Melentur buluh biarlah dari rebungnya, merupakan peribahasa yang sangat terkenal bermaksud jika hendak mendidik anak biarlah pada usianya masih muda kerana apabila anak sudah besar semakin susah anak terima teguran dan lebih susah untuk mendidik mereka. Buluh seumpama rumput gergasi yang keras dan ditanam secara besar-besaran kerana kepelbagaian hasil produk yang dapat dihasilkan oleh buluh. Projek penanaman buluh adalah satu usaha pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dalam memperkenalkan hasil sumber bukan kayu yang berpotensi untuk dikomersilkan.
Di Malaysia hampir terdapat 100 spesies buluh, 50 di Semenanjung Malaysia, 30 di Sabah dan 20 spesies di Sarawak. Buluh boleh di kumpulkan kepada 2 kumpulan besar iaitu yang mempunyai pertumbuhan tunggal (monopodial) dan pertumbuhan berumpun (simpodial). Pertumbuhan di Malaysia keseluruhanya ialah pertumbuhan berumpun (simpodial) kerana mudah tumbuh di kawasan yang beriklim tropika. Malah penjagaan buluh juga mudah dan memerlukan tanah yang lapang kerana buluh akan terus tumbuh.
Terdapat beberapa spesies buluh yang di kenali di Malaysia seperti Bambusa blumeana (Buluh duri), Bambusa heterostachya (Buluh galah/ tilan/ paring/ pengat), Bambusa vulgaris (Buluh minyak/ aao/ aro/pan/gading), Dendrocalamus asper (Buluh beting/pering), Gigantochloa levis (Buluh betong/bisa),Shizostachyum zollingeri (Buluh dinding/ nipis/ kasap/telor). Tidak kesemua spesies buluh bersesuai untuk dikomersialkan dan juga boleh dimakan rebungnya.
Di Malaysia, buluh sangat terkenal dengan rebungnya yang digunakan dalam masakan dan juga batangnya yang digunakan untuk membuat lemang dan lebih menarik meriam buluh terutamanya pada musim perayaan. (adik-adik tidak digalakkan utk mencuba meriam buluh kerana boleh membahayakan diri dan orang sekitar).Produk pencungkil gigi dan perabot juga popular di negara kita. Selain itu, kraftangan yang diperbuat daripada buluh sangat terkenal dan juga digunakan sebagai salah satu bahan untuk mempromosikan kraftangan dalam bidang perlancongan.
Di negara China, permintaan buluh sangat tinggi untuk diproses menjadi chopstick dan memerlukan tanah dan iklim yang sesuai untuk memanam buluh yang boleh menampung kos permintaan. Malaysia merupakan salah satu negara yang berpeluang untuk mengeksport buluh untuk permintaan negara lain kerana Malaysia kaya dengan tumbuhan ini cuma kurang pendedahan tentang hasil dari buluh yang boleh dipelbagaikan. Negara barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat telah melihat potensi buluh yang boleh dikembangkan menjadi pelbagai produk.
Terdapat usahawanita negara kita yang mempergunakan fabrik berasaskan buluh dan sedang bergiat mempromosikan produk mereka secara online. Produk fabrik daripada buluh didapati lembut, selesa dan menyerap peluh lebih baik daripada kain lain. Juga mesra alam kerana sumber mampannya, menyejukkan kerana banyak mikrogaps dalam teksturnya.Sesuai untuk orang yang mempunyai kulit yang sensitif.Mudah dibersihkan,ringan, cepat kering dan menjadikannya mudah dibawa ketika mengembara. Tambahan tidak rasa miang seperti yang difikirkan para pengguna.
Pelbagai inovasi yang boleh di lakukan dengan buluh dan dapat mengubah stigma masyarakat tentang keberhasilan produk daripada buluh disamping dapat membantu memacu ekonomi negara.
- MASKER SEMULAJADI - March 22, 2019
- POKOK KAPAS - March 20, 2019
- PEWARNA MAKANAN SEMULAJADI VS PEWARNA MAKANAN TIRUAN - March 18, 2019