INDEKS KEMATANGAN DAN PENUAIAN BUAH BELIMBING


Belimning (Averrhoa carambola) merupakan sejenis buah-buahan tropika dari keluarga Oxalidaceae yang ditanam di negara kita untuk pasaran domestik dan pasaran ekspot. Terdapat 3 varieti belimbing yang popular ditanam di negara kita iaitu Varieti B2, Varieti B10 dan Varieti B17. Indeks kematangan Buah Belimbing penting untuk petani, peraih dan pemborong serta peruncit memahaminya dari peringkat awal. Kualiti buah belimbing selepas aktiviti menuai banyak menentukan harga dan kadar kerosakan semasa pengendalian lepas tuai.

Indeks warna belimbing telah dibentuk mengikut peringkat kematangan tertentu yang boleh digunakan sebagai indeks kematangan. Warna kulit dikelaskan kepada 7 jenis seperti berikut:-

Indeks warna 1 :Keseluruhan buah hijau gelap
Indeks warna 2 : Buah berwarna hijau muda berkilat
Indeks warna 3 : Buah berwarna lebih hijau daripada kuning
Indeks warna 4 : 50% bahagian buah berwarna hijau dan 50% kuning
Indeks warna 5 : Buah berwarna lebih kuning daripada hijau
Indeks warna 6 : Keseluruhan buah berwarna kuning
Indeks warna 7 : Keseluruhan buah berwarna kuning oren

Contoh indeks kematangan buah belimbing

Sebagai contoh, bagi varieti B10, buah pada indeks warna 1 masih belum matang dan tidak sesuai untuk dituai dan dipasarkan. Buah pada peringkat ini mempunyai rasa yang masam dan kelat. Buah yang dipetik pada warna 2 dan 3 sesuai dipetik untuk dieksport melalui kapal laut. Buah yang dipetik pada indeks warna 4 dan 5 mempunyai warna lebih kuning dan sesuai untuk dieksport melalui udara. Buah pada indeks warna 6 tidak digalakkan untuk dieksport, walaupun masih boleh dieksport melalui udara, kerana buah sudah terlalu masak dan tidak tahan lama. Walau bagaimanapun, buah pada indeks warna 6 dan 7 adalah paling manis dan berjus.

Pokok belimbing berbuah tidak bermusim dan penuaiannya boleh dilakukan 4-6 kali setahun. Penuaian varieti B10 dilakukan dengan tangan selepas 60-65 hari dari peringkat berputik ketika buah mencapai peringkat indeks warna 2. Buah biasanya dibalut dengan beg pembungkus lebih kurang 4 minggu selepas berputik dan saiznya mencapai 5-6 cm. Beg pembungkus daripada kertas surat khabar diberi kod warna untuk memudahkan penuaian. Belimbing biasanya dipetik dengan tangan secara menarik buah yang berbungkus daripada ranting. Buah yang masih berbungkus disusun dengan cermat secara berbaring di dalam bakul plastik dan diletakkan di tempat redup sementara menunggu untuk diangkut ke rumah pembungkusan.

Bagi artikel lain berkenaan belimbing anda boleh klik di sini.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Indeks Kematangan Belimbing and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply