SERANGGA PEROSAK KOYA


Koya (Planococcus citri) merupakan sejenis serangga dari keluarga Homoptera yang menyerang banyak jenis tanaman terutamanya pokok buah-buahan di Malaysia. Nama lain bagi koya adalah seperti Scale Insects atau Mealybug dalam bahasa Inggeris. Serangga ini mudah kita lihat pada daun, buah, pucuk dan bahagian lain tumbuhan kerana menghasilkan warna putih dan cecair jika di picit. Koya terdapat diseluruh dunia dikawasan beriklim sejuk dan tropika dimana ia menyerang banyak jenis tumbuhan dalam keadaan yang lembab dan berair. Serangan koya mampu menyebabkan buah rosak dan tidak berkualiti dimana daun serta pucuk pokok rosak dan tidak produktif.

Koya mempunyai saiz 3 mm (0.12 inchi) bersegmen atau berketak-ketak berwarna putih berdebu. Terdapat filamen atau rambut halus yang keluar dari kiri dan bahagian ekor koya. Koya jantan adalah berbentuk lebih panjang keseluruhan koya menjadi 4.5 mm. Koya betina tidak mempunyai kepak seperti jenis koya jantan berbentuk leper dan oval. Bahagian kulit koya seakan berlilin (waxy). Koya bertelur sebanyak sehingga 400-600 biji telur dalam karung (sac) yang dilekatkan pada tisu tumbuhan. Selepas 2-3 minggu maka telur akan menetas menjadi instar yang mampu bergerak pantas disekeliling tumbuhan untuk mencari sumber makanan. Selepas instar 2 dan 3 maka koya telah menjadi dewasa. Bagaimanapun koya jantan akan menjadi pupa dan keluar sebagai serangga jantan.

Serangan Koya Pada Daun

Serangan Koya Pada Buah

Koya merosakkan tanaman dengan menghisap cairan sap tumbuhan walau pun ada tanaman yang tidak rosak dengan serangan ini tetapi jika populasi terlalu banyak bagamana pun akan menyebabkan kualiti buah menurun dan tidak berharga. Bagi kes buah rambutan, serangan koya menyebabkan ujud warna putih pada kulit buah disamping kelihatan jelaga hitam pada kulit dan rambut buah. Selain itu koya akan merembeskan cecair manisan dan akan menyebabkan tumbuhnya sejenis kulat berwarna hitam yang menjatuhkan kualiti buah rambutan. Walau pun isinya masih boleh dimakan tetapi kualiti kulit luaranya menyebabkan rambutan tersebut tidak sesuai untuk dijual dan dipamerkan. Agen seperti semut dan kerengga merupakan agen pembawa koya dan kulat kepada seluruh bahagian buah rambutan lain yang belum diserang pada pokok.

Kawalan koya boleh dijalankan dengan kaedah kawalan amalan agronomi atau kultura dengan membuat pangkasan pada dahan pokok yang terlalu rendang, lembab dan kanopi yang tertutup. Dahan pokok perlu didedahkan kepada cahaya matahari dan perbaiki sistem pengudaraan pokok rambutan dan buah-buahan lain yang mudah diserang. Dahan yang di potong hendaklah di kumpulkan, dimusnahkan dan dibakar bagi mengurangkan populasi koya di kebun. Kaedah lain kawalan koya adalah dengan membuat semburan menggunakan bahan kimia iaitu minyak putih (White oil) pada koloni koya atau racun serangga jenis Dimethoate pada buah. Seterusnya kehadiran semut dan kerengga juga perlu dikawal menggunakan racun serangga seperti malathion. Bagi mengelakan kulapok hitam perlu gunakan racun kulat seperti Benomyl yang disembur mengikut arahan label. Petani harus kenal akan koya dan simptom serangan serta kaedah kawalannya untuk mempastikan hasil lebih berkualiti.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Koya and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply