PENANAMAN TOMATO SECARA KONVENSIONAL

Tomato

Tomato

Solanum lycopersicum atau lebih dikenali sebagai tomato merupakan tanaman yang sangat popular dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran tempatan mahupun luar. Tomato adalah sejenis tumbuhan dibawah kategori sayur buah dari family Solanaceae. Tomato adalah berasal daripada amerika selatan dan mula disebarkan keseluruh dunia oleh orang Sepanyol. Terdapat lebih kurang 7000 jenis kultivar tomato diseluruh dunia. Pembiakan tomato merupakan satu proses yang lama dan membentuk beribu ribu kultivar oleh para botanis. Buah tomato kebanyakkannya berwarna merah tetapi terdapat juga tomato berwarna hitam,ungu,kuning dan oren.

Di Malaysia kultivar yang popular ialah dari varieti bulat, varieti lonjong, varieti bersegi. L24 iaitu tomato bulat tempatan Cameron Highland ditanam dikawasan tanah tinggi. Bagi tomato tanah rendah pula adalah dari varieti MT1, MT11, SERDANG 2, KingKong (F1). Tomato varieti baru ialah MT1 (MARDI) sementara jenis-jenis hybrid seperti pink 26, Local White,Ehsan 1,Ehsan 2, dan banyak jenis-jenis tomato ceri yang ditanam.
Penanaman tomato di Malaysia banyak tertumpu di kawasan tanah tinggi Cameron highland, Kundasang, Sabah dan Pahang. Terdapat beberapa cara penanaman tomato di Malaysia iaitu secara konvensional (sistem terbuka), hidroponik (sistem tertutup) dan juga fertigasi (sistem titisan menggunakan aliran tertutup agregat). Pada posting kali ini, saya ingin membawa pembaca kepada cara penanaman tomato secara konvensional.

Penanaman tomato secara konvensional merupakan tanaman secara terbuka yang boleh ditanam di kawasan tinggi ataupun tanah rendah, suhu yang sesuai untuk tanaman tomato ialah 18 celsius- 32 celsius. Peringkat pertumbuhan tomato adalah pendek dan hasilnya dapat dituai pada umur 60-70 hari selepas ditanam.

KEPERLUAN ASAS UNTUK MENANAM TOMATO

• PERSEDIAAN TANAH
Sesuai ditanam di pelbagai jenis tanah termasuk tanah pasir (BRIS dan bekas lombong) dan tanah gambut. Tanah mestilah mempunyai sistem saliran yang sempurna dan pengudaraan yang baik.
• PENYEDIAAN ANAK BENIH
Gunakan biji benih yang bermutu tinggi . Jumlah biji benih digunakan adalah 300 g/ha. Biji benih dirawat dengan menggunakan racun kulat seperti thiram dengan kadar 3 g/1000 g biji benih. Biji benih disemai sekurang-kurangnya 6 minggu sebelum menanam dan sediakan 10% lebihan benih untuk aktiviti sulaman, jika perlu. Anak benih ditanam di bawah jaring kalis serangga.
Terdapat tiga cara semaian yang disyorkan iaitu:-
• Semaian batas
• Semaian polibeg
• Semaian styrofoam cup (tray semaian)

Semaian Batas
Campuran tanah 7:3:2 (tanah:bahan organik:pasir) digunakan bagi batas semaian berukuran 1000 cm lebar, 15 cm tinggi dan mengikut panjang yang dikehendaki. Semai biji benih sedalam 0.5 cm dalam jalur berjarak 5 cm. Kemudian tabur tanah kering yang halus sepanjang jalur untuk menutup biji benih. Siram batas selepas itu dan dirikan teduhan yang dibuat dari plastik lutsinar. Jarangkan anak benih (5 cm antara pokok) 10-14 hari selepas menyemai.

Semaian Polibeg
Isi polibeg berukuran 12 cm panjang, 20 cm lebar dan 0.1 mm tebal dengan tanah campuran 7:3:2. Tanam 2-3 biji benih sedalam 0.5 cm. Hanya tinggalkan satu pokok apabila mempunyai 2-3 helai daun. Letakkan polibeg di bawah teduhan yang didirikan daripada plastik lutsinar dan jaring kalis serangga.

Semaian styrofoam cup (tray semaian)
styrofoam cup , tray yang boleh dibeli di kedai menjual alat pertanian. Namun ia agak mahal dan tidak digalakkan kepada beginner kecuali anda cukup bajet. Bagi mereka yang menggunakan styrofoam cup (tray semaian) adalah lebih praktikal dan sempurna. Isikan media semaian pada setiap lubang styrofoam cup hingga penuh. Buat lubang di tengah-tengahnya kira-kira 1/8 inci (3 mm) kedalaman dengan menggunakan kayu atau kepala hujung pensil. Masukkan sebiji benih tomato pada setiap lubang dan timbus semula. Seterusnya siram media semaian tersebut secukupnya.
Semasa di peringkat semaian, anak-anak benih bolehlah disembur dengan baja daun (foliar) yang mengandungi unsur NPK mulai minggu ketiga. Sembur racun serangga seperti chlorpyrifos jika terdapat tanda-tanda serangan perosak.

• PENYEDIAAN KAWASAN
Merangkumi kerja-kerja pembersihan tanah pembajakan dan pembinaan batas. Tanah dibajak dan digembur sedalam 15-22 cm. Batas dibentuk selebar 1.2 m dan tinggi 20-30 cm.
Pengapuran perlu dilakukan sebelum penanaman dibuat sekiranya pH tanah kurang daripada 5. Pengapuran dilakukan semasa kerja-kerja pembajakan tanah dijalankan dan sebaik-baiknya dibuat 1-2 bulan sebelum anak benih ditanam. Bahan kapur yang selalu digunakan ialah Ground Magnesium Limestone (GML); biasanya tanah-tanah mineral, gambur dan tanah pasir (BRIS dan bekas lombong) masing-masing memerlukan pengapuran sebanyak 3-5, 3-7.5 dan 1-3 t/ha.

• PENANAMAN DI LADANG
Anak benih diubah ke ladang ketika berumur 5-6 minggu. Sebelum mengubah, anak benih perlu melalui proses pengerasan dengan cara mendedahkan kepada cahaya matahari beransur-ansur. Bagi anak benih yang ditanam secara semaian batas, batas perlulah disiram terlebih dahulu supaya memudahkan anak-anak benih dicabut. Ini akan mengurangkan kerosakan pada sistem akarnya. Terdapat dua cara pemindahan anak pokok tomato ke tapak penanaman. Ini khususnya kepada benih tomato yang disemai dalam bekas semaian seperti pasu, kontena atau polibag iaitu:
1. Apabila usia anak pokok tomato telah mencapai dua hingga tiga minggu mempunyai 4 hingga 6 helai daun. Anak pokok tomato itu, bolehlah dipindahkan terus ke batas yang telah disediakan. Tanam anak pokok benih tomato seterusnya siram secukupnya dan tutup dengan jaring selama seminggu.
2. Cara kedua pula ialah apabila anak pokok tomato berusia 12 hari di mana daun sebenar sudah keluar, pindahkan anak pokok tomato dari bekas semaian ke pasu atau kontena yang lebih besar sedikit. Setiap pasu ditanam dengan sepokok tomato. Selepas 3 minggu usia anak pokok dalam pasu tersebut, pindahkan sekali lagi ke atas batas yang telah disediakan. Cara ini sering dipraktikkan oleh pekebun-pekebun dari negara Barat.
Ubahlah anak benih semasa cuaca redup atau pada waktu petang diikuti dengan siraman air. Hanya anak benih yang subur dipilih. Jarak tanaman disyorkan ialah 60 cm x 60 cm. Penggunaan sungkupan plastik (silver shine) digalakkan untuk mengawal rumpai dan mengurangkan serangan kutu daun. Satu minggu selepas menanam, anak benih yang mati ataupun kurang sihat perlulah disulam.

• PENYEDIAAN SOKONGAN
Sebulan selepas mengubah, sokong anak pokok dengan pancang kayu atau buluh. Penyokong ini boleh dibuat dengan menggunakan dua batang kayu yang dipacak pada hujung setiap batas. Rentang dawai pada kedua-dua hujung sebelah atas kayu dan ikatkan tiap-tiap pokok tomato di batas tersebut kepada dawai. Biasanya tinggi penyokong ialah 50-70 cm.

PEMBAJAAN
Kadar pembajaan berbeza mengikut jenis tanah. Tanah pasir yang kurang subur atau sederhana sesuai untuk tanaman ini memerlukan kadar baja yang lebih tinggi berbanding dengan tanah mineral. Pokok tomato diberikan baja mengikut kehendak sendiri. Terdapat dua pilihan sama ada mahu menggunakan baja organik atau baja kimia.
Pilihan baja organik adalah tabur baja disekeliling pokok dan hati-hati jangan terkena pada batangnya. Pembaca juga boleh membubuh kompos pada batas kira-kira 3 inci tebal. Lakukan pembajaan pada minggu kedua (NPK organik dan tahi binatang), minggu keempat (kompos dan NPK organik dan baja buah organik), minggu keenam pula bubuh baja kompos, NPK organik dan sedikit baja buah organik. Semasa proses membaja gembur-gemburkan tanah agar baja tersebut bercampurkan tanah yang membolehkan akar pokok mudah menyerap nutrient.
Bagi memilih baja kimia, dua minggu selepas anak pokok tomato dialihkan ke batas. Bubuh baja subur (warna merah) dan baja tahi ayam. Tahi ayam di tanam dan ditimbus di antara pokok tomato manakala baja subur ditabur disekeliling pokok, jangan terkena batang pokok kerana ia akan melecur dan mungkin mati. Minggu keempat, bubuh baja subur, baja buah (warna putih) pada disekeliling pokok. Minggu keenam pula tabur kompos, baja subur dan baja buah. Gembur-gemburkan tanah dan hati-hati jangan mencederakan akar tomato.
• PENJAGAAN POKOK TOMATO
Menjaga pokok tomato tidak serumit sayuran lain seperti brokoli dan brussel sprout. Anda hanya merumput dengan mencabut rumput rumpai pada batas dan sekelilingnya. Batas pokok tomato harus senantiasa lembab dengan menyiram secara berkala. Batas jangan kering dan jangan terlalu basah (menakung air), pokok tomato akan layu dan tidak akan dapat diselamatkan.
Serangan penyakit sering berlaku pada pokok tomato. Berikut adalah penyakit pokok tomato yang lazim berlaku dan cara mengatasinya:
1. Apid hitam – menyerang akibat jangkitan dari pokok berdekatan. Sembur dengan larutan sabun dan minyak 2 kali sehari atau hapuskan apid secara menual.
2. Reput akar – disebabkan oleh bakteria menyerang akar. Cabut pokok dan musnahkan.
3. Pucuk daun mengerekot – disebabkan oleh bakteria pucuk tidak mampu bembesar dan pertumbuhan terbantut. Pangkas pucuk tersebut supaya tunas baru yang sihat terbentuk. Jika penyakit serius cabut dan musnahkan.
4. Buah busuk – serangan penyakit. Kutip buah yang rosak dan musnahkan.
• PENUAIAN HASIL BUAH TOMATO
Buah tomato boleh dituai selepas warna buah berubah kepada merah atau kuning mengikut variati. Buah tomato yang dikutip boleh disimpan dalam peti sejuk dan bertahan hingga 3 minggu. Buah tomato tanam sendiri lebih berjus, manis dan lembut. Bau tomato sangat menyerlah dan berperisa kuat.

Kongsikan!
  •  
  •  
  •  
  •  
This entry was posted in tomato and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply