PEMILIHAN BENIH NENAS


Pemilihan benih nenas merupakan satu aspek penting dalam industri penanaman nenas. Nenas (Ananas comosus) merupakan sejenis tanaman buah tropika yang penting di negara kita semenjak tahun 1900 lagi sebagai komoditi eksport yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Industri nenas perlukan benih yang banyak dengan kadar keperluan benih adalah 17,000 sulur seekar (atau 42,000 sulur benih sehektar) setiap kali penanaman.

Tanaman nenas perlukan masa diantara 12-13 bulan bagi nenas Moris, sekitar 14 -15 bulan bagi nenas MD2 dan sekitar 16-18 bulan bagi nenas Gandul. Pemilihan benih nenas amat penting dalam penanaman nenas kerana hanya benih yang baik mampu menghasilkan buah yang berkualiti. Penanam nenas lazimnya akan menggunakan benihnya sendiri dalam kesinambungan penanaman nenas semenjak dahulu lagi.

LPNM merupakan salah satu pihak yang mengedarkan benih nenas baru selain daripada Jabatan Pertanian dan instutusi lain. Bagaimanapun ada yang membeli benih nenas daripada pihak swasta secara langsung terutama bagi syarikat-syarikat yang ada modal dan tanah yang luas.

Punca utama benih nenas masa kini adalah dari sulur tanah (Ground Suckers), sulur udara (aerial suckers) dan jambul (crown) daripada pokok induk yang dikenalpasti sesuai untuk dijadikan benih nenas. Penulis yang terlibat dengan penyediaan standard benih nenas di SIRIM agak mahir dengan spesifikasi dalam menentukan kualiti benih nenas yang sesuai untuk di tanam di negara kita. Bergantung kepada varieti dan amalan agronomi dikebun maka jumlah sulur tanah dan sulur udara yang dihasilkan setiap pokok adalah berbeza-beza. Bagaimana pun untuk beberapa varieti nenas yang popular ditanam biasanya jumlah sulur tanah dikeluarkan sekitar 4-6 sulur sepokok.

Jambul pula kebanyakan buah nenas mempunyai satu jambul sihat yang sesuai untuk dijadikan benih tanaman manakala jika ada banyak jambul pada buah nenas ia kurang sesuai dijadikan benih tanaman. Sulur tanah akan keluar diantara 3 – 6 bulan setelah buah nenas dikutip hasilnya dan daun-daun pokok nenas dicantas dengan parang. Bagi beberapa jenis nenas seperti nenas moris dan beberapa lagi sulur tanah ini keluar sebelum pokok matang dan boleh dijadikan anak benih tetapi perlu memilih sulur yang betul.

Pertama sekali pengusaha perlu mendapatkan anak benih (sulur atau crown) daripada pembekal yang disahkan telah ada Sijil Skim Pengesahan Bahan Tanaman (SPBT) daripada pihak Jabatan Pertanian. Ini kerana ladang nenas yang telah ada SPBT telah menjalani pemeriksaan khusus oleh pakar di Bahagian BKKT dalam menentukan benih tersebut sesuai untuk dijadikan bahan tanaman.

Mereka mempunyai SOP untuk menilai pokok induk tersebut boleh diambil benihnya untuk ditanam. Pemeriksaan dilakukan pada semua pokok yang ada dikebun semasa berbuah terutama untuk varieti hibrid MD2 dimana bentuk buahnya akan menjadi bukti utama. Ramai penanam nenas yang tertipu membeli sulur nenas dan jambul nenas yang didakwa tulin sebaliknya apabila ditanam ia bukanlah nenas MD2 yang sebenar.

Kami mengesyorkan setiap kelompok, syarikat swasta dan individu yang menanam nenas agar mengadakan ‘Ladang Benih Nenas’sendiri. Lazimnya kami dapati penanam nenas yang lama dalam ‘dunia penanaman nenas’ akan mengambil benih daripada plot yang telah diambil buahnya tanpa membuat pemeriksaan teliti. Mereka tidak menandakan pokok nenas yang mudah diserang penyakit, pokok mutant, pokok buah patah tengkok, pokok bantut, pokok hasilkan buah kecik dan sebagainya dikebun. Sepatutnya pokok seperti ini perlu dimusnahkan semasa dibuat pemeriksaan ladang atau semasa menuai hasil. Pokok ini boleh dicabut terus dan dimusnahkan atau boleh ditandakan dengan mencantas daun nenas separuh (yang lainnya dibuang semua) atau ditandakan dengan cat warna menandakan benihnya tidak akan digunakan kelak.

Kaedah lain adalah dengan ambil benih yang sihat sahaja dan dikumpul dan ditanam dalam plot ‘ladang benih’ yang khusus ditempat berasingan dengan plot pengeluaran buah komersil. Aktiviti pemeriksaan ladang benih ini boleh dilakukan dengan lebih baik bagi menghasilkan anak benih berkualiti. Semoga dimasa akan datang lebih ramai penanam nenas yang mempunyai ladang benih nenas sendiri.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in nanas and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply