SIREH

Tergolong dalam keluarga Piperaceae, nama saintifik bagi sireh ialah Piper betle. Saya jangka, masyarakat Melayu cukup kenal dengan daun sireh. Hal ini kerana, orang-orang tua dahulu kala gemar untuk makan daun sireh. Disamping itu, sireh mempunyai banyak manfaat terutamanya dalam perubatan tradisional.

Varieti Sireh

Sireh boleh didapati dalam pelbagai varieti. Namun, yang biasa terdapat di Semenanjung Malaysia ialah;

  • Sireh Melayu

  • Sireh Cina

  • Sireh Keling

 

Sireh Melayu adalah yang digemari dikalangan pengamal makan sireh dimana ia berdaun lebar dan warnanya hijau pekat.

Sireh Cina mempunyai rasa yang lebih lembut berbanding sireh Melayu. Pokok ini boleh didapati di kawasan lembap seperti di tepi-tepi sungai atau berhampiran paya. Ia mudah ditanam tidak memerlukan penjagaan yang rumit seperti jenis sireh yang lain kecuali penyiraman air secukupnya bagi mengelakkan dia mati.

Manakala, sirih Udang pula mempunyai urat daun dibelakangnya yang berwarna merah dan gagangnya juga berwarna merah.

Sireh Keling pula bersaiz sederhana dan berwarna kehijauan tetapi agak kusam. Rasanya lebih pedas dan teksturnya yang agak keras ketika dimakan.

Ciri-ciri

Sireh adalah sejenis pepohon yang menjalar dan memanjat pada batang pokok sekelilingnya.

Daunnya berbentuk bujur (bujur sireh).

Tanaman ini hidup pada iklim tropika dan sesuai ditanam pada tanah gembur dan tidak terlalu lembab.

Rasa pedas adalah disebabkan oleh minyak ruapan yang mengandungi fenol dan terpene.

Penanaman Sireh

Tidak dinafikan, memang agak sukar untuk menanam sireh. Kebanyakkan yang menanamnya, diakhir nanti hanya menjadi lalang. Namun, hari ini saya kongsikan cara ringkas untuk tanam pokok sireh. Dengan izin Allah, semoga pokok sireh yang ditanam menggunakan cara ini dapat hidup dengan baik.

Jadi tunggu apa lagi? Siap sedia untuk tanam pokok sireh yang punyai 1001 khasiat ini.

  1. Ambil batang sireh sepanjang lebih kurang 2 kaki

2. Buang daun disepanjang batang sireh. Ini bertujuan agar pertumbuhan akar sirih lebih cepat. Kemudian, buat lingkaran

3. Langkah seterusnya ialah tanam lingkaran tadi tapi jangan terlalu dalam. Cukup sekadar menutup lingkaran tadi, dengan membiarkan kedua-dua hujung batang pokok berada di atas tanah. Selepas siap tanam, siram batang sirih tu.

Tips: Letakkan pokok ini ditempat yang sedikit teduh. Jikalau anda menanam di atas tanah dan tempat itu panas, lindung sedikit pokok sehingga separuh. Apabila naik pucuk yang baru, barulah dialihkan penutup tersebut.

Penggunaan Sireh 

Sireh sering kali digunakan oleh masyarakat Melayu lebih-lebih lagi ketika mengadakan majlis meminang, bertunang mahupun pernikahan. Untuk memulakan upacara merisik, bertunang dan pernikahan ini, masyarakat Melayu biasanya menggunakan tepak sireh sebagai pembuka kata.

Dalam adat bersirih, setiap bahan yang terkandung membawa maksud tertentu. Tepak sireh ini mengandungi daun sireh, kapur, gambir, buah pinang dan tembakau.

Sangat bernilai daun sireh ini di sisi adat resam masyarakat Melayu. Namun penggunaannya semakin lupus kerana kurangnya golongan yang makan sireh. Walhal itu, kita masih perlu mengekalkan dan terus menanam pokok sireh ini kerana khasiat dan kebaikannya tak terlupus dek zaman.

Gambar dan langkah-langkah penanaman: Facebook Salina Shamsudin

Kongsikan!
  •  
  •  
  •  
  •  
This entry was posted in Sireh and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply