Keluarga : Cucurbitaceae
Genus : Cucurbita
Spesies : Cucurbita moscata
PENGENALAN
Labu adalah sayuran bukan ulam yang mempunyai buah yang besar yang dimasak untuk dijadikan gulai, pengat, kuih atau manisan. Ianya sangat sinonim dengan masakan tradisi masyarakat melayu dan ianya mempunyai khasiat yang tinggi. Labu juga merupakan makanan kegemaran Nabi Muhammad SAW dan Nabi pernah bersabda “bahawa labu itu pohon saudaraku Yunus AS”. Labu kuning berasa lemak lemak manis dan tidak pahit.
Tumbuhan labu dari keluarga cucurbitaceae dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan tumbuhan ini juga banyak di tanam di Asia dan Asia Tenggara. Di Malaysia, terdapat 2 variasi yang ditanam iaitu variasi cina dan variasi Taiwan. Labu variasi cina mempunyai isi yang berwarna kuning bersaiz bulat besar manakala labu variasi Taiwan mempunyai isi yang berwarna oren dan bersaiz bulat kecil. (Mardi, 2005). Kebanyakkan labu ditanam secara komersial di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Labu mengandungi kandungan air, karbohidrat, natrium, zink, kalsium, fosforus, zat besi, serat, mineral, Vitamin a dan Vitamin C. Oleh kerana khasiat yang tinggi terkandung di dalam labu menjadikan ianya sebahagian dari amalan pemakanan sihat yang disyorkan untuk menjadikan tubuh badan yang cergas dan baik.
MORFOLOGI POKOK LABU
Labu adalah tumbuhan yang menjalar atau memanjat dan ianya tidak mempunyai batang berkayu, berwarna hijau muda dan boleh memanjang sehingga 5 meter. Batang labu mempunyai bulu halus berwarna putih kehijauan. Ia mempunyai daun tunggal yang besar, menyerupai jantung dan bertangkai. Daun labu berwarna hijau dan mempunyai tepi berkeluk keluk serta permukaan yang kasar. Ia mempunyai bunga jantan dan bunga betina yang berwarna kuning yang tumbuh di celah celah daun. Jumlah bunga jantan lebih banyak dari bunga betina. Buah labu bersaiz besar mengikut variati, berbentuk bujur atau bulat dan mempunyai 15 hingga 30 alur. Ketika muda, labu akan berwarna hujau manakala ketika tempoh matang, ianya akan bertukar menjadi kuning kecoklatan. Di dalam buah labu terdapat banyak biji yang dipegang oleh serat tumbuhan yang berwarna oren. Biji labu berbentuk bujur meruncing dan leper serta berwarna putih pucat.
KAEDAH PENANAMAN
Labu sesuai di tanam di tanah gembur berpasir, liat gembur berorganik, gambut atau tanah bris. Ph yang sesuai adalah 5.5 hingga 6.8 dan pengkapuran perlu dilakukan dengan kadar 3 hingga 5 tan /ha untuk tanah mineral serta 3 hingga 7.5 tan/ha bagi tanah gambut. Ia juga memerlukan cuaca yang panas dan sistem pengairan yang baik. Suhu antara 25 hingga 35 darjah celsius di waktu siang dan 18 hingga 22 darjah Celsius pada waktu malam.
Tanah perlu dibajak setengah bulan sebelum penanaman dan ditabur kapur bagi meningkatkan mineral yang terdapat di dalam tanah. Baja tahi ayam digaul dengan tanah dengan kadar 4000 kg/ha dan ianya dilakukan semasa penyediaan batas. Saiz batas adalah 1.2 m lebar dan 30 cm tinggi , jarak antara batas adalah 2.4 meter. Sungkupan jenis plastic pantulan cahaya disyorkan bagi mengelakan serangan serangga perosak dan mengelakkan baja larut lesap semasa penyiraman.
Biji benih labu akan dirawat dengan racun kulat thiram pada kadar 3g bagi 1000g biji benih. 2 biji benih akan di dalam dalam satu lubang sedalam 1 hingga 2 cm dan lubang tersebut akan dikambus serta disiram.
Anak benih akan bercambah dan tumbuh daun peringkat kedua selepas 7 hingga 10 hari penanaman. Tetapi hanya 1 anak benih dibiarkan tumbuh kerana jarak antara 1 pokok adalah 1.2 meter. Jarak ini membolehkan batang menjalar dan memanjat kayu sokongan sekiranya ada.
Sistem pengairan renjis adalah disyorkan untuk tanaman labu kerana ianya menjimatkan tenaga kerja dan memudahkan tanaman labu mendapatkan sumber air untuk pertumbuhan yang sihat. Baja NPK 12:12:12 di gaul dalam tanah pada kadar 200 kg/ha bagi memastikan pertumbuhan buah labu yang sihat.
Bunga betina dan jantan akan tumbuh setelah memasuki bulan ke 2 penanaman. Agen pendebungaan seperti lalat, kumbang, lebah, tebuan dan kupu kupu akan menyebarkan debunga dan menggalakan persenyawaan antara bunga jantan dan bunga betina. Sekiranya tiada agen pendebungaan semulajadi, bunga jantan perlu dikacukkan kepada bunga betina pada awal pagi sekitar 8.00 hingga 11.00 pagi. Persenyawaan akan berlaku kepada bunga betina yang telah terbuka dan berkembang kelopaknya. Selepas 7 hari persenyaawaan, ianya akan membentuk putik buah.
Tempoh tuaian akan berlaku setelah kulit labu yang berwarna hijau bertukar menjadi kuning dalam masa 60 hingga 80 hari. Tangkai labu akan dipotong 5 cm dari pangkal buah dan berat purata 1 biji labu adalah 1 hingga 2 kg. 1 pokok labu boleh mengeluarkan 5 hingga 6 buah labu dalam masa 90 hari (Mardi, 2005). Kawalan rumpai secara manual atau disembur glufosinate ammonium (0.5 kg/ha) atau glyphosate (0.6 kg/ha) disembur sebelum pokok berbuah bagi mengawal rumpai.
SERANGGA DAN PENYAKIT
Kumbang labu dan kutu daun adalah 2 serangga yang sering di dapati menyerang pokok labu dan menyebabkan pokok layu dan mati serta daun akan berkerokot. Racun kimia yang disyorkan adalah carbaryl dan malathion boleh digunakan bagi mengawal serangga perosak ini.
Kulapuk downi dan hawar daun juga sering menyerang pokok labu. Ia menyebabkan bawah daun diselaputi spora berwarna unggu dan daun melecuh dan berair. Pokok labu yang terkena penyakit perlulah dicabut dan diasingkan supaya ianya tidak menyerang ke pokok yang lain. Racun kimia seperti metalaxyl, amistar dan mancozeb disyorkan bagi mengubati pokok yang terkena penyakit ini.
KEGUNAAN & KHASIAT
Khasiat yang terkandung didalam labu dimanfaatkan untuk kesihatan manusia. Labu yang dimasak, dicelur atau dibuat kuih boleh merawat pelbagai jenis masalah kesihatan seperti rabun malam, masalah jantung dan masalah pencernaan. Serat yang terkandung di dalam labu boleh mengelakkan masalah sembelit dan kanser kolon (Hardi Soenanto & Sri Kuncoro, 2007).
Selain itu, labu juga boleh menurunkan tekanan darah tinggi dan menurunkan kadar kolestrol. Penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Uthumpron Utra @ Sepina Abdullah telah menjalankan kajian tentang khasiat labu dan dijadikan sebagai minuman yang dikenali sebagai PUMPCOOLA. Labu mempunyai fiber yang banyak 2 kali ganda dari buah mangga dan ianya sesuai untuk diet pemakanan yang sihat. Selain itu, bakteria baik yang terkandung di dalam labu boleh menggantikan yogurt untuk sistem pencernaan yang baik (Konvensen Biomalaysia dan Bioekonomi Asia Pasifik, 2013).
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020