DUKUNG ANAK


Dukung Anak (Phyllanthus niruri) adalah sejenis tumbuhan jenis herba yang termasuk dalam family Eurphorbiaceae.Tumbuhan ini mempunyai lebih dari 500 spesis didapati mudah tumbuh dikawasan yang tanahnya agak keras di Malaysia seperti dicelah retakan simen. Juga boleh didapati di kawasan kebun-kebun sayur dan tanah terbiar.Daun pokok ini adalah dari jenis majmuk bipinat , daunnya kecil berwarna hijau yang agak gelap dan tersusun berselang seli dengan jarak lebih kurang 6-10mm. Ia adalah jenis herba tahunan(annual) dengan ketinggian lebih kurang 30-60 cm dan mempunyai bunga yang berwarna putih kekuningan dan satu tangkai bunga mempunya bunga-bunga kecil yang banyak .

Tumbuhan Dukung Anak didakwa merupakan salah satu daripada penawar herba paling berguna dan serba mujarab untuk melegakan sakit, membantu tubuh melawan demam sejuk dan selsema, menghapuskan batu karang (batu buah pinggang dan batu hempedu) serta mempercepat penyembuhan daripada hepatitis dan jaundis (sakit kuning). Maka, herba ini kini digunakan untuk menangani beberapa masalah yang sukar dirawati dengan kaedah perubatan moden.

Penanaman dukung anak dibiakkan dengan menggunakan biji benih kerana ia mudah diperolehi daripada pokok matang. Bagi tujuan penyediaan tanaman untuk pengeluaran biji benih, batas tanaman hendaklah disungkupkan dengan lapisan plastik. Penyedut hampagas (vacuum) boleh digunakan untuk menyedut benih yang luruh dan terkumpul di permukaan plastik. Aktiviti ini dilakukan sebelum aktiviti penuaian tanaman dijalankan. Biji benih yang dikumpul, dibersihkan daripada bahan asing dan dikeringkan dengan menjemur selama 2-3 hari.

Lazimnya petani komersil akan melakukan kerja penyemaian yang boleh dilakukan dengan menggunakan set dulang menyemai stirofom. Penyiraman hendaklah secara sederhana supaya tidak terlampau kering atau basah, bagi memastikan anak benih tumbuh dengan baik. Anak benih mula bercambah selepas 5 hari penyemaian. Anak benih ini sedia untuk dipindahkan ke dulang penanaman 7 hari kemudian. Ketinggian anak benih pada masa ini dalam lingkungan 10-15 cm. Bagi memastikan pertumbuhan di ladang baik serta seragam, elakkan menanam anak benih yang kurang subur atau dijangkiti penyakit dan yang diserang musuh perosak.

Penyediaan tanah dan batas tanaman adalah penting untuk menanam dukung anak. Dukung anak juga sensitif terhadap air bertakung. Justeru itu, sebaik-baiknya tanaman ini ditanam di atas batas dan lebar batas bergantung kepada sistem atau cara penanaman. Bagi batas berukuran 120 cm lebar, 4 baris penanaman boleh diamalkan dengan jarak 30 cm di antara baris. Ketinggian batas bergantung kepada sistem saliran kawasan penanaman.

Bagi tanah bris, ketinggian batas yang disyorkan ialah 25-30 cm. Sebelum pemasangan sungkupan plastik, pita titis hendaklah dipasang di setiap barisan tanaman. Pemasangan sungkupan plastik penting bagi memastikan produk tanaman yang dihasilkan tidak mudah tercemar dengan tanah atau pasir diperingkat penuaian. Dukung anak dituai dengan memotong keseluruhan tanaman pada aras tanah. Jarak tanaman yang disyorkan ialah 30 cm x 20cm dan akan menghasilkan populasi tanaman sebanyak 83,000 pokok/ha. Lazimnya ia ditanam secara berperingkat untuk aktiviti penuaian yang juga berperingkat mengikut kehendak pasaran dan keadaan cuaca.

Kadar pembajaan bergantung kepada jenis tanah. Bagi tanah aluvium dan tanah gambut, penggunaan baja organik seperti najis ayam sudah mencukupi. Bagi tanah berpasir seperti tanah bris, selain baja organik najis ayam, baja separa organik seperti N:P:K:10:10:10 juga diperlukan. Dukung anak merupakan tanaman jangka pendek (tempoh tanaman hanya 8-10 minggu), oleh itu kesemua baja diberi sebelum menanam. Kedua-dua jenis baja (baja organik dan separa organik) diberi dengan menggaulkannya rata sedalam 10 cm di permukaan batas seharj sebelum sungkupan plastik dipasang. Kadar baja yang disyorkan mengikut jenis tanah.


Aktiviti kawalan rumpai dilakukan mengikut jadual. Masalah rumpai di batas penanaman boleh dielakkan dengan menggunakan sungkupan plastik. Sungkupan plastik hendaklah dipasang dengan menutupi keseluruhan batas sebaik sahaja pemberian baja dan pemasangan pita titis. Selain untuk pengawalan rumpai, pengumpulan sungkupan juga boleh memastikan bahan tanaman yang dituai tidak tercemar dengan pasir, tanah atau bahan organik seperti rumpai. Selain itu, penggunaan sungkupan plastik pantul cahaya seperti ini juga boleh membantu mengelakkan serangan kutu daun (aphids). Dalam teknik pengurusan air dokong anak seperti juga tanaman lain, memerlukan pemberian air yang optimum untuk pertumbuhan yang terbaik. Kekurangan air boleh menjejaskan pengambilan zat makanan dan membantutkan pertumbuhan vegetatif. Sebaliknya, pemberian air yang berlebihan pula boleh menjejaskan pertumbuhan. Penjagaan tanaman dukung anak walaupun nampak mudah tetapi perlukan kemahiran penanam.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Dukung Anak and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply