BUAH SALAK


Buah Salak (Salacca edulis) merupakan salah satu buah tropika yang ditanam di Indonesia dan Malaysia daripada keluarga Arecaceae. Buah ini memiliki kandungan zat yang cukup tinggi dan dapat dimakan sebagai buah segar mahu pun diproses sebagai jeruk, minimal proses, jus atau manisan. Buah salak tidak terlalu popular dibandingkan buah lain seperti pisang atau tembikai yang sering menjadi bahan pencuci mulut setelah makan. Tanaman salak di Malaysia kurang dimajukan oleh petani tempatan kerana ia berduri dan tidak diminati oleh ramai petani. Mereka lebih suka menanam pokok buah lain yang mudah diuruskan seperti durian, rambutan, dokong, manggis, kelapa dan sebagainya. Terdapat beberapa jenis salak yang sesuai ditanam di Malaysia seperti Salak Raja, Salak Bali, Salak Pondoh dan juga Salak Sabah.

Pokok Buah Salak

Pokok Salak rendah iaitu kira-kira 2 hingga 5 meter tinggi dan hampir-hampir tiada batang. Pokok ini tumbuh berumpun iaitu banyak mengeluarkan sulur anak. Hampir keseluruhan pokok salak berduri tajam terutamanya di pangkal pokok. Pokok Salak adalah jenis “dioecious” dimana bunga jantan tersusun rapat dalam jambak berbentuk jejari dan dalam kelompok yang mengandungi kuntum bunga dan memiliki tangkai bunga yang panjang. Manakala bunga betina lebih besar, lebar dan bertangkai pendek. Kelulut yang ada dikawasan kebun akan meningkatkan proses pendebungaan dengan cekap berbanding dengan kaedah pendebungaan berbantu sebelum ini. Buah salak berbentuk hampir bulat atau bujur. Warna kulitnya perang kemerahan. Kulit ini mempunyai lapisan sisik-sisik leper yang teratur. Sebiji buah salak mengandungi 1 ke3 ulas yang berbiji hitam. Isinya pula berwarna putih atau krim kekuningan dan ianya mempunyai rasa kelat atau manis.

Antara tips penjagaan buah salak yang diutamakan petani adalah dengan membekalkan sistem pengairan yang sempurna dimana air disalurkan daripada sumber air bersih. Amalan secara mekanikal iaitu dengan hanya memotong rumput dengan cara mesin rumput sahaja tanpa menggunakan bahan kimia atau racun rumput merupakan salah satu faktor dalam menjaga kawasan penanaman pokok salak. Hal ini kerana racun rumpai jika disembur berhampiran pokok salak akan merosakkan tanah dan ianya menganggu kesuburan tanah. Selain menggunakan baja NPK 12:12:17:2 pemberian baja organik termasuk baja ‘Fish Meal Solution’ juga boleh diamalkan. Baia organik ini memberikan rasa buah lebih manis, pokok lebih subur dan sihat. Selain itu, penternakan kelulut (Trigona itama) di dalam dusun buah salak akan meningkatkan proses pendebungaan salak. Penanaman pokok salak bagi penghasilan yang baik memerlukan kadar pokok betina yang lebih dari pokok jantan iaitu 90:10 untuk tujuan pendebungaan. Pokok-pokok salak ini berbunga sepanjang tahun dan buahnya membesar dan matang empat bulan selepas melalui proses pendebungaan.

Bunga Jantan dan Betina Pada Pokok Buah Salak

Kongsikan!
This entry was posted in Salak and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply