Siri Herba Malaysia – Pokok Dukung Anak

PENGENALAN

Ketika dibangku persekolahan, daun berwarna hijau ini sering dijadikan bahan utama permainan masak masak bersama kawan sekampung. Ia kelihatan seperti pokok rumput yang tumbuh meliar di celah celah retakkan simen di lantai rumah. Tanpa diketahui nama serta khasiatnya, tumbuhan renek ini tidak diendahkan dan sering menjadi mangsa si pemesin rumput. Ia mudah tumbuh sebagai tetamu yang tidak diundang kerana biji benihnya banyak dan mudah tersebar.

dukunganak

Pokok dukong anak adalah tanaman herba jangka pendek kerana tempoh tanaman adalah 8 hingga 10 minggu untuk satu musim. Ianya tumbuh di kawasan terbuka di kawasan berpasir seperti kawasan lombong, sawah dan parit. Petani menganggap ia sebagai salah satu rumpai kerana ia sukar untuk dikawal. Ia boleh hidup di kawasan beriklim tropika seperti Indonesia, Thailand, China, India, Filiphina dan Malaysia.

Ramai antara kita yang tidak mengetahui maklumat lanjut tentang tanaman herba ini, akan tetapi revolusi tanaman herba yang berlaku lewat 2 dekad kebelakangan ini mendedahkan nama dan khasiat pokok dukong anak ini. Ianya sinonim dengan pengamal perubatan herba kerana khasiatnya boleh merawat penyakit kencing manis dan juga masalah hati. Tabib di negara cina menggunakan daun pokok dukung anak ini untuk merawat penyakit jaundis (kuning) dan khasiatnya sama seperti ginseng.

MORFOLOGI POKOK DUKUNG ANAK

Secara umumnya, pokok renek ini berketinggian 50 hingga 70 cm dan mempunyai daun yang tersusun berselang seli (6 hingga 10 mm panjang). Ia seakan akan rupa daun semalu tetapi terdapat buah buah yang kecil terlindung di permukaan bawah daun.Tangkai daun adalah majmuk berpinat dan akan tumbuh bunga jantan dan bunga betina sepanjang 1 mm di daun pokok ini. Rasa daun pokok dukung anak adalah pahit kerana kandungan phyllantin dan hydrophylantin yang tinggi.

Sifat pertumbuhan pokok dukung anak adalah berbeza bergantung kepada spesis yang ditanam. Terdapat 3 jenis spesis pokok dukung anak yang biasa ditemui di Malaysia iaitu P. niruri, P. debelis dan P. urinaria.

P. niruri berketinggian 50 cm dan lebar 40 cm serta daun yang berwarna hijau muda. Warna batang pokoknya ialah hijau muda dan mempunyai ranting yang sederhana padat.

P. debelis berketinggian 65 cm dan lebar 30 cm serta daun yang berwarna hijau tua. Warna batang pokoknya ialah hijau tua dan mempunyai ranting yang jarang (tidak padat).

P. urinaria hanya berketinggian 35 cm dan lebar 60 cm serta daun yang berwarna merah kehijauan. Warna batang pokoknya ialah merah dan mempunyai ranting yang tumbuh padat.

KAEDAH PENANAMAN

Pokok dukung anak boleh hidup subur di atas tanah jenis bris gambut dan alluvium. Persedian awal seperti pengemburan dan pembajakan tanah perlu dilakukan sebelum tarikh penanaman. Ph tanah yang sesuai antara 5.0 hingga 6.0 maka pengapuran boleh dilakukan bagi mendapatkan ph tanah optimum.

Semasa penyediaan batas, tanah perlu digaul dengan baja organik (tahi ayam 10 t/ha bagi tanah bris, 5 t/ha bagi tanah gambut dan 10 t/ha bagi tanah alluvium).Baja organik Kokei (NPK 10:10:10) juga boleh digaulkan sebagai tambahan di tanah bris sebanyak 300 kg/ha sebelum pemasangan sungkupan plastik.

Batas disediakan bersaiz 120 cm lebar dan 25 hingga 30 cm tinggi. Sungkupan plastik pantulan diperlukan bagi mengelakan rumpai dan pencemaran baja serta menghalang serangan kutu daun yang akan merosakan daun.
Pokok dukung anak akan dibiakkan menggunakan biji benih.30 hingga 40 g/ha biji akan disemai di atas dulang semaian dan biji benih perlu disiram dengan kadar sederhana bagi mengelakkan kekeringan. Selepas 7 hari, pokok akak mula bercambah dan sedia untuk dipindahkan ke atas batas yang telah di baja dan ditutupi dengan plastik.

Sistem pengairan titis adalah disyorkan selain ianya amat mudah untuk dijaga, jimat dan tidak berlaku pembaziran baja.

Selepas 8 hingga 10 minggu semaian di atas batas, pokok dukung anak boleh dituai dengan memotong batang tanaman 5 cm dari aras tanah. Sekiranya pokok tidak dituai, daun matang akan mulai gugur dan ia akan menjejaskan kualiti dan khasiat tumbuhan ini.

Proses pengeringan pokok ini dilakukan dengan menjemurkannya di kawsan teduh atau struktur pelindung hujan. Selepas itu, ianya perlulah disimpan di dalam bekas kedap udara bagi memastikan kualiti yang baik

SERANGGA DAN PENYAKIT

Kutu daun sering menyerang pokok dukung anak ini. Oleh itu penggunaan sungkupan plastik pantul cahaya dapat menghalang kehdairan makhluk perosak ini dari merosakan tumbuhan tersebut.

KEGUNAAN DAN KHASIAT

Pengamal perubatan tradisional menggunakan pokok dukung anak ini bagi merawat masalah ketidaklancaran darah dan kencing. Ia akan dicampurkan bersama sirap, yogurt atau susu kambing.

Banyak kajian di luar negara mengenai khasiat pokok dukung anak ini dalam mengubati penyakit Hepatitis B. Sifat oksidan yang terkandung di dalam tumbuhan ini membantu merawat penyakit Hepatitis B yang menyerang manusia sejagat. Perubatan Ayurveda menggunakan tumbuhan herba ini sebagai penghilang dahaga, bronchitis (gejala pernafasan), kusta, anemia dan asma.

Air rebusan daun dukung anak ini boleh merawat bisul di mata dan mengubati luka gigitan anjing gila.

Kongsikan!
  •  
  •  
  •  
  •  
This entry was posted in Herba and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply