LENGKUAS


Lengkuas (Alpinia galanga) merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga Zingiberaceae sama seperti halia dan kunyit. Lengkuas merupakan sejenis rizom dengan kegunaan masakan dan perubatan dan banyak digunakan di Asia Tenggara. Rupanya hampir sama dengan halia. Lengkuas merupakan tanaman tempatan di Asia Tenggara. Antara kegunaan lengkuas adalah di dalam masakan untuk menambah aroma seperti masakan pedas, laksa penang, sup singgang dan boleh digunakan untuk masakan goreng.

Ia merupakan tanaman umbisi yang mudah ditanam, dijaga dan diselenggara asalkan ditanam dikawasan sesuai dan dari benih yang baik. Lengkuas perlukan kawasan yang lembab, gembur dan mempunyai saliran yang baik. Lengkuas tumbuh dari perdu dibahagian bawah sehingga kepucuk dalam aturan bentuk rumpun. Tanaman ini mempunyai rizom pada bahagian akar yang digunakan sebagai bahan utama penghasilan lengkuas.

Lazimnya Rizom lengkuas yang matang dan sesuai dituai adalah berwarna keemasan kekuningan dengan rizom muda ada warna kemerahan. Lengkuas yang cukup umur melebihi 9 bulan lazimnya sudah boleh diambil. Bahagian batang tumbuh menegak berwarna hijau dan membentuk daun dan ketinggian sehingga 1-3 meter. Baagian bunga lengkuas berwarna keputihan secara berangkai dengan bahagian bawah lebih banyak dari bahagian atas dengan 3-6 bunga satu kuntum.

Lengkuas tumbuh mengikut rumpun dalam satu perdu pokok. Kaedah penanaman lengkuas di Malaysia biasanya menggunakan bahan tanaman benih yang diambil dari rizom. Rizom yang masih segar diambil dari pokok induk dengan memotong antara 10-15 cm dengan mempastikan mempunyai ruas dan mata tunas. Sebaiknya buat rawatan dengan racun kulat sebelum menanam.

Antara kriteria penyediaan benih yang baik dimana bahan benih perlu diambil terus dari kebun induk (bukan dari pasar). Kemudian ianya dipilih dari tanaman yang sudah tua iaitu yang telah berumur 9 -10 bulan. Sebaiknya juga ia dipilih pula dari tanaman yang sihat dimana kelihatan kulit benih umbisi tidak terluka atau melecet.
Teknik penyemaian benih bagi tujuan pertumbuhan tanaman yang serentak atau seragam dengan benih tersebut jangan terus ditanam dalam kebun sebaiknya terlebih dahulu dicambahkan. Penyemaian benih lengkuas ini boleh dilakukan dalam peti kayu atau dengan batas semaian. Kaedah ini membolehkan anak benih lengkuas ini tumbuh seragam diatas semaian sebelum dialihkan ke kebun tanaman.

Lubang penanaman sedalam 15-20 cm digali dan masukkan rizom kedalamnya dan timbus dengan tanah. Jarak penanaman disyorkan adalah 0.5 meter x 1 meter diatas tanah rata. Pembajaan asas dengan baja organik dan baja 15:15:15 sebanyak 20-30 gram serumpun. Buat cantasan atau buang pelepah daun yang telah tua atau mati untuk pastikan pokok tumbuh dengan baik.

Pokok lengkuas yang ditanam akan mula matang selepas 9 bulan ditanam atau lebih lama lagi. Penuaian hasil lengkuas di lakukan dengan menggali pokok yang matang dengan cangkul atau mencabutnya sendiri jika ditanah gambut yang peroi. Aktiviti menuai lengkuas boleh dilakukan pada semasa tanaman lengkuas berumur 2.5 – 3 bulan dengan tahap penjagaan optima. Penuaian lewat menghasilkan lengkuas lebih tua menyebabkan dimana ia mengandungi banyak serat kasar yang tidak sesuai di pasarkan.

Kemudian di buang bahagian batang dan daun atas dan diasingkan umbisi lengkuas. Perdu lengkuas kemudian perlu dipecahkan atau pun diasingkan daripada rumpun kira-kira 2-4 rizom satu bahagian bagi tujuan pemasaran sama seperti penuaian halia dan kunyit. Rizom lengkuas yang cukup matang ini dibersihkan daripada kekotoran tanah dengan membasuhnya dengan air bersih. Daripada rekod menunjukkan lengkuas ini mampu bertahan dalam simpanan sehingga 30 hari jika di simpan dengan baik.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in LENGKUAS and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply