AMALAN PERTANIAN BAIK (APB)

Amalan Pertanian Baik adalah satu cara mengurus ladang pertanian samada tanaman, ternakan atau perikanan yang berasaskan prinsip dan piawaian amalan mengurus dan mengendali ladang pertanian yang diamalkan oleh pengusaha. Penerapan amalan ini bermula dari peringkat perancangan dan pembangunan ladang, pengurusan sumber dan pemasaran hasil pertanian.

Pada tahun 2002, skim pensijilan yang dirangka oleh Jabatan Pertanian iaitu Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM) telah dilakukan penjenamaan semula kepada Malaysian Good Agricultural Practices (MyGAP). Ianya berteraskan konsep mesra alam sekitar, menjaga kebajikan dan keselamatan pekerja bagi menghasilkan produk yang berkualiti, selamat dan sesuai dimakan.

Sistem pengurusan sumber di dalam pengeluaran pertanian secara baik dan lestari mampu:

  • Memberi dan meningkatkan kesedaran kepada pengusaha mahupun petani akan penghasilan pertanian yang berkualiti, menitikberatkan keselamatan makanan, keselamatan pekerja terjamin dan memelihara alam sekitar.
  • Memberikan dan meningkatkan kesedaran kepada pengusaha hasil pertanian yang berkualiti mampu meningkatkan daya saing produk kepada pasaran yang lebih meluas

  • Meningkatkan kesedaran kepada pengusaha cara penggunaan racun perosak dan baja kimia dengan betul

    Antara panduan yang perlu dititikberatkan adalah:

    Penggunaan Bahan Tanaman
    • Mengguna bahan tanaman dari varieti yang disyorkan.
    • Mengguna bahan tanaman yang bebas penyakit.
    • Elakkan penggunaan bahan tanaman dari jenis GMO (genetically modified organism)

    Pengurusan Tanah dan Substrat
    • Tentukan jenis media atau substrat yang digunakan di ladang. Digalakkan menggunakan substrate dari jenis organik seperti cocopeat, tandan kelapa sawit, sekam padi dan lain-lain dalam pengurusan tanaman.
    • Tentukan jenis rawatan yang dilakukan terhadap media/substrate dan jenis kimia yang digunakan.

    Pengurusan Pembajaan
    • Menggunakan baja mengikut jenis dan kadar yang disyorkan mengikut keperluan tanaman dan memastikan sumber baja tersebut.
    • Jika menggunakan baja jenis organik, sumber bahan tersebut hendaklah dipastikan dan hendaklah disimpan di tempat yang tidak akan menyebabkan berlakunya pencemaran.
    • Mesin dan peralatan yang digunakan untuk menyembur/menabur baja hendaklah berada dalam keadaan baik.

    Pengairan
    • Penggunaan air daripada loji yang tidak dirawat (untreated sewage water) tidak dibenarkan.
    • Bekalan air hendaklah dari sumber yang berkekalan dan bersih dan hendaklah dibuat analisis sekurang-kurangnya setahun sekali bagi mengelakkan pencemaran.

    Pengurusan Penyakit dan Perosak
    • Penggunaan racun perosak ataupun bahan kimia haruslah dikawal dengan baik bagi serta mematuhi piawaian yang telah ditetapkan.
    • Menggunakan racun makhluk perosak (serangga, kulat dan rumpai) yang disyorkan untuk tanaman yang berkenaan yang terdapat pada label.
    • Bancuhan racun yang berlebihan selepas penyemburan dan air bilasan tangki penyembur racun hendaklah diguna untuk penyemburan di kawasan tanah lapang atau di kawasan tanaman yang belum disembur.
    • Botol-botol racun kosong tidak boleh diguna semula dan cara pelupusan hendaklah dengan cara yang tidak membahayakan manusia dan alam sekitar.
    • Bekas racun yang telah diguna perlu dibilas sebanyak tiga kali atau ‘triple rinsing’.

    Penyimpanan Input Pertanian
    • Tempat penyimpanan baja dan racun makhluk perosak hendaklah berasingan jika tidak, sekatan perlu disediakan untuk mengasingkan kedua-kedua bahan tersebut dan dilabel dengan jelas.

    Garis panduan amalan ini membolehkan ladang yang diuruskan lebih sistematik dan cekap sehingga satu piawaian kualiti dicapai. Ladang yang menerapkan amalan ini akan menentukan produktiviti ladang, hasil ladang berkualiti dan selamat, kebajikan pekerja terpelihara dan kesejahteraan alam sekitar terjaga. Amalan Pertanian Baik penting diterapkan kepada pengusaha-pengusaha pertanian agar hasil yang dikeluarkan dari ladang diterima oleh pengguna samada tempatan mahupun antarabangsa.

    Kongsikan!
    •  
    •  
    •  
    •  
  • This entry was posted in penanaman sayur and tagged , , . Bookmark the permalink.

    Leave a Reply