PADI ANGIN

PADI ANGIN bermaksud jenis-jenis padi (Oryza sativa) yang dikategorikan sebagai rumpai dimana ianya mempunyai sifat bijinya mudah terlerai daripada tangkai. Kejadian dan wujudnya banyak jenis padi angin dalam sawah padi merupakan satu masalah kepada pesawah kerana ianya menjejaskan dan mengurangkan hasil padi. Ramai pesawah tidak dapat membezakan pokok padi angin dengan pokok padi biasa semasa peringkat awal penanaman sehinggalah padi masak. Tangkai padi nampak biasa sahaja tetapi apabila digengam atau dituai menggunakan jentera maka biji-biji padi pada tangkai mudah gugur dan jatuh ketanah.

Padi Angin boleh dikenali dari segi marfologinya setelah tanaman padi kita terbit tangkainya (Tangkai biji padi). Ketinggian pokok padi angin lazimnya lebih tinggi daripada pokok padi biasa dalam sawah. Bagaimana pun banyak juga padi angin yang sama tinggi dengan pokok padi biasa atau ada yang lebih rendah daripada varieti padi ditanam.

Jika dilihat dengan teliti tangkai padi angin adalah dalam bentuk terbuka atau kompak berbanding dengan padi ditanam yang seragam bentuknya. Sifat padi angin juga bijinya didapati mudah karat atau berpigmen dengan warna biji lebih coklat gelap berbanding dengan padi ditanam tetapi ada juga yang sifat bijinya sama dengan padi yang ditanam. Biji padi angin juga didapati mempunyai janggut atau berekor (awn) jika diteliti pada tangkai padi. Akhir sekali dari segi marfologinya pesawah perlu melihat ciri perbezaan daun seperti kelihatan sifat daun pengasuh yang melentur, menegak dan juga mendatar pada pokok padi angin.

Padi Angin adalah adalah jenis rumpai yang menyerupai padi biasa dan kita amat sukar untuk mengenalinya dan mengawalnya semasa penanaman. Padi Angin mempunyai batang yang tingggi dan ruas yang panjang serta bijinya mudah relai dengan spontan apabila digoyang atau akibat tiupan angin kuat. Biji padi angin yang jatuh dalam tanah adalah tahan lama tanpa rosak serta mempunyai daya rehat (dormancy period) lebih lama berbanding biji benih padi biasa yang ditanam. Bijinya yang berwarna coklat karat mempunyai toleransi yang tinggi terhadap penggunaan racun rumpai yang disembur dimana ia agak sukar mati. Padi angin menyukarkan pesawah untuk menyimpan biji benih bagi tujuan bank benih serta terpaksa dihapuskan. Padi angin juga mudah membiak melaui aliran air sawah, traktor pembajak dan paling cepat melalui mesin tuai padi atau jentuai (Paddy Harvester).

Kawalan Padi Angin boleh dijalankan melalui 3 cara iaitu kaedah mekanikal, kaedah fizikal dan juga kaedah kimia. Kaedah Mekanikal yang paling mudah dan lazim dijalankan ialah melalui Kaedah Pembajakkan Sawah setiap musim penanaman. Pembajakan yang dijalankan akan melumatkan tanah, menghancurkan akar rumpai dan mematikan rumpai-rumpai halus. Pembalikan tanah sawah juga akan mendedahkan biji benih kepada cahaya matahari dan mudah untuk disembur dengan racun kimia bagi membunuhnya. Kawalan Mekanikal walaupun jarang-jarang dilakukan kini oleh petani membantu mengawal padi angin dengan menakai, mencabut dan membakar padi angin dalam sawah walaupun prosesnya agak lama, leceh dan memerlukan lorong khas untuk menakai.

Kaedah kawalan paling popular adalah dengan menggunakan Kaedah Semburan Racun Kimia. Selain daripada mudah diaplikasikan, kaedah ini juga cepat, berkesan, kadar kejayaan yang agak tinggi dan senang untuk mendapatkan bekalan racun dari pembekal. Jenis racun yang digunakan dari jenis Racun serap (Systemic) dan Racun sentuh (Contact). Disyorkan agar jenis-jenis racun yang hendak digunakan ditukar silih berganti untuk elakkan kadar Rintang. Sebaiknya pastikan mengawal air dalam sawah ketika semburan racun kimia dijalankan. Diantara beberapa jenis racun yang boleh digunakan seperti 2,4-D, Atrazine, Disimba, Glyphosate, Isopropylamine, Pretilachlor dan Propanil. Pesawah perlu memastikan penggunaan racun kimia mengikut arahan pada label.

Kewujudan padi angin dalam sawah padi menyebabkan kerugian kepada petani dan perlu sentiasa dikawal dalam semua peringkat. Padi Angin merupakan ancaman kepada pesawah kerana rumpai ini menyerupai padi biasa. Padi angin adalah sukar untuk dikawal dan ianya tidak mendatangkan hasil. Latihan Hands-On dan pemahaman oleh pesawah tentang pencirian padi angin, tahap infestasi, kaedah kawalan serta pemahaman mengenai manual operasi kawalan padi angin perlu diterapkan kepada pesawah.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in PADI ANGIN and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply