Ikan masin merupakan salah satu makanan kegemaran orang Malaysia. Cara membuat ikan masin boleh dikatakan lebih kurang sama dengan cara buat jeruk buah cuma yang membezakannya adalah garam digunakan untuk menjerukkan ikan.
Untuk menghasilkan ikan masin, banyak garam diperlukan, bukan sesudu dua tetapi mungkin berganda-ganda dari itu. Antara jenis ikan yang biasanya digunakan di Malaysia adalah ikan kembung, tenggiri, ikan sardin dan yu. Ikan masin ini kebiasaannya digoreng atau dicampur dalam sup.
Anda boleh pergi ke pasar basah dan cari ikan yang sesuai untuk dibuat ikan masin. Anda boleh beli yang masih fresh ataupun sudah beku. Bergantung kepada citarasa anda. Selepas itu, bersihkan ikan. Sebelum saya terangkan dengan lebih lanjut, saya ingin jelaskan bahawa terdapat dua jenis ikan masin. Pertama, ikan masin biasa di mana ia dijeruk dengan garam ketika masih fresh dan telah dibuang isi perut. Jika saiz ikan besar, anda boleh potong ia menjadi kecil.
Kedua, jenis ikan masin yang akan dibiarkan mereput sikit (setelah lebih kurang 24 jam dibiarkan). Maksudnya reput sikit jer, bukan mereput sampai berulat tu. Ikan ni akan mengeluarkan sedikit bau busuk dan dagingnya akan jadi lembut sikit. Pada ketika ini, anda kena letakkan garam banyak-banyak dan biarkan selama sehari atau dua hari.
Untuk ikan masin jenis pertama tadi, anda kena jemurkan di bawah sinaran matahari. Letakkan di atas tray dan biarkan. Sinaran matahari akan mengeringkan ikan. Ulangi proses ini selama 3 hingga 4 hari atau sehingga garam betul-betul keras.
Di sini saya kongsikan cara membuat ikan masin gelama:
Bahan-bahan:
1. 1kg ikan gelama
2. Garam
3. Cuka makan
Cara-cara:
1. Ikan gelama cara siangnya, belah belakangnya jangan sampai putus. Dengan menggunakan gunting, belah 2 kepala agar kita dapat bukak ikan itu seperti di dalam gambar. Buang segala indang dan perut. Kalau ada telur nak simpan boleh, nak buang pun boleh. Cuci bersih-bersih.
2. Dalam besen, susun ikan dan taburkan garam ke atas setiapo ekor ikan, anggarannya segenggam penuh untuk seekor. Garam perlu banyak sebab kalau tak cukup masin ikan akan busuk. Jika banyak ikannya, boleh susun rapi dengan memastikan garam itu meliputi setiap ekor ikan. Kemudian masukkan air sehingga ikan tenggelam. Tutup rapat besen dan biarkan selama 24 jam.
3. Esoknya, bilas ikan, masa ini kita kena sesuaikan rasanya. Jika ikan terlebih masin, rendam seketika Dallam air, jangan lama, nanti tawar pula. Pastikan semua garam dibilas untuk elakkan bunga garam terbentuk waktudijemur. Bislas bersih dan toskan.
4. Sebelum susun atas talam/tampi, basahkan atau percikkan setiap bahagian ikan dengan cuka. Fungsi cuka ialah untuk menjauhkan lalat daripada mendekati ikan tersebut. Kemudian jemur di bawah matahari yang terik selama 1 hari atau 2 hari, bergantung kepada tahap kering yang dikehendaki.
Ikan yang telah kering, boleh dibungkus dan disimpan di dalam peti sejuk. Sentiasa pantau ikan kering kerana kebiasaannya tebuan suka curi isi ikan menyebabkan ia akan berlubang-lubang. Jika ikan tidak kering sepenuhnya, seeloknya simpan dalam peti sejuk beku untuk mengelakkan ikan kering dari busuk dan hapak.
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020