Walit seringkali disalah ertikan sebagai burung layang-layang tetapi hakikatnya ia adalah dua spesies yang berbeza. Burung Walit berasal daripada keluarga ‘Apodidae’ dan mempunyai tabiat tidak suka bertenggek. Sarangnya pula boleh dimakan dan terdapat tujuh spesies kesemuanya.
Manakala, burung layang-layang pula berasal daripada keluarga ‘Hirudininae’, gemar bertenggek, dan sarangnya pula tidak boleh dimakan kerana ia diperbuat daripada rumput dan batu. Terdapat hanya dua spesies burung walit yang sarangnya boleh dimakan iaitu ‘Aerodramus Fuciphagus’ (edible nest-swiflet) dan ‘Aerodramus Maximus’ (black nest-swiflet). Kedua-dua spesies ini banyak ditemui di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia.
Untuk bersarang, burung walit memerlukan suhu di sekitar antara 26-31 darjah celsius dan kebiasaannya hidup berpasang-pasangan. Anak burung walit yang baru menetas akan buta selama 20 hari dan apabila berusia 7-9 hari, ia akan mula memakan bolus serangga dan mula minum pada usia 10 hari. Burung walit gemar memakan serangga dan segala aktiviti yang dilakukan adalah ketika terbang kerana spesies ini tidak dapat bertenggek. Aktiviti tersebut termasuklah makan, minum, dan mengawan. Kesemua aktiviti ini akan dilakukan di udara dan ia hanya akan pulang ke sarang pada waktu senja untuk berehat dan bertelur.
Permintaan terbesar bagi pasaran sarang burung walit kini tentulah dari negara China yang mempercayai khasiat produk ini sejak ratusan tahun dahulu. Sarang burung walit mendapat permintaan yang tinggi di China di mana sup sarang burung itu dilihat menjadi pengukur kepada status seseorang individu. Harga bagi satu kilogram produk tersebut pula mencecah RM4, 000 hingga RM6, 000 untuk pasaran tempatan dan boleh mencapai hingga RM12, 000/kg di pasaran dunia.
Purata permintaan bagi seluruh dunia untuk produk ini adalah sekitar 12, 000 tan metrik setahun, namun jika dicampur pengeluaran dari semua negara-negara sekitar Asia Tenggara, kita hanya mampu menghasilkan sehingga 500 tan metrik sahaja.
Penternakan sarang burung walit kini dikuasai lebih dari 90% oleh kaum bukan bumiputera kerana dek kesedaran awal mereka bahawa industri ini mampu memberikan keuntungan yang lumayan. Mereka sedar dengan hanya mengeluarkan modal sekali sahaja untuk memulakan industri ini, keuntungan yang bakal dituai adalah untuk selama-lamanya.
Premis hendaklah dibina di atas tanah pertanian atau perusahaan pada jarak minima 100 meter dari kawasan kediaman. Di samping itu juga, kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan perlu diperolehi terlebih dahulu. Reka bentuk bangunan perlulah berdasarkan kepada kehendak dan keperluan burung bagi menjamin burung walit akan terus menetap di situ. Pengubahsuaian premis dilakukan untuk menjadikan suasana dalamannya sama dengan gua, terutamanya ciri-ciri gelap dan lembab.
Rumah untuk burung walit juga perlu disediakan dengan ‘roving room’ kerana semasa memasuki bangunan burung walit akan berputar-putar dahulu mengikut putaran jam sebelum menuju ke sarangnya. ‘Resting room’ perlu disediakan sebagai tempat untuk burung walit berehat dan membina sarang. Lubang untuk burung keluar dan masuk sesuai diletakkan di bahagian atas bangunan dengan arah bertentangan daripada matahari naik atau jatuh bagi menjaga pencahayaan di dalam bangunan.
Antara ciri-ciri lain yang perlu diambil kira dalam membina rumah burung walit adalah;
1. Sistem ventilasi yang sesuai bagi mengawal suhu. Suasana persekitaran yang diperlukan dalam rumah burung adalah antara 25 hingga 28°C, kelembapan antara 80 hingga 90% dan kegelapan kurang dari 1 lux. Ketika cuaca panas, paip perlu dipasang bagi menjamin suhu sentiasa rendah dan kelembapan berada di tahap yang tinggi.
2. Bahagian dalam bangunan perlu terlindung daripada cahaya matahari. Bumbung bangunan hendaklah diperbuat daripada bahan-bahan yang dapat menahan kepanasan matahari.
3. Ketinggian ideal melebihi 15 kaki dengan keluasan melebihi 20 kaki persegi.
4. Selamat daripada haiwan pemangsa. Rumah burung perlu sentiasa dikawal daripada tikus, semut, cicak, kelawar, biawak, burung hantu dan helang yang sama ada akan merosakkan atau menakutkan burung untuk terus tinggal di dalam bangunan. Tikus bukan sahaja gemar memakan telur burung, malah turut memakan anak burung dan sarangnya sekali.
5. Pemasangan sistem audio. Sistem audio dipasang bertujuan untuk memainkan suara burung pada waktu tertentu bagi memanggil burung masuk kedalam bangunan, membuat sarang dan seterusnya meningkatkan pengeluaran. Burung walit membuat sarang daripada cecair yang dikeluarkan dari kalenjar yang terdapat bersebelahan kalenjar saliva. Cecair ini akan menjadi keras apabila terdedah kepada udara.
6. Lebih ekonomik jika bangunan dibina secara bertingkat.
Bagi artikel lain berkenaan burung walit boleh klik di sini.
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020