PENGURUSAN TANAMAN MUSIM HUJAN

Musim hujan adakalanya menjadi kelebihan kepada tanaman anda kerana keperluan airnya sentiasa mencukupi. Secara tidak langsung, tugas-tugas penyiraman menjadi ringan. Namun, ketika musim hujan ini juga lah antara punca-punca akan mengakibatkan tanaman mudah mati. Bagi mengelakkan tanaman menjadi kurang baik, anda harus menjaga atau melakukan beberapa langkah ini.

1. Jaga siraman
Musim hujan, rutin penyiraman yang dilakukan secara harian perlu dikurangkan. Hal ini kerana tanah atau medium tanaman sudah tepu air terutamanya selepas hujan lebat. Sebelum anda berniat nak siram pokok, lihat dahulu tanah. Korek sedikit pada bahagian tanah lebih kurang 1 inchi dan masukkan jari jika ianya lembab maka penyiraman tidak diperlukan.

2. Jangan membaja atau meracun
Bukanlah anda tidak boleh melakukan pembajaan mahupun meracun pokok ketika musim hujan. Hanya, usaha anda ini akan menjadi sia-sia kerana baja dan racun yang telah digunakan akan larut bersama alliran air hujan. Akan tetapi, anda punya pilihan. Walaupun begitu, penyemburan racun kulat perlu dilakukan dengan kekerapan lebih kurang seminggu sekali bagi mengawal penyebaran penyakit daripada kulat.

3. Elakkan menyemai
Sama ada kaedah semaian biji benih atau sebagainya, musim hujan bukanlah pilihan yang terbaik. Ini disebabkan oleh kondisi medium yang sentiasa dalam keadaan lembab akan menjadi habitat baik untuk pembiakan kulat. Sebelum sempat biji benih bercambah, kulat dahulu yang mula menyerang dan menyebabkan ianya rosak. Jika anda mempunyai kawasan teduhan, ianya masih boleh dilakukan.

4. Sediakan sistem saliran sementara
Masalah air bertakung ketika hujan akan menyebabkan akar lemah dan pokok mula mati jika dalam tempoh yang lama. Oleh itu, masalah ini perlu diatasi melalui penyediaan sistem saliran sempurna. Walaupun ianya bersifat sementara, ia amat membantu. Apa yang penting adalah air tidak bertakung terlalu lama. Tambahan pula ia akan menyebabkan tanaman anda mudah dijangkiti penyakit.

5. Jaga jarak tanaman
Hal ini lebih mudah bagi tanaman berpasu atau di dalam polibeg. Jarak antara tanaman perlu dilakukan untuk memastikan cahaya dapat menembusi terus ke pangkal tanaman. Ia bertujuan mempercepatkan kadar pengeringan di bahagian tersebut. Secara tidak langsung, ia juga mampu mencegah pembiakan kulat yang banyak menjadikan permukaan tanah sebagai habitat mereka.

6. Menggembur tanah
Menggembur tanah bukan sahaja sekadar untuk tujuan memperbaiki pengudaraan di dalam tanah, malah ia mampu membaik pulih sistem saliran medium. Ketika musim hujan, sifat poros tanah menjadi kewajiban. Ini kerana ia dapat membantu mengurangkan kadar pembiakan kulat dan serangan di dalam tanah terutama ketika musim hujan.

7. Memantau tanaman
Seperti yang diperkatakan, musim hujan menyebabkan hama, kulat dan serangga yang mendiami tanah menjadi aktif. Oleh itu, pemeriksaan pada pangkal, permukaan tanah dan belakang daun perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah ini lebik teruk berlaku.

8. Tinggikan pasu/polibeg
Untuk mengurangkan risiko serangan penyakit ketika musim hujan, anda digalakkan untuk meninggikan tanaman berpasu anda. Boleh gunakan rak atau plant stand. Apabila pasu tidak bersentuhan dengan permukaan tanah, ia mampu mengalirkan air yang bertakung dengan segera. Malah, secara tidak langsung, mampu mengawal ancaman mikroorganisma yang berpunca daripada tanah.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Pengurusan Tanaman Musim Hujan and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply