KELUBI

buah kelubi

Kelubi atau nama botaninya ialah Eleiodoxa conferta. Ia merupakan sejenis tumbuhan  yang berasal dari keluarga palma, Aracaceae. Sekali pandang ia menyerupai pokok nipah yang terdapat banyak dikawasan lembap hutan berpaya tepi sungai. Pokok ini juga dikenali dengan beberapa nama lain seperti Asam Paya, Asam Kelubi, Salak Hutan dan juga Kelumni. Ia banyak terdapat di kawasan Asia Tenggara seperti Malaysia, Sumatra Indonesia, Thailand dan juga Borneo. Ia biasanya tumbuh di kawasan paya air tawar  dan tumbuh secara berkelompok.

Buah Kelubi sinonim dengan jeruk serta masakan Melayu bagi menggantikan asam keping atau asam jawa. Sekalipun rasanya masam, ia boleh dimakan mentah dengan bahan cicah seperti garam. Namun, kebiasaannya buah ini dijadikan jeruk.

Walau bagaimanapun, ia semakin sukar diperolehi. Disebabkan itu, harga buah ini meningkat berbanding beberapa tahun dahulu kerana ia sukar diperolehi. Ia dijual pada harga RM4 sekilogram berbanding RM1.50 dan RM2 sebelum ini. Justeru, sekalipun harganya semakin meningkat, buah kelubi masih mendapat tempat pada kalangan masyarakat khususnya penggemar asam.

buah kelubi

Buah tanaman ini yang juga dikenali sebagai asam paya dan salak hutan tumbuh meliar di kawasan hutan. Bunga Kelubi keluar daripada bahagian perdu pokok dengan adanya bunga betina dan bunga jantan pada tangkai yang sama. Buah Kelubi akan terbentuk selepas pendebungaan. Ia terdapat dalam dua warna iaitu warna merah dan juga merah kekuningan. Biasanya, ia mengandungi 1 atau 2 biji buah didalamnya. Isi buah yang mentah adalah keras tetapi buah yang telah cukup masak adalah berair dengan warna putih jernih. Ianya boleh dituai dengan memotong tangkai buah menggunakan pisau tajam atau sabit.

Pembiakan tumbuhan ini selalunya daripada biji yang telah masak dan disebarkan oleh haiwan atau jatuh sendiri ke tanah. Buah yang telah masak adalah sangat masam.

Disini saya sertakan ringkasan cara untuk menghasilkan jeruk kelubi. Pertama, kulitnya haruslah dibuang. Kemudian, bersihkan buah tersebut. Sediakan jar atau bekas khas untuk meletakkan jeruk buah ini. Masukkan air beserta sedikit garam bagi mengurangkan kemasaman buah. Peram buah ini selama beberapa hari. Setelah itu, anda sedia menikmati buah jeruk Kelubi ini.

jeruk kelubi

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Kelubi and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply