DURIAN BELANDA: ANALISA INDUSTRI

Durian Belanda (Annona muricata) adalah tanaman buah-buahan tropika daripada keluarga Annonaceae yang berasal daripada Amerika Selatan. tanaman ini tidak asing lagi di negara kita kerana ianya sudah ditanam secara komersial seperti buah-buahan lain. Kebanyakan tanaman ini ditanam bercampur dengan tanaman lain sebagai dusun campuran. Kawasan penanaman Durian Belanda mestilah mempunyai sistem saliran yang baik. ia mampu mencapai ketinggian sehingga 8-10 meter dengan batang yang menegak dan mempunyai dahan yang banyak. Daunnya berwarna hijau gelap seolah berlilin dan agak tebal. Buahnya berwarna hijau dan agak berduri. Isinya pula berwarna putih dan mempunyai biji berwarna hitam.

Durian belanda memerlukan kawasan tanah yang subur dengan kecerunan antara 0 hingga15 darjah, mempunyai saliran baik kerana ia tidak tahan kepada air yang banyak dan memerlukan pH antara 5.0 – 5.5 dengan kedalaman tanah melebihi 1 meter. Dari segi hujan pula, tahap keperluannya adalah sederhana sepanjang tahun dan hujan berlebihan menganggu proses pendebungaan. Pokok durian belanda juga akan terjejas hasilnya jika kurang air atau kemarau agak panjang. Di Malaysia terdapat 3 varieti durian belanda yang telah didaftarkan iaitu DB1, DB2 dan DB3.Kesemua varieti ini akan mengeluarkan hasil selepas  3 tahun penanaman yang dijaga dengan baik dikebun.

Penanaman durian belanda dimulakan dengan kerja menggemburkan tanah dengan membajak sebanyak 2 kali dan dibersihkan dari rumput dan sisa-sisa tanaman. Bagi tanaman monokrop memang perlukan penggemburan tanah dan sediakan sistem perparitan sebaiknya. Pembuatan lubang tanaman perlu dilakukan 2 – 4 minggu sebelum menanam.

Benih yang telah cukup umur ditanam dalam lubang dengan jarak 6×6 m bergantung pada keadaan kebun dan darjah kecerunan tanah. Penanaman sebaiknya dilakukan diawal musim hujan dimana benih dalam polibeg dikeluarkan dan ditanam di tengah-tengah lubang tanam, dikambus dan seterusnya dipadatkan kemudian disiram hingga cukup basah. Penjagaan tanaman durian belanda meliputi kerja menyulam, pasang sistem pengairan, pembajaan, aktiviti pemangkasan, kebersihan kebun dan kawalan serangga serta penyakit diladang. Penyulaman pokok bertujuan untuk mencukupkan tanaman agar anak benih yang mati setelah ditanam atau pertumbuhannya kurang sempurna maka perlu melakukan sulaman iaitu sampai 6 minggu setelah masa menanam. Pengairan adalah penting dari peringkat awal menanam dengan aktiviti menyiram dilakukan minima 2 hari sekali terutama apabila tidak ada hujan sehingga keadaan tanah di sekitar tanaman menjadi lembab.

Buah Durian belanda mengandungi bahan seperti fosforus, kalsium, vitamin B dan C yang baik untuk rawatan demam panas dan bengkak hati. Buah ini pada kebiasaannya dimakan segar dan dibuat jus minuman. Selalunya buah durian belanda mempunyai saiz sederhana besar, kulit berwarna hijau, kulitnya berduri lembut, isi buah berwarna putih dan rasanya masam-masam manis. Bentuk buah seperti jantung ini mempunyai rupabentuk yang berbeza-beza dan juga saiznya walau pun datang daripada pokok yang sama. Ia biasanya dimakan segar ataupun boleh diproses untuk dijadikan jus. Pada saya makan buah durian belanda segar adalah paling menyeronokkan apa lagi kalau buah tersebut masak dipokok dengan rasa yang amat manis.Durian belanda mendapat sambutan yang baik oleh masyarakat malah ada sebahagian pengusaha mengeksport hasil tanamannya ke luar negara terutama Singapura. Potensi durian belanda untuk menghasilkan pelbagai produk hiliran menyebabkan ia mendapat pasaran yang baik.

Antara isu penting dalam tanaman durian belanda adalah masalah pendebungaan yang sering menjadi masalah kepada ramai petani tempatan. Proses pendebungaan (fertilization process) merupakan satu isu di dalam penanaman pokok durian belanda selain daripada masalah serangan penyakit seperti serangan Erwinia spp, Mati Pucuk, masalah buah tidak seragam dan sebagainya. Tanaman durian belanda di tanah gambut yang mempunyai masaalah sistem saliran akan menyebabkan pokok mudah diserang Erwinia terutama pada musim hujan . Pokok akan kelihatan tinggal ranting di mana daunnya telah gugur dan kalau tidak dikawal dengan baik ianya akan mati. 

Laporan beberapa penyelidik menyatakan tidak ada serangga semulajadi yang efektif didalam proses pendebungaan bunga durian belanda. Bagaimana pun pemerhatian penulis mendapati terdapat sejenis semut hitam yang ada yang mungkin membantu proses pendebungaan. Morfologi dan bentuk bunga durian belanda agak unik juga di mana ia memiliki bunga Hermaprodit. Bunga hermaprodit mempunyai bunga jantan dan betina pada bunga yang sama dimana bunga akan menjalani dua fasa berlainan. Kajian mendapati bunga betina dan bunga jantan akan matang dalam waktu sesuai yang berlainan dimana ini menjadikan proses pendebungaan durian belanda agak terjejas kejayaannya.  

Fasa matang bunga betina berlaku lazimnya pada jam 4 – 5 petang dimana kelopak akan terbuka dan stigma telah bersedia menerima debunga dimana permukaan stigma adalah lembab dan melekit. Selepas waktu tersebut iaitu petang dan malam didapati ia kurang reseptif menerima debunga lagi sehingga hari berikutnya. Ini dapat dilihat apabila permukaan stigma tersebut kering dan tidak mampu menerima debunga. Bergantung kepada varieti, masih ada stigma bunga betina yang masih menerima debunga pada masa lewat kerana faktor suhu, kelembapan dan kesuburan tanaman.

Bunga jantan pula akan matang pada jam 8 – 9 malam dimana debunga akan masak pada hujung anthers. Debunga yang bersaiz kecil dengan warna kekuningan ini agak melekit apabila disentuh. Selepas beberapa jam didapati tahap kesuburan debunga ini akan berkurangan jika ia kering dengan sendiri dan gugur. Oleh kerana ia aktif pada malam hari dan amat kurang serangga pendebunga yang ada pada malam hari untuk mengambil debunga, maka hanya beberapa faktor semulajadi seperti angin yang akan menerbangkan debunga tersebut. Bagaimana pun apabila jatuh pada stigma, peluang pendebungaan akan menjadi rendah kerana stigma sudah kurang reseptif lagi. Hanya peratusan kecil proses pendebungaan yang berjaya dan manjadi putik buah. Pemerhatian juga mendapati pengaruh kesuburan pokok, cuaca, suhu, varieti serta cantasan menentukan kejayaan dalam pendebungaan bunga durian belanda. 

Bagi mengatasi masalah ini, satu teknologi sudah diperkenalkan iaitu “Muricata Shaker” berfungsi sebagai alat pembantu pendebungaan pada tanaman durian belanda. Durian belanda kurang mampu untuk melakukan pendebungaannya sendiri kerana kadar keberjayaan adalah rendah. Tambahan itu, serangga atau agen pembantu pendebungaan adalah kurang pada tanaman ini sekiranya kawasan penanaman kurang variasi habitat pendebungaan. Kebiasaannya, hanya serangga semut hitam atau kerengga sahaja yang terdapat pada kawasan tanaman durian belanda sebagai agen pendebungaan. Langkah lainnya adalah dengan melakukan tanaman campuran pada kawasan penanaman bagi menarik agen pendebungaan pada kawasan tersebut. Selain itu, antara langkah lain yang perlu diambil kira oleh pengusaha durian belanda ialah masa pendebungaan perlu dilakukan. Ianya merupakan salah satu faktor penting kerana pengusaha harus memahami kitaran atau sifat yang dimiliki oleh bunga durian belanda yang bersifat hermaprodit.

Berikutan keterangan yang saya nyatakan di atas, jadi dengan itu ia mempunyai masa yang sesuai untuk persenyawaan sekitar jam 8-10 malam. Hal ini kerana, bunga jantan dan betina keduanya sudah bersedia untuk disenyawakan. Persenyawaan boleh dilakukan hanya dengan cara menggoncang pada bahagian bunga menggunakan muricata shaker sehingga kelihatan debunga melekat pada bahagian betina atau dengan cara menggunakan berus bagi membantu debunga melekat.Pendebungaan yang berjaya, dalam masa sebulan putik buah akan kelihatan.Sekiranya gagal,tangkai bunga akan gugur dalam tempoh 2-3 minggu. Teknik dan cara yang betul mampu menghasilkan buah yang besar dan cantik.

Kini ruang pasaran sama ada untuk eksport dan domestik antara faktor perniagaan durian belanda meningkat di Malaysia. Apabila melihat kepada kebaikan dan khasiat durian belanda dan potensinya dalam pasaran tempatan dan eksport, maka penggalakkan penanaman kepada petani atau usahawan untuk terlibat dalam pengeluaran buah tersebut diberikan. Sebenarnya selain untuk pasaran segar, kadar permintaan bagi tujuan proses industri hiliran juga tinggi seperti pembuatan kordial. Tambahan pula, durian belanda mampu mengeluarkan hasil lebih kurang dalam tempoh dua tahun sahaja bergantung kepada pembajaan yang diberikan menyebabkan pengusaha tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan hasil dan menjual hasil tanaman tersebut.

Bagi artikel lanjut berkenaan durian belanda boleh klik sini.

Untuk mengetahui lanjut berkenaan penanaman durian belanda boleh baca di sini.

Kongsikan!
  • 9
  •  
  •  
  •  
    9
    Shares
This entry was posted in Analisa, durian belanda and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply