PERTANIAN DAN ISLAM

Selamat menunaikan ibadah puasa buat pembaca setia myagri.com, semoga Ramadan kali ini adalah lebih baik daripada tahun lepas. Artikel kali ini adalah berkaitan dengan pertanian dan islam. Mari kita lihat dan mengetahui bahawa Islam juga telah mengalakkan pertanian sejak dari zaman dahulu lagi.

Sejak berabad kurun dahulu, sektor pertanian adalah yang paling terawal diusahakan oleh manusia. Pertanian dalam kehidupan manusia adalah penting bagi memenuhi keperluan makanan dan keperluan harian. Telah sekian lama sektor pertanian sentiasa diberikan penekanan oleh ahli agronomi dan kajian dalam penulisan mereka. Didalam islam, pertanian merupakan salah satu pekerjaan yang mulia dan digalakkan didalam agama. Kepentingan dan kebaikan mengusahakan tanaman sememangnya tidak dapat dinafikan lagi, kerana ia menyumbang kepada hasil makanan Negara serta menyumbang kepada pendapatan seharian petani.

Kegiatan didalam bidang ini merupakan cara yang mudah untuk mendapat ganjaran pahala daripada Allah swt disamping mendapat manfaat atau pendapatan yang halal disisi agama. Ketahuilah anda bahawa setiap tanaman yang kita tanam, merupakan salah satu sedekah jariah kepada haiwan yang memakannya, bayangkan sekiranya terdapat burung-burung yang memakan buah-buahan yang kita makan, dengan hanya sebiji buah sahaja kita sudah boleh perolehi pahala daripada Allah swt. Betapa mudahnya kita mendapat pahala hanya dengan berbakti kepada tanah. Setiap satu tanaman yang ditanam seseorang itu akan semakin dekat dengan Allah swt seperti sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Tiada seorang muslim pun yang bertani lalu hasil pertaniannya dimakan oleh burung atau manusia atau binatang, melainkan dia akan menerima pahala di atas hal itu” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim).

“Bertani adalah ibadah” slogan ini pernah saya lihat di papan tanda di kawasan sekitar Kelantan.Islam sangat mengalakkan umatnya untuk bertani. Banyak ayat Al-quran yang menyebut tentang hasil tanaman dan buah-buahan yang pelbagai, mengenai tanaman. Pertanian juga dapat mendekatkan diri seorang hamba kepada Allah swt. Ini dapat meningkatkan akidah seseorang apabila melihat tanda kebesaran Allah swt dengan jelas dalam proses kejadian tumbuh-tumbuhan atau tanaman. Sebagai contoh, proses tumbesaran biji benih sehinggalah meningkat dewasa.

Rasulullah saw menjelaskan kepentingan pertanian di dalam sabdanya yang bermaksud: “Andainya kiamat tiba dan pada seseorang daripadanya kamu ada sebatang anak kurma, maka hendaklah dia tanpa berlengah-lengah lagi menanamnya”. (Hadith riwayat Imam Ahmad)   Hadith ini menggambarkan kepada kita terlalu pentingnya bidang pertanian sehinggakan hampir kiamat pun digalakkan lagi bercucuk tanam oleh Rasulullah saw.

Apabila seseorang itu melakukan aktiviti pertanian, ia akan lebih membuatkan seseorang itu memahami hakikat sebenar bertawakal kepada Allah swt yang berkuasa menghidup dan mematikan. Jika Allah swt takdirkan sesuatu tanaman itu hidup, tanaman itu akan hidup dan tidak mengecewakan petani. Namun jika Allah menginginkan sebaliknya maka itulah ketetapan takdir Allah swt terhadap si petani itu. ltulah kekuasaan Allah swt seperti Firmannya yang bermaksud:

“Dan Dialah yang menurunkan hujan dari langit, lalu kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-­tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah-buahan) yang bergugus-­gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dan mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik; dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur dan zaitun serta delima, yang bersamaan (bentuk, rupa dan rasanya) dan yang tidak bersamaan. Perhatikanlah kamu pada buahnya apabila ia berubah, dan ketika masaknya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang beriman ” (AI-Ana’am: 99).

Kesimpulan Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Carilah rezeki dari khazanah bumi” (Hadith at-Tobrani). Rasulullah saw amat me­nitik beratkan umat-umatnya supaya menceburi bidang pertanian dan penternakan dan Baginda sendiri sebagai contoh bagi umatnya dalam bidang ini. Baginda teribat dengan aktiviti penternakan sejak kecil lagi di mana baginda adalah seorang pengembala kambing. Beliau pernah menyebut saat-saat yang dialaminya sewaktu mengembala kambing itu, iaitu: “Nabi-Nabi yang diutuskan Allah itu gembala kambing”. Dan sabda Baginda lagi: “Musa diutus dia gembala kambing, Daud diutus dia gembala kambing, aku diutus juga gembala kambing keluargaku di Ajyad”.

jadi ayuhlah kita melaksanakan pertanian dengan niat kerana Allah taala dan bukan kerana keuntungan semata-mata. semoga dengan pekerjaan kita mendapat rahmat dan diberkati rezekinya.

 

 

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)
Kongsikan!
  • 17
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    17
    Shares

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in pertanian dan islam and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply