SIRI HERBA MALAYSIA – CEKUR MANIS

Famili : Euphorbiaceae
Genus : Sauropus
Spesies : Sauropus androgynous
Nama lain : Pucuk Manis, Asin Asin, Cekup
Manis (Malaysia), Katuk
(Indonesia), Sweat Leaf
Bush (Inggeris), Mani Cai
(Cina), Rau Ngot
(Vietnam), Pak Waan
(Siam), Phak Wan – Ban (Thailand), Ngub, Hvaan Baanz (Laos)

PENGENALAN

20130921-123529

Cekur manis adalah jenis sayuran herba yang dimasak secara dicelur, direbus atau digulai (masak lemak bersama keledek atau labu). Tumbuhan ini biasanya ditemui atau ditanam di sekitar kampung dan jarang ditemui di bandar. Tumbuhan ini kurang popular dikalangan masyarakat bandar dan jarang ditanam di dalam pasu. Ini kerana tumbuhan berkayu ini memerlukan kawasan yang agak luas dan tinggi untuk tumbuh.

Cekur manis adalah dari keluarga euphorbiaceae yang mempunyai khasiat yang tinggi. Bagi 100g cekur manis mengandungi 79.8% air, 7.6% protein, 6.9% karbohidrat, 1.8% lemak, 1.9% serabut, asid amino, fosforus, kalsium, Vitamin A, Vitamin B1, Vitamin B2, dan Vitamin C. Ia berasal dari India dan Sri Lanka dan ditanam ke China dan mempunyai taburan sehingga ke Indo China dan Asia Tenggara.

Daun cekur manis ini berasa manis dan berangin apabila dimakan. Tumbuhan ini memerlukan pendedahan matahari yang banyak dan pengaliran air yang baik untuk ia tumbuh subur. Di Malaysia, ianya banyak di tanam secara komersial di Sabah, Melaka dan Johor dengan varieti Cekur Tempatan dan Sabah Green (Mardi, 2005)

MORFOLOGI CEKUR MANIS

Cekur manis adalah tumbuhan renek yang boleh mencapai sehingga 8 meter sekiranya tidak dicantas. Ianya mempunyai batang menegak yang berwarna hijau ketika muda dan berwarna coklat ketika tua. Terdapat ranting ranting halus yang akan tumbuh dari batang dimana daun cekur manis tumbuh secara berselang seli.

1553805218_21eca72b63

Daun cekur manis berwarna hijau gelap dibahagian atas daun dan berwarna hijau muda di permukaan bawah daun. Ianya berbentuk bujur memanjang dengan kelebaran 1 hingga 3 cm dan panjang daun ialah 2 hingga 7 cm. Bunga daun cekur manis yang tumbuh di antara daun berwarna putih kemerah merahan dan mempunyai buah. Buahnya berjenis kapsul 6 sudut berwarna hijau (muda) dan putih keungguan (masak), yang akhirnya akan merekah dan membebaskan biji apabila tua.

KAEDAH PENANAMAN

Pokok cekur manis boleh dibiakkan melalui keratan batang (20 hingga 30 cm) atau ditanam secara biji benih. Lazimnya pekebun lebih gemar menanam secara keratan batang kerana ia cepat bercambah dan tumbuh subur berbanding menaman secara biji benih yang akan lambat untuk tumbuh.

Tumbuhan ini sesuai ditanam di atas apa juga jenis tanah cuma tanah tersebut perlu digembur dan dibajak bagi meningkatkan sumber mineral dan organik yang tersembunyi di dalam tanah. Sekiranya jadual penanaman berlaku pada musim kemarau, pekebun perlulah menyiram permukaan tanah agar tanah sentiasa lembap bagi menggalakan pertumbuhan tunas dan pucuk.
Batas yang perlu disediakan mempunyai ketinggian 18 cm dan lebar 1.5 meter. Jarak antara benih atau keratan batang yang hendak ditanam adalah 30 hingga 50 cm dalam 1 baris. Disyorkan hanya ada 2 baris pokok ditanam pada 1 batas. Untuk pertumbuhan cekur manis yang terbaik, keratan batang sepanjang 20 hingga 30 cm di semai secara menegak di dalam polibeg dan diletakkan di kawasan yang agak terlindung dari cahaya matahari. Keratan batang ini perlulah disiram sekali sehari dan dilindungi dengan sungkupan. Pokok cekur manis akan bercambah dan mengeluarkan tunas yang subur selepas 6 hingga 8 minggu dan pada masa ini ianya boleh dipindahkan di atas batas.

Pokok cekur manis ini memerlukan pembajaan mengikut jadual bagi menghasilkan pucuk yang sihat. Antara baja yang disyorkan adalah baja organik (tahi ayam) pada kadar 4 hingga 5 t/ha pada setiap 4 bulan. Baja NPK 15:15:15 pula ditabur 80 hingga 100g/pokok pada keliling pokok pada setiap bulan manakala baja foliar akan disembur pada daun pokok bagi mempercepatkan pertumbuhan pucuk dan daun.

Penyiraman air pada pokok adalah sangat kritikal pada hari pertama hingga musim tuaian dan sistem penyiraman secara renjis, titisan atau siram secara manual adalah disyorkan. Pokok cekur manis perlu dicantas batangnya untuk mengawal ketinggian dan menggalakkan pertumbuhan. Ianya akan dicantas 3 bulan selepas ditanam dan cantas seterusnya berlaku setiap 6 bulan.
Tumbuhan ini mudah dijaga hanya perlukan penyiramkn dan kelembapan tanah yang tinggi. Ketika waktu tuaian, hanya bahagian pucuk muda yang akan dipetik secara manual oleh pekebun. Hasil tuaian cekur manis akan meningkat pada tahun berikutnya dan jangka hayat ekonomi cekur manis adalah 5 hingga 10 tahun bergantung kepada pengurusan tanaman (Mardi, 2005)

SERANGGA DAN PENYAKIT

Serangga yang sering kelihatan di pokok cekur manis adalah hama jenis pelombong. Ianya boleh dikawal menggunakan racun seperti kelthane dan mitac. Kumbang jenis Adoretus sinicus juga sering ditemui memakan bahagian bawah daun cekur manis.

KEGUNAAN & KHASIAT

Daun cekur manis biasanya di dijadikan sayur yang dimasak, diperam atau dijeruk. Di Vietnam, daun cekur manis ini akan dimasak di dalam sup bersama ketam. Selain itu, daun cekur manis sangat berkhasiat bagi ibu yang baru bersalin dan bayi di mana daun ini akan dihancur dan dilumatkan lalu ditampal di payudara ibu bagi meransang penghasilan susu. Air rebusan daun cekur manis ini boleh diminum bagi pemulihan rahim (ibu bersalin), mengubati demam panas, masalah pembuangan air kecil, rawatan sakit kepala dan penyakit kardiovaskular (Siti Fauziah Yusof, 2012). Ada laporan yang mengatakan bahawa jika pengambilan daun cekur manis ini secara berlebihan akan mengakibatkan si pemakan berasa pening. Ini mungkin akibat dari daun cekur yang bersifat berangin.

1. Peralatan dan Baja Fertigasi Harga Murah dan Berbaloi- Klik Sini

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Herba and tagged , , , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply