RUMPAI LAUT

Rumpai laut merupakan tumbuhan akuatik liar yang banyak terdapat di pesisir pantai terutamanya di kawasan terumbu karang dan pantai yang terlindung. Rumpai laut ialah tumbuhan laut yang dikenali sebagai alga, dibezakan berasaskan pigmen warna asli yang ada padanya seperti merah, hijau atau perang.Terdapat pelbagai jenis rumpai laut yang berbeza jenis, tumbuh liar di pesisir pantai negara ini. Rumpai laut dari jenis tumbuhan besar atau dipanggil sebagai macro-algea diklasifikasikan dalam tiga kumpulan terbesar berdasarkan pigmentasi iaitu rumpai laut coklat (Phaeophyceae), rumpai laut merah (Rhodophyceae) dan rumpai laut hijau (Chlorophyceae). Penternakan rumpai laut diperkenalkan secara meluas di perairan negeri Sabah pada tahun 90 an. Spesies utama yang diternak ialah dari jenis rumpai laut merah iaitu Kappaphycus alvarezii (Eucheuma cottoni) bagi penghasilan biopolimer marin iaitu karaginan.

Karaginan adalah bahan terbaik untuk dibuat bahan penggental atau pembuatan gel seperti kita buat kuih agar-agar. Selain itu, ia adalah produk yang diperolehi dari rumpai laut yang banyak digunakan oleh pelbagai industri seperti pharmaceutical, kosmetik, kilang penapisan, makanan pengawetan dan juga dalam industri pembuatan bahan letupan dan peluru. Kultur rumpai laut telah menjadi satu bidang yang diminati di kalangan pengusaha gigih di Malaysia, berdasarkan dari galakan dan sokongan yang diberi oleh pelbagai agensi kerajaan terutamanya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan kajian oleh beberapa universiti dan lain-lain. Insentif galakan industri ini perlu di berikan seperti insentif cukai, insentif harga, pekerja, teknologi, penyelidikan dan sebagainya.

Menjelang tahun 2020, jabatan mensasarkan industri rumpai laut menyumbang sebanyak 730 ribu tan metrik atau 50% daripada pengeluaran ikan negara. Pengeluaran tertumpu di negeri Sabah dan usaha sedang dilaksanakan untuk mengembangkan penanaman rumpai laut di kawasan-kawasan lain seperti di Perairan Pulau Langkawi, Kedah. Pada tahun 2014, keluasan kawasan penanaman rumpai laut di Sabah adalah sekitar 13,000 hektar di mana sebahagian besarnya atau 87% terletak di daerah Semporna. Daerah-daerah lain termasuklah daerah Kunak (5%), Lahad Datu (5%), Daerah Tawau ( 2%) dan baki 1% di daerah-daerah Pantai Barat Sabah seperti Kudat, Tuaran dan Kota Belud.

Antara jenis-jenis Rumpai Laut yang sesuai di komersialkan adalah seperti Eucheuma cottonii dan Euchuema spinosunm iaitu dua jenis runpai laut yang lazim ditanam pada masa kini di Malaysia dan kawasan di Asia Tenggara. Perbezaan antara kedua-dua jenis ini ialah Eucheuma spinosummempunyai dahan yang seakan-akan berduri manakala Eucheuma cottonii tidak menpunyai dahan berduri. Rumpai laut adalah salah satu tumbuhan yang bernilai tinggi di bawah air laut atau beberapa kawasan sungai di dunia. Ianya adalah tumbuhan yang menarik dan berlainan dari jenis-jenis tumbuhan di laut.

Eucheuma cottonii

Euchuema spinosunm

Teknologi menanam rumpai laut jenis Euchema cottonii yang berwarna keemasan ini agak mudah iaitu dengan mengikat rumpun benih rumpailaut sebanyak 25 jalur pada tali dengan jarak 2 meter antara ikatan. Tali panjang yang ada 250 titik ikatan iaitu dalam kawasan air laut seluas 50m x 50m akan terdapat sebanyak 6,250 ikatan benih rumpailaut. Keperluan benih rumpai laut dianggarkan sebanyak 650 kg. Kawasan ini perlu di periksa selalu untuk mempastikan ikatan tidak terlepas dan membetulkan susunan tali kerana bercantum atau terlepas dari ikatan. Pemerhatian dan amalan yang dijalankan oleh petani rumpailaut di Indonesia lazimanya akan menuai awal dalam masa 30-35 hari lepas tanam. Pada masa ini biasanya untuk diambil bagi dijadikan benih untuk pembesaran projek atau dijual sebagai benih kepada orang lain. Kos yang utama peringkat awal untuk membeli anak benih rumpailaut.

Masa menuai terbaik ialah 45 hari lepas tanam dimana kandungan carrageenan masa tersebut adalah paling baik kualitinya. Kaedah menuai adalah dengan mengutip rumpai dari dalam air dan kemudian di jemur diatas para ditempat panas selama 2-3 hari sehingga kandungan air tinggal 38% sahaja dan kandungan kekotoran cuma 3% sahaja.
Kawasan pantai laut yang mempunyai kadar kemasinan(salinity) lebih dari 30 ppm dengan air laut jernih amat baik untuk pertumbuhan rumpailaut. Faktor lain kesesuaian adalah seperti gelombang laut dan suhu air yang sesuai serta banyak mengandungi sumber makanan yang terdiri dari natrium dan posfat dalam air laut. Kajian saintis yang dijalankan mendapati kadar kemasinan dibawah 25 ppm akan menyebabkan rumpai laut tidak dapat tumbuh. Air laut yang kotor dengan kemasinan antara 15-20 ppm pula akan terus memusnahkan rumpailaut terutama pada musim hujan monsoon. Kajian di Malaysia belum banyak di jalankan untuk mendapatkan jenis dan lokasi yang produktif kecuali di pantai timur Sabah.

Seiring dengan pembangunan huluan rumpai laut, pelbagai program kerjasama R&D turut dijalankan bersama agensi penyelidikan dan Instituasi Pengajian Tinggi Awam di negara ini. Di antaranya termasuklah UMS, USM, UM, UKM, SIRIM dan MARDI. Semoga artikel ini memberi sedikit sebanyak pengetahuan kepada pembaca.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan teknologi penternakan rumpai laut boleh klik di sini.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in seaweed and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply