Tanaman kopi tergolong di dalam keluarga Rubiaceae. Ia dikatakan mempunyai sebanyak 66 spesies tetapi hanya 3 spesies sahaja yang sesuai ditanam secara komersil. Spesies ini terdiri daripada:
- Liberika
- Robusta
- Arabika
Walau bagaimanapun, hanya 2 dari 3 spesies ini yang sesuai ditanam di Malaysia iaitu jenis Liberika dan Robusta.
Kopi jenis Liberika adalah yang paling sesuai ditanam di Semenanjung Malaysia. Negeri Johor (3714 hektar) dan Sabah (2216) merupakan negeri pengeluar utama kopi jenis ini di Malaysia.
Malaysia hanya mampu mengeluarkan biji kopi mentah kurang dari 3% untuk keperluan tempatan manakala 97% lagi adalah di import dari luar.
Perbezaan antara spesies kopi boleh dilihat melalui ciri-ciri pertumbuhan pokok, pembentukkan daun, buah dan biji kopi.
Kopi Arabika merupakan biji kopi yang paling banyak dikeluarkan serta dipasrkan di seluruh dunia. Ia mencapai peratusan sehingga 70%. Ia meluas ditanam di Brazil, Peru, Honduras serta kawasan sekitarnya. Tanaman ini sesuai ditanam dikawasan beriklim sejuk (18 hingga 20oC) dan juga sesuai ditanam di Tanah Tinggi Tropika dengan kadar produktiviti diantara 350-400 kg/ha/tahun. Ia mempunyai rasa asidik dan aroma yang kuat.
Kopi Robusta banyak ditanam di Indonesia, Vietnam, Brazil dan beberapa negara tropika lain. Ia sesuai ditanam dikawasan beriklim sejuk serta boleh tumbuh secara baik jika ditanam ditanah sederhana rendah.
Kopi Liberika merupakan varieti biji kopi yang tahan lasak dan berbuah sebanyak 2 kali setahun. Ia sesuai ditanam ditanah rendah. Biji kopi ini mempunyai rasa yang paling pahit.
Pokok kopi tergolong dalam tanaman saka. Ia boleh hidup dan membesar sehingga 25 tahun. Ia akan merimbun pada peringkat awal dan perlu dilakukan cantasan disemua peringkat agar ia sentiasa rendah supaya ia mudah diuruskan. Tanaman ini mempunyai kayu keras sebagai batang utama dan dahan-dahan disekelilingnya.
Sistem akar bagi tanaman ini bergantung kepada keadaan fizikal tanah, keadaan kelembapan serta taburan hujan dan juga sinaran matahari. Daun pokok ini biasanya tumbuh secara berpasangan pada batang, dahan serta cabang. Daun-daun kopi jenis Liberika dan Arabika berwarna hijau tua manakala jenis Robusta pula berwarna hijau cerah sedikit.
Pokok ini mencapai umur peringkat dewasa akan berbunga mengikut musim. Lazimnya pokok yang ditanam menggunakan biji benih mula mengeluarkan bunga lebih kurang setahun selepas ditanam di ladang mengikut varieti. Tanaman ini merupakan jenis tumbuhan yang tidak serasu sesame sendiri dan perlukan pendebungaan silang. Agen yang membantu proses pendebungaan ialah serangga seperti semut dan lebah madu, angin dan sebagainya. Buah kopi berbentuk bulat atau lonjong. Ia berwarna hijau semasa muda dan bertukar menjadi merah atau kuning apabila masak.
Penanaman kopi bergantung kepada banyak faktor. Antara faktor-faktornya ialah:
- Iklim
- Tanah
- Varieti
- Ekonomi
Faktor iklim penting untuk menentukan jenis kopi yang hendak ditanam. Kebiasaanya, tanaman ini memerlukan taburan hujan antara 2000-3000 mm setahun. Pada masa yang sama, ia memerlukan musim kering untuk pembentukan primordia bunga bagi pengeluaran hasil yang baik.
Faktor tanah juga memainkan peranan penting dalam menentukan industri penanaman kopi. Hal ini kerana tanaman ini boleh tumbuh dengan baik di kebanyakan jenis tanah. Ini termasuk tanah yang berasal dari lahar, batu pasir dan granit. Tanah yang paling sesuai ialah tanah gembur yang mempunyai bahan organik yang tinggi serta mengandungi bahan mineral yang mencukupi.
Jika anda ingin membuat pembacaan lebih lanjut berkenaan penanaman biji kopi, klik artikel Kaedah Penanaman dan Pengurusan Kopi
Lepas dah tanam, mesti datang masalah penyakit dan perosak. Macam mana nak uruskan? Anda boleh klik artikel Musuh Tanaman Kopi sebagai rujukan.
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020