PENANAMAN SAYUR-SAYURAN SECARA KONVENSIONAL

penanaman sayur secara konvensional diatas batas

Sayur-sayuran merupakan sumber vitamin,mineral, protein dan fibre buat tubuh badan manusia. Kebanyakan sayur-sayuran kini masih ditanam meluas secara konvensional menggunakan batas. Cameron highland merupakan kawasan tanaman sayuran yang paling besar di Malaysia. Hampir 80% sayuran adalah berasal daripada tanah tinggi ini.  Terdapat pelbagai jenis-jenis sayuran mengikut jenis.

Jenis-jenis sayuran:

Daun – bayam,sawi,kobis,kangkung,sawi putih

Kekacang- kacang panjang,kacang buncis,kacang botor

Akar/umbisi- ubi kentang,ubi kayu, lobak merah, lobak putih,sengkuang,ubi keledek

Buah- tomato,bendi,cili,kundur,terung,petola,timun.

 

Pemilihan tapak

Bagi penanaman secara konvensional, terdapat beberapa langkah yang perlu dilakukan sebelum menanam. Pemilihan tapak yang sesuai adalah benda yang paling utama sebelum memulakan penanaman.

  • Tapak tanaman mestilah berhampiran dengan pekan atau Bandar untuk memudahkan proses pemasaran.
  • Tanah yang sesuai untuk menanam sayur
  • Tanah yang mempunyai sumber air untuk penyiraman dan mencuci
  • Mempunyai kemudahan infrastuktur
  • Jauh dari gangguan perosak dan penyakit
  • Kawasan lapang yang terdedah kepada cahaya matahari

Penyediaan tapak dan batas

Bagi penyediaan tapak, keadaan tanah perlu diambil kira terlebih dahulu. Malaysia mempunyai beberapa jenis tanah antaranya ialah tanah lempung yang mengandungi tanah liat yang tinggi, tanah berpasir iaitu tanah bekas lombong dan tanah bris,tanah berasid seperti tanah gambut dan tanah asid sulfat yang mempunyai ph yang rendah. Tanah yang sesuai untuk tanaman sayuran ialah jenis tanah peroi yang mempunyai saliran yang baik, menyimpan nutrient, kelembapan yang sederhana dan tidak terlalu berasid.

Bagi penyediaan batas, perkara utama yang perlu kita buat ialah membuang kayu dan batu pada tanah serta membakar rumpai bagi mengelakkan penyakit. Kemudian tanah digali dan digembur untuk membunuh haiwan perosak yang terdapat didalam tanah serta menghapuskan rumpai. Gembur sehingga tanah halus untuk memudahkan proses pengudaraan dan saliran air. Bina batas rata dengan ketinggian 15-25 cm atau batas tinggi 20-25cm. untuk mengelakkan daripada proses luluhawa dan kehilangan air dan nutrient akibat pemeluwapan pada tanah berlaku,sungkupan boleh diletakkan. Contoh sungkupan ialah seperti daun pelepah,cocopeat atau kompos.

Pemilihan dan semaian biji benih

Pemilihan biji benih perlu dilakukan dengan sempurna dan teliti bagi menjamin kadar percambahan dan pertumbuhan anak benih yang sihat seterusnya membawa pulangan yang tinggi.

Ciri-ciri biji benih yang baik

  • Besar dan berisi penuh supaya anak benih sihat.
  • Cukup matang dan bernas supaya kadar percambahan tinggi.
  • Bebas dari haiwan perosak dan penyakit agar peratus percambahan menjadi tinggi.
  • Tidak rosak atau cacat.

Penyemaian biji benih

Cara menyemai biji benih adalah bergantung kepada saiznya. Terdapat tiga cara penyemaian:

  1. Semaian terus biji benih besar
  • Semaian terus secara tetap pada jarak yang tertentu.
  • Rendamkan biji benih seharian untuk mempercepatkan percambahan
  • Tanam sebiji atau dua biji selubang
  • Selepas bercambah, lakukan penjarangan.
  1. Semaian terus biji benih kecil

Menyemai sayuran berbiji benih kecil seperti jenis daun, cili tomato, terus dan lain-lain boleh menggunakan dua cara:

  1. Semaian terus ke batas tetap.
  • Kaedah alur – buat alur yang cetek dengan jarak tertentu
  • Tabur sedikit ke alur dan timbuskan sedikit dengan tanah.
  • Letakkan sungkupan dan siram air.
  • Selepas percambahan, jarangkan anak benih dan tinggalkan pokok pada jarak tertentu.
  1. semaian biji benih halus di dalam kotak semaian

Kebaikan menyemai di dalam kotak semaian semaian

  • Bagi biji benih yang halus seperti bayam,kita boleh campurkan biji benih dengan pasir dan taburkan ke kotak semaian (mudah untuk membuat penjarangan)
  • penjagaan anak benih lebih mudah
  • anak benih yang sihat boleh dipilih untuk diubah ke batas tetap. Ini memastikan hasil yang bertambah.
  • anak benih yang sama saiz boleh dipilih dan akan memberi tumbesaran yang sama.
  • Pokok yang rosak dibatas tetap mudah diganti dari batas semaian.
  1. Menyemai cara semai tabur

Teknik menyemai secara semai tabur adalah seperti berikut,

  • tabur biji benih atas batas dan timbus dengan lapisan tanah yang nipis.
  • Membuat sungkupan dan siram air.
  • selepas percambahan, jarangkan anak benih dan tinggalkan pokok pada jarak tertentu.

Penjarangan

Satu proses pembuangan anak benih / pokok yang tumbuh terlalu rapat di antara satu sama lain.Sebab-sebab penjarangan adalah untuk mengurangkan anak benih/ pokok bersaing untuk mendapatkan cahaya, air dan nutrien. Penjarangan dilakukan dengan memotong batang atau cabut pokok dengan pisau tajam.

Menyulam

Satu proses mengubah anak benih di bahagian yang terlalu jarang di antara anak pokok atau mengantikan anak pokok yang sudah mati. Sekiranya anak pokok terlalu jarang di batas atau tapak penanaman, akan berlaku pembaziran tempat dan akan merendahkan pengeluaran hasil serta kos akan meningkat.

Naungan

Naungan perlu diberikan kepada anak benih muda atau baru diubah untuk mengurangkan pancaran cahaya matahari yang terik ke atas anak benih. Cahaya matahari yang terik mungkin menyebabkan anak benih layu dan mati.

Bahan-bahan biasa yang digunakan ialah pelepah kelapa, lalang/rumput yang dipotong, kertas plastik dan jaring. Naungan janganlah terlalu tinggi kerana cahaya matahari yang terik dan air hujan boleh masuk menerusi tepi naungan. Naungan haruslah sedikit demi sedikit dibuang ketika anak benih membesar. Ini akan membolehkannya menerima cahaya matahari untuk melakukan proses fotosintesis.

Penjagaan tanaman sayuran

Penjagaan tanaman sayuran meliputi aktiviti berikut:

  • menyiram- 2 kali sehari pagi dan petang
  • merumpai- untk mengelakkan persaingan mendapatkan nutrient,air,cahaya dan ruang
  • membaja- sayuran memerlukan 3 jenis nutrient yang utama iaitu nitrogen,fosforus dan kalium (NPK) + kalium dan sulfur + baja organik (kompos)
  • membuat sokongan bagi sayuran jenis memanjat atau melilit-gunakan kayu pemancang
  • mengawal serangga perosak dan penyakit- sayur-sayuran adalah sangat sensitive pada perosak dan penyakit. Sentiasa buat kawalan dan lakukan pencegahan dengan segera.
Kongsikan!
This entry was posted in penanaman sayur and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply