubang tanaman yang lain bagi mengelakkan berlaku persaingan bagi mendapatkan baja dan air serta cahaya matahari. Proses percambahan anak benih peria akan berlaku dalam masa 3 hingga 5 hari dan pada ketika ini siraman adalah kritikal dengan kadar yang banyak (2 kali sehari). Pada hari ke 10, ajar batang sulur peria sepanjang 20cm untuk melilit dan memanjat kayu junjung yang telah disiapkan. Tiang kayu dipacak dengan jarak 4 meter x 4 meter dan diikat dengan dawai No. 10 diantara tiang. Dawai No. 14 pula diikat dibahagian atas kayu sebagai sistem para.

Pengusaha yang mempunyai modal yang besar boleh mengaplikasikan penanaman peria secara fertigasi gantung dan fertigasi bantal. Pengeluaran hasil melalui kaedah penanaman peria secara fertigasi gantung atau fertigasi bantal mencapai 15 – 25 peratus hasil yang tinggi berbanding penanaman secara konvensional. Malah tempoh penuaian juga disingkatkan 1 – 2 minggu awal berbanding kaedah penanaman biasa.

Proses pembajaan dimulakan seawal minggu kedua penanaman dengan pemberian baja NPK 12:12:17:2 dengan kadar 0.8 metrik tan sehektar. Ianya akan diulangi penggunaan baja yang sama dan kadar yang pada pada minggu ke 5 dan minggu ke 8 selepas penanaman. Sebagai nutrient tambahan, pengusaha boleh menyembur baja foliar pada pokok untuk mempercepatkan tumbesaran buah peria.

SERANGAN SERANGGA PEROSAK & PENYAKIT

Terdapat 2 jenis serangga perosak yang sering menyerang tanaman peria iaitu:

KUMBANG DAUN (Aulacophora flavomarginata) – Larva kumbang dijumpai pada bahagian akar yang menyebabkan akar menjadi layu dan kumbang dewasa memakan daun pokok peria sehingga berlubang lubang. Lubang dibahagian tengah daun ini akhirnya mengakibatkan daun menjadi perang dan mati.
Cara kawalan & pencegahan: semburan racun carbaryl.

LALAT BUAH (Bactocera spp) – mensasarkab putik buah peria sebagai kawasan serangan yang akan menyebabkan buah bengkok, berlubang dan busuk. Keadaan ini akan menyebabkan buah rosak dan tidak boleh dijual. Cara kawalan & pencegahan: balut buah peria dengan surat khabar dan menggunakan hormon pemikat lalat buah yang diletakkan 2km dari kebun pengusaha.

Penyakit Kelapuk Downy dan Kelapuk Berdebu merupakan 2 penyakit yang sering menyerang tanaman peria. Penyakit Kelapuk Downy disebabkan oleh sejenis kulat iaitu Pseudoperomnospora cubensis yang menyebabkan daun pokok peria berbentuk siku berwarna pucat kekuningan. Kulat ini disebarkan melalui tiupan angin dan akan melekat pada permukaan daun. Terdapat spora berwarna putih pada permukaan bawah daun. Akibat serangan penyakit ini, tumbesaran buah peria terbantut dan hasil buah adalah bersaiz kecil. Cara kawalan & pencegahan: semburan racun mancozeb pada setiap selang 7 hingga 10 hari

Penyakit Kelapuk Berdebu yang dibawa oleh sejenis kulat yang dikenali sebagai Erysiphe cichoracerum dan disebarkan melalui angin dan air. Terdapat miselium berwarna putih dan berdebu pada permukaan daun lalu menyebabkan daun kekuningan dan mati. Buah yang dihasilkan kecil dalam bilangan yang sedikit. Cara kawalan & pencegahan: semburan racun Carbendazim atau Thiophanate – methyl pada setiap selang 7 hingga 10 hari

PENUAIAN BUAH PERIA

Buah peria yang dibalut dengan surat khabar akan berwarna hijau muda dan memberikan petunjuk kepada pengusaha bahawa ianya telah mencapai masak dan matang. Selain itu, lekuk pada kulit peria nampak lebih cetek dan berkilat. Tempoh penuaian buah peria adalah 8 – 9 minggu selepas ditanam.
Pengusaha perlu memetik buah peria dengan memotong pangkal putih peria menggunakan pisau y ang tajam lalu surat khabar yang membalutkan perlu dibuang dengan segera. Surat khabar itu mungkin lembap kotor dan mengandungi kandungan kulat yang akan merosakkan buah peria. Buah peria yang dikumpulkan akan dihantar ke pusat jualan dan ianya mempunyai daya tahan sehingga 5 hingga 7 hari di persekitaran suhu bilik (25oC).

Harress
Latest posts by Harress (see all)

About Harress

Senior Editor myagriDotComDotMy yang serius sewaktu berkebun.
This entry was posted in penanaman sayur, Peria and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply