Perbandingan Sistem Penanaman secara Fertigasi dan Konvensional

Teknologi penanaman secara fertigasi telah terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman seperti cili kulai, cili padi, rockmelon, halia dan tomato.

Walaupun teknologi ini telah terbukti keberkesanannya, rata-rata pengusaha masih ragu-ragu tentang teknologi ini kerana modal pelaburan yang tinggi.

Tetapi dalam posting kali ini saya tidak akan berbicara mengenai modal dan ekonomi sistem fertigasi ini tetapi lebih kepada peningkatan hasil tanaman.

Dalam posting akan dtg saya akan mengulas lebih lanjut tentang ekonomi fertigasi drp segi daya maju dan perbandingan sistem. Insyallah…

Satu kajian telah dijalankan dalam menentukan hasil tanaman cili padi pada sistem fertigasi dan kaedah konvensional. Perbandingan pertumbuhan dan hasil tanaman cili padi telah dilakukan pada kedua-dua sistem penanaman ini.

Pelaksanaan projek

Projek telah dijalankan bermula pada 1 Februari 2010 hingga 31 Julai 2010.

Data pertumbuhan pokok dan hasil direkodkan sepanjang tempoh 6 bulan penanaman.

Cili padi varieti Centel (Chiap Hup Sdn. Bhd.) telah disemai di dalam dulang semaian sehingga 21 hari sebelum dipindahkan.

Bagi sistem fertigasi, anak benih yang berusia 21 hari dipindahkan ke dalam polibeg berwarna hitam bersaiz 13’’ x 20’’ yang mengandungi coco peat sebagai medium tanaman.

Setiap polibeg dititiskan dengan larutan baja dengan formulasi yang sesuai untuk pertumbuhan pokok cili.

Tempoh dan kekerapan titisan larutan baja bergantung pada usia dan peringkat pertumbuhan pokok.

Manakala bagi tanaman konvensional, najis ayam telah digunakan sebagai baja asas dan pokok diberikan baja NPK blue special (12:12:12:17 + TE) dengan selang masa 2 minggu.

Sebanyak 1,000 dan 4,000 pokok cili ditanam secara fertigasi (Gambar 1) dan konvensional (Gambar 2).

Data yang diperoleh dianalisis menggunakan analisis varian bagi menguji kesan pertumbuhan dan hasil.

Prestasi pertumbuhan dan hasil

Hasil cili padi boleh dituai seawal 85 hari pada tanaman yang menggunakan sistem fertigasi berbanding dengan 100 hari pada sistem konvensional.

Tuaian hasil boleh dilakukan 15 hari lebih awal pada sistem fertigasi berbanding dengan sistem konvensional.

Hasil tuaian awal pada sistem penanaman fertigasi memberi kelebihan kepada pengusaha untuk merancang pemasaran hasil cili.

Perbandingan kedua-dua sistem penanaman juga menunjukkan perbezaan yang ketara dari segi bilangan buah, hasil, ketinggian pokok dan peratus hidup pokok cili bagi penanaman secara sistem fertigasi dan konvensional.

Terdapat perbezaan yang signifikan terhadap bilangan buah, hasil, ketinggian pokok dan peratus hidup pokok cili antara dua sistem penanaman ini (Jadual 2).

Pokok cili pada sistem fertigasi memberi jumlah buah yang tinggi iaitu 1,758 ± 121 g berbanding dengan 421 ± 43 g yang diperoleh pada penanaman secara konvensional.

Pokok cili pada sistem fertigasi juga memberi hasil empat kali ganda lebih tinggi berbanding dengan penanaman secara konvensional.

Hasil buah yang tinggi pada pokok yang ditanam secara sistem fertigasi dipengaruhi oleh bilangan buah yang diperoleh.

Pokok cili yang ditanam secara konvensional 29% lebih rendah berbanding dengan pokok yang ditanam secara fertigasi.

Sistem fertigasi nyata dapat memberi hasil yang tinggi dan pertumbuhan pokok yang baik.

Kesimpulan

Penanaman secara fertigasi terbuka terbukti berkesan dalam meningkatkan hasil cili padi sebanyak tiga hingga empat kali berbanding dengan penanaman secara konvensional.

Sistem fertigasi terbuka ini adalah satu teknik alternatif dalam penanaman cili padi yang dapat mengatasi masalah tahap kesuburan yang rendah dan penyakit bawaan tanah yang sering menyerang tanaman cili padi secara khususnya.

Dengan pengurusan tanaman yang berkesan sistem penanaman cili padi secara fertigasi terbuka ini dapat menjamin pengeluaran hasil cili yang tinggi, sekali gus meningkatkan pendapatan usahawan tani.

Kongsikan!
This entry was posted in Cili, Fertigasi, Tanaman Fertigasi and tagged , , , , , , , , . Bookmark the permalink.

7 Responses to Perbandingan Sistem Penanaman secara Fertigasi dan Konvensional

  1. Rathakrishna says:

    Thank you so much for comparison. Its give a lot benefits to others.

    can you recommend any service provider for Cili Kulai?

    Tq

  2. ibrahim bin Ismaik says:

    Saya ingin ikut kursus Tanaman Cili fertigasiPohon bantuan.

  3. Namikazeminato says:

    Salam..ada x data khusus yg menunjukkan hasil pengeluaran cili bara secara fertigasi selama semusim?..mohon share..tq

Leave a Reply