Penanaman Cendawan Shiitake

Cendawan Shiitake atau nama saintifiknya ialah Lentinula edodes, semakin diminati memandangkan cendawan ini dikatakan mempunyai ‘Lentinan’ iaitu sebatian anti-kanser serta mampu menurunkan kadar kolesterol. Cendawan shiitake merupakan cendawan kedua yang paling popular di seluruh dunia. Namun di Malaysia, penanaman cendawan shiitake masih jarang akibat faktor suhu yang kurang sesuai. Oleh sebab itu, Malaysia perlu mengimport cendawan shiitake kering dari beberapa buah negara seperti China misalnya bagi memenuhi permintaan pengguna tempatan.

Walaubagaimanapun, penanaman cendawan shiitake masih boleh diusahakan dibawah suhu persekitaran yang terkawal iaitu pada suhu antara 10?C -18?C. Berikut adalah beberapa ciri asas bagi rumah cendawan.

• Pengudaraan yang baik iaitu menggunakan dinding net atau jaring.
• Kelembapan bandingan diantara 80-90% yang memerlukan siraman 2-3 kali sehari.
• Kalis serangga dan penyakit.
• Mematuhi amalan pengurusan baik.

Cendawan shiitake telah lama diusahakan. Berikut merupakan kaedah penanaman cendawan shiitake yang dapat dikongsikan.

Teknik penyediaan substrat cendawan shiitake:
• Gunakan beg plastik yang tahan haba bersaiz 8.5cm x 36cm dengan ketebalan 0.6cm dan jangan lupa
sediakan penutup beg plastik.
• Substrat untuk diisi ke dalam beg plastik terdiri daripada campuran  habuk kayu, dedak, amonium
sulfat, kapur dan air (75% lembapan).
• Masukkan substrat ke dalam beg plastik dan padatkan sehingga tingginya 18 cm dan beratnya 1 kg.
• Pasangkan penutup dan sumbat sedikit dengan kapas.

Pengukusan substrat:
• Masukkan air ke dalam tong drum sehingga paras lapik.
• Susun beg media secara menegak sehingga penuh tong drum.
• Tutup mulut tong drum dengan lapisan guni gula dan besen aluminium di atasnya.  Kukus selama 10
jam pada suhu 100?C
• Padamkan api dan sejukkan beg media di dalam ruang penyejukan.

Penyuntikan benih cendawan
• Bersihkan bilik dengan pembasmi kuman sebelum menjalankan kerja menyuntik benih cendawan.
• Benih cendawan hendaklah yang bagus iaitu yang berwarna putih bersih seperti kapas dan
pertumbuhannya penuh sehingga ke bawah botol.  Hancurkan benih cendawan dengan pencungkil yang
telah dipanaskan (layur) dengan api. 
• Buka mulut beg substrat dan masukkan benih cendawan anggaran sebanyak 1 sudu besar.  Penutup
mulut beg dilayur dan dipasangkan kembali pada beg.
• Tarikh benih disuntik dan jenis cendawan hendaklah dicatatkan pada beg substrat. Eramkan beg
cendawan tersebut sehingga miselium memenuhi beg pada suhu 28-30oC diruang khas sebelum dialih ke
rumah cendawan.  Tempoh pengeraman bergantung kepada saiz beg yang digunakan tapi kebiasaannya
sekitar 45-60 hari.

Pengeraman media cendawan
• Susun beg media cendawan di atas rak dalam ruang pemeraman cendawan secara menegak. Mulut beg
dibuka.  Cendawan pertama akan keluar 3-5 hari selepas penutup beg dibuka.
• kelembapan bandingan udara 80-90%.  Air perlu disembur ke dinding, lantai dan beg cendawan pagi
dan petang bagi meningkatkan kelembapan dan merendahkan suhu.

Pengawalan perosak dan penyakit
• Kulat Neurospora sp. biasanya menyerang pertumbuhan cendawan di peringkat awal.  Buang dan
musnahkan beg-beg yang diserang.  Bersihkan persekitaran rumah cendawan daripada rumpai dan
sampah sarap.  Rak dan ruang disembur dengan larutan Dettol 10%.
• Serangan bakteria dapat dikenalpasti apabila batang dan kelopak cendawan berwarna perang dan
berlendir.  Ia boleh dikawal dengan mencabut tangkai cendawan semasa mengutip hasil, dan
kurangkan siraman air serta perbaiki pengudaraan.
• Serangan serangga perosak dapat dielakkan dengan memasang jaring di sekeliling rumah cendawan. 
Bagi mengawal serangan lipas, semut dan tikus, gunakan racun berbentuk umpan atau perangkap untuk
mengelakkan pencemaran racun terhadap cendawan.

Memungut hasil
• Buka mulut beg media cendawan setelah pemeraman selama 45-60 hari dan miselium memenuhi keseluruh
beg media. Cendawan perlu dicabut segera sebelum ianya pecah dan berbau lebih kuat.

Pengendalian lepas tuai
• Leraikan cendawan, buangkan cendawan yang terbantut pembesarannya dan cendawan yang cacat. Kerat
pangkal tangkai cendawan dengan pisau atau gunting.  Susun dalam plastik secara satu hala. 
Cendawan  diisi ke dalam beg plastik atau bakul jika hendak dijual dalam masa sehari.  Beg
plastik yang digunakan tidak perlu ditutup rapat (jika ditutup rapat, ia akan berwap dan
merosakkan cendawan).

Cendawan Shiitake begitu popular dalam industri makanan. Cendawan ini dijadikan ramuan dan perasa bagi pelbagai jenis makanan seperti nasi goreng, sup, burger dan sebagainya. Menurut kajian yang dijalankan oleh penyelidik cendawan di Jepun, cendawan shiitake mengandungi lebih kurang 50 jenis enzim baik untuk kesihatan manusia. Tambahan pula cendawan ini tidak mengandungi gula, kanji, lemak dan kolestrol sebaliknya mengandungi fiber yang tinggi baik untuk sistem penghadaman. Pengusaha hasil pertanian perlu menyokong penanaman cendawan shiitake di Malaysia sehingga mampu membekalkan cendawan shiitake sendiri tanpa mengimport dari negara luar.

Kongsikan!
This entry was posted in Cendawan and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply