Keladi bunting atau nama botaninya Eichornia crassipes merupakan tumbuhan akuatik yang berasal daripada Amerika Selatan. Ia juga dikenali sebagai orkid air atau Water Hyacinth. Ia sejenis tumbuhan yang terapung dan dikatakan dapat membiak dengan cepat dalam tempoh 12 hari.Ia dibawa masuk ke Malaysia sejak lama dulu sebagai pokok hiasan dan kini ia membiak dengan banyak terutamanya di kawasan paya, tasik, lombong dan lain-lain kawasan berair tenang. Keladi bunting hidup secara terapung seperti kiambang dan akar rerambut berfungsi sebagai penyerap nutrien daripada air. Bahagian pangkal batang atau pelepah keladi yang ‘bunting’ bertindak sebagai pelampung. Keladi mempunyai bunga yang cantik berwarna ungu atau merah jambu seakan orkid dan keluar mengikut musimnya.
Keladi bunting yang ditanam sebagai pokok hiasan akuatik ini juga boleh dijadikan makanan ternakan dan ikan. Fungsi terpenting keladi bunting ini adalah mengurangkan pencemaran air kerana ia menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen semasa proses fotosintesis.
Kebiasaannya, pokok ini akan terapung-apung di atas air dengan menggunakan bahagian tangkai daun yang bunting dan mempunyai udara di dalamnya. Sekali pandang, batang daunnya tidak ubah seperti pelampung. Bagi mereka yang suka kepada hiasan laman, pokok keladi bunting mempunyai keunikkan yang tersendiri. Ia sesuai diletakkan di dalam kolam kecil, tempayan atau pasu besar.
Apabila pokok ini membentuk hamparan, ia akan menghalang sinaran matahari menembusi ke dasar air sekali gus mengurangkan kadar pembebasan oksigen. Secara tidak langsung, ia boleh mematikan tumbuhan asal di dasar air yang memerlukan punca oksigen. Bagi kawasan sungai, kehadiran keladi bunting yang banyak, boleh menghalang bot nelayan menangkap ikan di kawasan berkenaan.
Pokok ini juga lazimnya menjadi penghias pancuran air dan kolam pasang siap yang bersaiz besar dan sederhana. Namun, bagi kolam yang dihuni ikan, seelok-eloknya kawal pembiakan keladi ini supaya ia tidak menghalang cahaya masuk dan menyekat pembebasan oksigen.
Bagaimanapun, biasanya keladi bunting menjadi tempat ikan dalam kolam mencari makan. Ini kerana akar keladi bunting biasanya tumbuh berlumpur di dalam air. Katak dan ikan juga sering menjadikan akar pokok ini tempat ia bertelur.
Bagi segelintir pencinta hiasan laman pula, ada yang tidak suka menanam pokok ini kerana akarnya menjadi tempat pembiakan nyamuk.
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020