STRUKTUR PERLINDUNGAN HUJAN (SPH)

Pertanian secara fertigasi biasanya dikaitkan dengan penggunaan Struktur Perlindungan Hujan (SPH). SPH adalah struktur bumbung yang melindungi tumbuhan yang ditanam di bawahnya daripada hujan lebat dan pancaran cahaya matahari yang terik.

Contoh struktur perlindungan hujan

Biasanya bahagian bumbung SPH diperbuat dengan menggunakan bahan plastik yang mempunya lapisan perlindungan UV. Rangkanya diperbuat daripada batang atau paip besi, kayu, plastik, ataupun bahan lain yang kukuh. Saiznya juga adalah pelbagai, mengikut kesesuaian tapak pertanian dan juga kos. Kadangkala SPH juga dipasangkan dengan jaring kalis serangga sebagai dinding bagi mengawal serangan serangga perosak.

Perlindungan daripada pancaran UV cahaya matahari dapat mengelakkan tanaman daripada terlalu cepat layu. Perlindungan daripada hujan pula dapat mengelakkan atau mengurangkan serangan penyakit yang diakibatkan oleh kulat. Disamping itu, perlindungan hujan juga dapat memastikan baja ataupun semburan racun perosak yang diberikan kepada tanaman tidak tiris dan terbilas. Kalau terbilas, akan menyebabkan tanaman tidak mendapat jumlah baja yang mencukupi ataupun keberkesanan racun tidak tercapai.

Walaubagaimanapun, di dalam pertanian secara fertigasi, penggunaan SPH bukanlah satu kemestian. Boleh juga dilakukan secara terbuka. Kuantiti dan kualiti hasil tanaman yang baik masih lagi boleh dicapai tanpa menggunakan SPH sekiranya dilaksanakan dengan cara yang betul dan teliti.

Contoh sistem terbuka

Terdapat juga beberapa keburukan dalam penggunaan SPH. Antaranya, kos yang tinggi dan tempoh pemasangan yang lama menimbulkan tekanan pada permulaan projek dan melambatkan tempoh pulangan modal. Kos penyelenggaraan juga adalah tinggi sekiranya berlaku kerosakan, contohnya jika bumbung plastik bocor. Disamping itu, hujan dan serangga juga adalah agen pendebungaan yang penting. Jadi, penggunaan SPH yang melindungi tanaman daripada hujan dan serangga secara tidak langsung mungkin menyebabkan proses pendebungaan terjejas, seterusnya akan mengurangkan hasil yang diperolehi.

Namun begitu, kebaikan dan keburukan ini bolehlah diseimbangkan agar dapat memenuhi keperluan dan kemampuan masing-masing, seterusnya dapat mencapai pendapatan yang paling lumayan serta tempoh pulangan modal yang paling segera.

Untuk peralatan dan input pertanian boleh cuba lihat di kedai online MYAGRI CONSULTING

Manakala untuk kursus pertanian secara online boleh layari STARTUP MYAGRI

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in SPH and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply