Salahuddin mahu perkasa pertanian negara – Utusan

MUKADIMAH Salahuddin Ayub dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, sebuah kementerian yang dianggap penting kerana berhubung rapat dengan rakyat terutamanya petani, penternak dan nelayan.

Berikut adalah temu ramah wartawan NORLIZA ABD. RAHMAN bersama beliau untuk mengupas misi dan visi yang akan dilakukannya apabila diamanahkan menerajui kementerian tersebut.

SOALAN : Adakah YB mahu teruskan usaha mengeksport sarang burung walet dan durian musang king ke China? Bagaimana pula dengan pengajuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018)?

Secara prinsipnya tidak ada masalah hendak teruskan program yang telah diaksanakan menteri terdahulu, segala yang baik akan saya berikan penambahbaikan yang ada kekurangan kita akan baiki supaya semua pogram bawah kementerian ini mencapai matlamat disasarkan.

Itulah asas kepada cara saya bekerja, saya mahu setiap peruntukan, setiap bajet, setiap program di bawah kementerian ini mesti sampai kepada kumpulan sasar. Saya tak mahu isu politik menggagalkan atau merencatkan matlamat kementerian.

Siapa pun yang datang minta projek termasuk dari PAN yang baik dengan saya, maka pegawai saya akan lihat kertas cadangan. Saya akan pastikan pegawai-pegawai di peringkat akar umbi, bahagian dan daerah menilai mereka, kalau kononnya nak ambil kesempatan sebab kita berkuasa sekarang, tidak. Saya tidak amalkan prinsip itu. Insyaallah, doakan saya.

Adakan kerajaan mahu tingkatkan pengeluaran hasil sayur-sayuran dan buah-buahan serta padi?

Ada yang berjaya seperti mang­ga harumanis, belimbing, manggis dan cili tetapi perlu diperhebatkan lagi kerana hanya libatkan buah-buahan dan sayur tertentu. Kita ketinggalan jauh dari Thailand. Ya, ini yang harus kita lihat sedangkan MARDI melakukan banyak penyelidikan dan pembangunan (R&D) namun kenapa tanaman sayur dan buah-buahan gagal dikomersialkan apatah lagi tahap hendak dieksport.

Kita harus lihat FAMA yang sepatutnya buat pemasaran tapi apa yang tidak kena, adakah peruntukan tak cukup, adakah karenah birokrasi. Saya yakin kalau fokus pada satu-satu bidang dan diberi bantuan sepenuhnya kita boleh tingkatkan.

Tanaman durian musang king dilakukan secara dalam skala kecil dan diusahakan secara persendirian oleh pemilik dusun. Kepada yang berminat akan dibantu dari segi inovasi, baja, subsidi, pembungkusan, pelabelan dan aspek keselamatan makanan supaya menepati kehendak pasaran dunia.

Berhubung tanaman padi, saya juga mahu lihat apa yang tidak kena. Sudah 60 tahun tetapi beras masih diimport, ini juga akan jadi keutamaan. Peranan Padi dan Beras Nasional (Bernas) juga akan disemak semula.

Adakah negara China tetap menjadi sasaran untuk pasarkan produk?

Ya, sudah tentu kerana boleh bawa banyak keuntungan kepada negara. Dalam tempoh tertentu kita akan tingkatkan eksport terutama­nya musang king dan sarang burung.

Keluaran juga perlu ditingkatkan dan kita akan beri insentif dalam bentuk modal atau teknologi, ini sangat penting untuk tingkatkan produktiviti. Sekarang ini ramai yang usahakan tanaman secara persendirian macam tanaman durian musang king.

YB mahu perkasakan semula NFC (Pusat Fidlot Kebangsaan)?

Dua minggu lagi akan dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk penelitian Perdana Menteri. Kalau diluluskan projek itu akan diba­ngunkan kembali di tanah-tanah satelit di Negeri Sembilan, Segamat dan Muar di Johor.

Minggu depan saya akan jumpa Menteri Besar Johor untuk bincangan perkara ini, ada yang cadangkan nama NFC ditukar, itu kemudianlah tak kisah asalkan projek ini dapat diba­ngunkan.

Dengan peruntukan secukup­nya kita dapat capai serampang dua tiga mata untuk bangunkan lebih ramai penternak muda, saya yakin akan capai sasaran.

Bagaimana dengan lantikan politik dalam agensi dibawah kementerian?

Manifesto kita jelas, pelantikan ahli lembaga pengarah mesti ada mekanisme jelas. Kena bebas muflis, tiada rekod jenayah serius dan berkepakaran.

Saya tak nak kawan-kawan politik jadikan kementerian ini lubuk untuk ambil kesempatan dan sarang untuk mereka buat penyelewengan. Kita perlu tukar benda-benda ini, kalau sama juga macam yang sudah 60 tahun, mungkin pilihan raya umum akan datang orang akan campak kamu dalam Laut China Selatan.

Sumber Utusan Malaysia

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Berita Tani and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply