Azolla adalah sejenis tumbuhan air terapung dan tergolong dalam keluarga Azollaceae. Azolla menjadi hos pada alga simbiotik biru hijau, Anabaena azollae, yang bertanggungjawab untuk penetapan dan asimilasi nitrogen (nitrogen fixing) dari udara. Azolla, seterusnya, menyediakan sumber karbon dan persekitaran yang baik untuk pertumbuhan dan perkembangan alga. Ia adalah hubungan simbiotik unik yang membuatkan Azolla sebagai tumbuhan yang berguna dengan kandungan protein yang tinggi.
Azolla sangat mudah untuk membiak dan sesuai digunakan sebagai makanan ternakan seperti ikan, ayam, itik, kambing, lembu dan sebagainya. Ia juga boleh digunakan sebagai baja organik untuk pertanian. Ia popular dan ditanam secara meluas di negara-negara lain seperti India, China, Indonesia, Vietnam, dan Filipina, tetapi masih belum digunakan secara meluas ni Malaysia.
Kandungan nutrien dan kesannya ke atas pertumbuhan
Azolla adalah sangat kaya dengan protein, asid amino, vitamin (vitamin A, vitamin B12 dan Beta Carotene) dan mineral seperti kalsium, fosforus, kalium, besi, copper, magnesium dan lain-lain. Pada berat kering, ia mengandungi 25 – 35 peratus protein, 10 – 15 peratus mineral dan 7 – 10 peratus asid amino, bahan-bahan bio-aktif dan bio-polimer. Kandungan Karbohidrat dan lemak Azolla adalah sangat rendah. Komposisi nutrien menjadikannya makanan yang sangat sesuai untuk ternakan. Ternakan mudah mencerna Azolla kerana protein yang tinggi dan kandungan lignin rendah.
Cara-cara pembiakan Azolla
Azolla sangat mudah dan cepat untuk membiak. Ia memerlukan baja dan cahaya matahari yang mencukupi dan boleh membiak sekali ganda dalam masa 2 hingga 5 hari.
Anda memerlukan :
1. Azolla segar sebagai starter.
2. Bekas yang boleh menakung air dengan kedalaman 4 hingga 6 inci.
3. Baja seperti baja organik (tahi ayam, kambing dsb)
Langkah 1
Sediakan takung yang sesuai dan buat lubang overflow agar air tidak melimpah keluar.. Jika menggunakan air paip, biarkan semalaman untuk hilangkan klorin.
Langkah 2
Masukan sedikit baja. Disarankan untuk anda menggunakan 3 takung air dan letak kuantiti baja yang berbeza. Dengan ini anda boleh tahu berapa kuantiti yang sesuai melalui perkembangan di 3 takung tersebut.
Anda boleh gunakan baja organik seperti tahi ayam atau kambing. Anda boleh membelinya di mana-mana nursery atau ambil di ladang anda. Jika gunakan yang diambil dari ladang, biarkan dalam semimggu sebelum digunakan.
Langkah 3
Masukan Azolla untuk memenuhi tidak lebih dari 50 peratus dari permukaan air. Letak takung ditempat yang ada cahaya matahari yang mencukupi. Dalam masa 3 hingga 5 hari, Azolla akan memenuhi takung tersebut. Kadar pembiakan berbeza mengikut jumlah baja dan cahaya matahari. Anda boleh melihat perbezaan kadar pembiakan mengikut baja yang digunakan. Ini memudahkan untuk anda anggarkan kuantiti baja yamg sesuai.
Ini ialah hasil yang anda mahukan, dimana Azolla membiakan dengan cepat, segar, kelopak yang besar dan tebal.
Langkah 4
Setelah azolla penuh, anda boleh ambil separuh dan masukan dalam takung lain. Ulang hingga anda mempunyai cukup stok Azolla. Selepas itu anda boleh mula mengambil Azolla untuk diberi pada ternakan atau biakan dalam takung atau kolam yang lebih besar.
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020