Sedikit kelainan saya bawakan untuk pembaca beberapa hari ini. Jadi untuk hari ini saya nak kongsikan resepi Kuih Kalakatar atau nama lainnya Binka Kelapa. Mungkin setengah daripada anda semua pernah buat kuih ini. Kuih ini juga adalah kuih tradisional kaum banjar tidak kira di mana populasi itu berada di Malaysia ini. Malah ia sudah jadi makanan masyarakat atau kaum luar banjar juga. Rasanya yang enak mampu menarik minat masyarakat untuk mencuba. Ianya dihasilkan daripada buah kelapa muda.
Mengikut cerita orang-orang lama kaum Banjar, nama Kalakatar sebenarnya membawa maksud ‘ketika panas’ iaitu kombinasi perkataan ‘kala’ bererti ketika dan ‘katar’ yakni panas. Jadi, tidak hairanlah, kuih tersebut yang juga dikenali dengan nama bingka atau bengkang, dikatakan sangat enak dimakan ketika panas sama ada dibakar menggunakan sabut kelapa atau ketuhar.
Menghasilkan kalakatar tidaklah begitu rumit, cuma ia memerlukan buah kelapa muda sebagai bahan utama. Buah kelapa muda itu diambil air dan isinya. Sebaik-baiknya cari kelapa muda yang isinya berlendir-lendir, itu lagi sedap. Saya suka gunakan buah kelapa pandan sebab ia wangi.
Disini saya kongsikan resipi untuk dicuba:
Bahan-bahan:
1 1/2 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
2 biji telur
6 cawan air kelapa muda (kalau nk kuih keras sikt, boleh letak 5 cawan air)
2 cawan isi kelapa muda
1/2 sudu teh garam
Cara membuatnya:
1) Campurkan dan gaulkan tepung, gula, telur, garam dan air kelapa di dalam satu bekas.
2) Setelah campuran tadi sudah digaul sebati, tapiskan ia ke dalam periuk…untuk pastikan tiada tepung yang berketul
3) Masak adunan dalam periuk (guna api sederhana) hingga naik wap (sentiasa gaul)
4) Kemudian masukkan ke dalam dulang yg disapu dengan sedikit minyak
5) Taburkan isi kelapa muda, bakar selama 1 1/2 jam dengan kepanasan 200°C.
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020