PERIUK KERA

Periuk Kera(Nepenthes spp) atau dikenali juga dengan nama belanga kera yang berasal daripada keluarga Nepenthaceae biasanya tumbuh meliar di kawasan lembab dan terbuka seperti paya. Pokok periuk kera sangat unik kerana mempunyai periuk dengan penutup yang menghalang air hujan memasuki dan bertakung di dalamnya. Bahagian dasar periuk mengandungi pepsin. Bahan kimia ini berfungsi untuk menghadamkan serangga yang terperangkap di dalam periuknya dan menukarkannya kepada nutrien untuk tumbuhan ini. Pokok periuk kera membiak melalui pecahan rumpun.

Antara spesies periuk kera yang terdapat di Malaysia :

Nepenthes albormarginata

a) Nepenthes albormarginata turut dikenali N tomentella Miq yang boleh ditemui di puncak bukit rendah, kawasan terbuka bertanah gambut, kawasan batu kapur, hutan rawa atau kawasan berpasir di Borneo, Sumatera dan Semenanjung Malaysia, mampu tumbuh subur pada ketinggian 1000 meter ke bawah.

Spesies ini memiliki bingkai leher berwarna putih bersama bulu baldu di bawah peristomanya. Serlahan ini tidak dimiliki Periuk Kera lain. Kendinya pula memanjang sehingga 15 cm dengan keunikan teksturnya yang kebalduan. Hijau adalah serlahan warna awal kendinya yang akan berubah menjadi merah, unggu dan berakhir dengan hitam.

Tumbuhan ini ini gemar makan anai-anai. Apa pun, sehingga kini tiada kajian terperinci bagaimana pokok ini bertindak memerangkap anai-anai kecuali hanya menemui beribu-ribu anai- anai memenuhi kendi lamanya. Kacukan spesies ini dikenal pasti jarang ditemui.

Nepenthes ampullaria

b) Nepenthes ampullaria juga dipanggil N ampullaceae Low memang mudah dikenali kerana kendinya berbentuk bujur telur atau lonjong bersama serlahan peristoma yang lebar dan rekahan sempit penutup/tudung kendi yang tidak pernah menutup permukaan mulut kendinya.

Spesies ini hanya ditemui memiliki kendi berwarna hijau dan sebahagian lagi ada adunan warna tompokan coklat dan ungu. Beberapa kendinya boleh ditemui di bahagian bawah dalam satu jambak yang sebahagiannya tertanam atau tertimbus dengan daun kayu reput. Kendi-kendi ini bertunas daripada susunan pucuknya dan mengeluarkan warna kilauan.

Sementara kendi pada bahagian atas boleh ditemui pada celahan daunnya atau cabang sulur paut juga dalam serlahan berjambak. Kendi ini hanya mampu bertahan dalam tempoh yang singkat serta jarang ditemui berbanding kendi di permukaan tanah. Pokok ini boleh memanjat pokok lain sehingga 15 meter.

 Nepenthes bicalcarata

c) Nepenthes bicalcarata boleh dibezakan dengan spesies lain kerana ia satu-satunya pokok Periuk Kera yang memiliki duri dari tudungnya. Duri ini adalah sebahagian daripada peristomanya. Kendinya berukuran 25cm panjang dan 16cm lebar.

Tumbuhan ini boleh ditemui di kawasan sawah bertanah gambut sekitar ketinggian 950 meter dari paras laut dan tumbuh meliar di Sabah, Sarawak dan Brunei. Ia juga sesuai dikacuk dengan hybrid X ampullaria, X gracilis, X mirabilis dan X rafflesiana.

 Nepenthes edwardsiana

d) Nepenthes edwardsiana pula hanya boleh ditemui di kawasan bukit berlumut yang ketinggian antara 1500 hingga 2700 meter dari paras laut. Kendinya memang cantik dan menarik dengan saiz 50cm panjang dan 15cm lebar.

Nepenthes fusca

e) Nepenthes fusca yang memiliki kendi berukuran 20cm panjang dan 4cm lebar juga boleh ditemui di kawasan sama, manakala Nepenthes mirabilis yang mempunyai sehingga 16 nama panggilan lain hidup subur di kawasan basah, hutan terbuka dan tepian paya terbiar.

Nepenthes rafflesiana

f) Nepenthes rafflesiana adalah spesies Periuk Kera yang besar. Kendinya boleh membesar sehingga 40cm dengan bulu kemerah-merahan yang lazimnya berselindung disebalik susunan dedaun muda. Kendinya dikatakan sentiasa dilawati semut dan kelihatan seolah-olah bukan pokok insektivor. Bagaimanapun, cecair dalam kendinya sentiasa kelihatan likat untuk memerangkap mangsa. Spesies ini adalah tumbuhan liar yang biasa ditemui di kawasan tanah rendah di Brunei.

Kini, periuk kera sudah dikomersilkan dalam industri makanan dimana ianya sudah menjadi kewajipan semasa musim perayaan dengan menghasilkan ketupat periuk kera. Hal ini sekaligus mampu menjana pendapatan masyarakat yang menjual periuk kera tersebut. Oleh kerana masyarakat ingin mengurangkan pencarian buluh lemang yang juga semakin sukar dimiliki. Sekaligus, harga periuk kera adalah lebih murah berbanding buluh lemang.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)
Kongsikan!
  • 48
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    48
    Shares

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Periuk Kera and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply