POKOK TENGGEK BURUNG

Rata-rata di antara kita asing dengan pokok tenggek burung.

Pokok Tenggek Burung atau nama saintifiknya Euodia redleyi merupakan sejenis tumbuhan renek yang tumbuh secara liar di Malaysia. Pokok ini dikenali sebagai Tenggek Burung kerana dipercayai burung-burung yang bersaiz kecil suka hinggap di pokok ini bagi menyedut nektar daripada bunga.

Pokok Tenggek Burung

Pokok Tenggek Burung

Tanaman ini yang berasal dari keluarga Rutaceae merupakan tumbuhan yang hidup secara liar terutamanya di kawasan yang lembap.

Pokok ini mencapai ketinggian sehingga 2 ke 3 meter jika dibiarkan namun lebih tinggi lagi dikawasan hutan. Ia mudah dikenali berbanding tumbuhan disekitarnya dengan melihat kepada waran, bentuk daun serta bunganya. Ia mempunyai banyak dahan serta ranting. Batangnya berwarna hijau ketika muda dan lembut namun bertukar menjadi coklat keperangan apabila kayu menjadi keras dan tua. Daunnya yang tua berwarna hijau pekat serta tebal. Permukaannya agak berkilat dan berlilin. Manakala, daun pucuk pokok ini berwarna hijau muda dan lembut. Ia biasanya dipetik dan digunakan sebagai ulam.

Bunganya berwarna putih dalam bentuk jambak dan sangat digemari burung kerana mempunyai nektar apabila matang. Dikatakan, pokok ini disyorkan untuk ditanam dikawasan ternakan lebah kelulut. Hal ini kerana ia mampu menghasilkan bunga yang mengeluarkan nektar yang disukai oleh lebah kelulut.  Pokok ini juga diciri-cirikan oleh akarnya yang tunjang dan panjang.

Bunga Pokok Tenggek Burung

Bunga Pokok Tenggek Burung

Dikatakan, pokok ini mampu membantu wanita terutamanya wanita yang baru lepas bersalin terutamanya bagi mengecutkan rahim. Disamping itu, ia dapat menurunkan tekanan darah tinggi serta melancarkan pengaliran darah. Walau bagaimanapun, khasiat yang diperkatakan ini belum dibuktikan secara saintifik.

Lazimnya, pucuk Tenggek Burung ini biasa dijadikan ulam oleh penggemar ulam-ulaman. Ulam ini biasanya dikenali sebagai ulam cabang tiga. Ianya amat berkhasiat dan amat sedap dijadikan ulam. Baunya yang harum dan berlemak boleh membuka selera makan.Ulam Tenggek Burung ini banyak dijual di pasar tani mahupun pasar malam. Ia dijual pada harga satu ikat seringgit. Seikat ulam ini biasanya boleh dimakan sebanyak dua kali.

Walau bagaimanapun, ulam ini mudah layu dan kecut. Ia tidak sesuai untuk disimpan lama. Rasanya masam-masam kelat dan ada rasa pahit-pahit sedikit amat sesuai dikenakan dengan sambal belacan.

Pucuk Tenggek Burung yang dijadikan ulam

Pucuk Tenggek Burung yang dijadikan ulam

Pokok ini membiak dengan cara biji benih yang disebarkan oleh burung-burung yang gemar memakan buahnya. Selain itu, pokok ini boleh dibiakkan secara keratan mahupun anak benih yang dicabut dari kawasan yang sedia ada. Anak benih yang dialihkan ke dalam pasu atau polibeg. Peringkat awal penanaman, ia perlu disiram dan diberikan baja organik serta NPK 15:15:15. Jika penanaman yang dijalan bertujuan untuk komersial, jarak penanaman yang sesuai ialah 1.5 m x 1.5 m.

Pastikan ia sentiasa dicantas bagi memperbanyakkan cabang. Pembentukkan cabang ini boleh dilakukan dengan memetik pucuk atau dahan untuk sistem cabang seimbang. Bagi meningkatkan banyak pertumbuhan pucuk muda dan daun, banyakkan untuk menggunakan baja organik atau tahi ayam yang diproses. Kawalan rumpai peru dijalankan dengan kaedah manual. Elakkan menggunakan racun rumpai mahupun sebarang jenis racun kerana pucuk muda dimakan sebagai ulam.

Kongsikan!
  • 14
  •  
  •  
  •  
    14
    Shares
This entry was posted in Pokok Tenggek Burung and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply