TANAMAN KOKO


Koko atau nama saintifiknya Theobroma cacao dari keluarga Sterculiaceae adalah sejenis tumbuhan yang boleh ditanam di Malaysia. Pokok koko menghasilkan buah yang bijinya diambil untuk dibuat coklat dan minuman koko. Di Malaysia penanaman secara komersil bermula apabila kultivar Upper Amazon didapati sesuai ditanam di negara ini.

Pokok koko adalah kecil dengan ketinggian antara (4.5-7.5 m), merupakan pokok malar hijau. Ia tumbuh secara semulajadi pada tahap ketinggian 1,000 kaki dari aras laut (m), dan memerlukan cuaca lembab dengan hujan berkala dan tanah yang subur.

Biji koko biasanya dipanggil “beans”, terkandung di dalam buah yang dikenali sebagai pod koko yang berbentuk bujur sepanjang 15-30 cm dan 8-10 cm lebar. Setiap pod mengandungi 20 hingga 60 biji benih dalam isi putih. Hampir 300 biji diperlukan untuk menghasilkan 1 kilogram pasta koko. Setiap biji mengandungi 40-50% lemak dalam bentuk mentega koko.

Setelah mencapai ketinggian tertentu, batang vegetatif menghentikan pemanjangan dan kelompok tunas sekunder berkembang membentuk tiga hingga lima cabang yang tersusun secara terminal. Terbahagi kepada dua cabang:
1. Cabang Ortotrop – menegak dan cantasan perlu dilakukan.
2. Cabang Plagiotrop – mendatar dan dipelihara.

Pokok koko mula berbunga pada umur 18 bulan hingga 3 tahun. Bunga yang dihasilkan adalah hermafrodit yang terbit dari cabang yang matang. Kebiasaanya hanya 1-2% bunga membentuk buah. Pendebungaan koko boleh berlaku dengan cara kacukan sendiri atau dengan debunga dari pokok lain.

Buah koko akan matang antara 5-6 bulan selepas pendebungaan. Saiz buah dan bentuk buah banyak bergantung kepada klon. Setiap buah koko mengandungi antara 30-50 biji koko yang dikelilingi oleh lendir manis. Buah kebiasaannya berwarna hijau atau merah sebelum matang dan bertukar kuning sewaktu matang atau masak. Suhu maksimum yang sesuai adalah antara 30-320C dan suhu minimum antara 18-210C. Manakala tanah yang paling sesuai untuk tanaman koko ialah tanah yang mempunyai struktur tanah liat.

Bahan tanaman dipilih dari pokok yang mempunyai ciri-ciri hasil yang tinggi, biji yang bermutu, kandungan lemak yang tinggi dalam biji dan daya tahan terhadap serangan penyakit dan perosak utama. Jenis bahan tanaman adalah dari jenis hibrid dan klon. Jarak tanaman paling sesuai bagi tanaman pokok koko ialah 3m x 3m.

Pemangkasan yang betul sangat penting untuk mendapatkan hasil yang tinggi. Jika pemangkasan tidak dilakukan dengan betul maka baja yang diberikan tidak akan memberikan kesan pada pokok. Pemangkasan juga boleh mengurangkan penyakit kulat dan serangan makhluk perosak serta meningkatkan hasil.

Koko mula berbunga pada umur 18-30 bulan selepas ditanam. Buah koko samada warna hijau atau merah semasa muda akan bertukar warna kuning apabila matang. Pada peringkat ini buah sedia untuk dipetik atau dipungut. Hasil koko adalah antara 1 hingga 5 tan metrik/ha setahun bergantung kepada amalan pengurusan ladang.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Koko and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply