TERUNG PIPIT


Terung pipit juga dikenali sebagai Terung Rembang, Terung Manggul, merupakan tumbuhan liar di Malaysia dan di negara-negara tropika yang lain. Ianya sejenis ulam yang tumbuh liar atau ditanam dikawasan kebun tetapi lazimnya ia terdapat di hutan Malaysia. Terung Pipit diberi nama mungkin kerana ia adalah amat disukai oleh burung seperti burung pipit yang memakan terung ini apabila masak didalam keadaan semulajadi. Terung pipit banyak dijual dipasar tani atau pasar tamu atau pasar minggu yang dikutip oleh penduduk kampung dengan harga selonggok diantara RM2.00 – RM3.00.

Terung Pipit merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan buah berwarna hijau dengan permukaan buah licin. Walaupun ianya agak jarang ditanam secara monokrop komersil, ianya masih ada tumbuh meliar dikawasan kebun. Dipercayai pokok terung pipit liar ini disebarkan oleh burung yang memakan buah dan bijinya lalu diberakkan dilokasi yang mana ia tumbuh. Burung pipit dipercayai antara spesis burung yang suka makan terung pipit yang masak. Pokok yang tumbuh meliar ini lazimnya mempunyai ketinggian pokok diantara 1.0 – 1.5 meter dengan mana ia mempunyai beberapa cabang dan ranting yang kuat.

Terdapat duri pada bahagian ranting dan daunnya. Daunnya yang berbentuk beberapa segi berwarna hijau dan berbulu sedikit. Bentuk batangnya adalah membulat dan ada tumbuhi duri yang sakit jika tercucuk pada jari tagan. Ia juga memilki bunga yang berwarna putih dimana akhirnya akan menghasilkan biji-biji muda berwarna putih setelah tua menjadi kehitaman. Biji ini boleh digunakan sebagai biji benih untuk penanaman apabila cukup matang. Dalam keadaan semulajadi, pokok terung pipit mudah tumbuh dibelukar yang agak kering atau kebun terbiar yang ditinggalkan atau dipinggir kawasan hutan. Apabila tumbuh dan berbuah maka prnduduk kamppong atau pencari hasil hutan akan memungut buahnya dan dibawa pulang atau dijual jika ada permintaan seperti pasar tani dan pasar minggu.
Buah terung pipit segar yang dibeli atau dipetik sendiri boleh dimakan sebagai ulam atau masyarakat kita memasak sebagai Sambal Terung Pipit atau Sambal Bilis Terung Pipit.

Alang-alang dah buka cerita pasal sambal bilis terung pipit ni, saya kongsikan juga resepinya.

Bahan-Bahan:
• 200g ikan bilis
• 2 cawan terung pipit, dibuang tangkai dan bersihkan
• 1/2 biji bawang besar, hiris nipis
• 2 sudu besar sos tiram
• 3 sudu besar air asam jawa
• 2-3 senduk besar minyak
• garam dan gula secukup rasa

Bahan untuk kisar halus:
• 10-15 biji cili kering, dibuang biji dan rebus
• 4 ulas bawang merah
• 3 ulas bawang putih
• 1 inci halia
• 1 biji bawang besar, potong 4

Cara Penyediaan:
1. Goreng ikan bilis separuh masak. Asingkan.
2. Panaskan minyak, tumis bawang besar sehingga kekuningan.
3. Masukkan bahan kisar dan masak sambal di atas api perlahan sehingga pecah minyak. Masukkan ikan bilis, sos tiram, air asam jawa, garam dan gula secukup rasa.
4. Kemudian masukkan terung pipit dan masak sehingga terung lembut. Angkat dan hidang.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in TERUNG PIPIT and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply