SOP Penanaman Cili Padi secara Fertigasi berasaskan Tanah

Penanaman secara fertigasi berasaskan tanah, usahawan tani dapat meningkatkan prestasi pertumbuhan dan hasil tanaman dengan kos pembajaan yang minimum.

Penanaman cili padi menggunakan kaedah fertigasi berasaskan tanah telah terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil cili padi.

Kaedah penanaman secara fertigasi berasaskan tanah ini sesuai untuk pengusaha yang ingin meningkatkan hasil tanaman, tetapi menghadapi kekangan modal untuk menggunakan sistem fertigasi sepenuhnya.

Berikut kami kongikan SOP penanaman cili padi secara fertigasi berasaskan tanah:

1. Penyediaan tanah

Kawasan projek perlu dibersihkan, dibajak dan digemburkan. Saiz batas yang sesuai adalah berukuran 1 m lebar dan 20 – 30 cm tinggi. Jarak di antara batas yang disyorkan ialah 2’ manakala jarak di antara tanaman ialah 1.5’ dan disusun sebaris bagi memudahkan kerja pengurusan tanaman. Pengapuran dijalankan 2 minggu sebelum kerja pemindahan anak benih dijalankan. Kadar pengapuran adalah mengikut jenis tanah. Manakala tinja ayam proses digunakan sebagai baja asas.

2. Pemasangan sistem pengairan.

Sistem fertigasi berasaskan tanah melibatkan peralatan lengkap seperti tangki air baja (900 gelen), pam air dengan kuasa 2.5 hp, penapis, injap dan paip poli serta pita penitis yang berfungsi membawa larutan nutrien ke setiap tanaman. Pita penitis akan diletakkan di atas batas dengan setiap pokok akan mendapat satu lubang saluran air nutrient.

3. Penyediaan dan pemindahan anak benih

Biji benih cili padi disemai di dalam dulang semaian dengan menggunakan peat moss sebagai medium semaian. Biji benih akan bercambah dalam masa 5 – 7 hari dan dialihkan ke dalam rumah semaian. Anak benih cili padi akan dipindahkan ke ladang setelah berusia 21 hari. Proses memindahkan anak benih hendaklah dijalankan pada sebelah petang (5 petang ke atas) bagi mengelakkan anak benih terkena kejutan cuaca panas serta suasana sejuk pada waktu malam akan mempercepatkan proses pemulihan anak benih akibat daripada kesan pemindahan.

4. Kaedah pembajaan

Tanaman cili padi memerlukan larutan nutrien dengan kepekatan yang tertentu di beberapa peringkat pembesaran. Kepekatan larutan nutrien diukur menggunakan meter konduktiviti elektrik (EC). Penentuan EC mesti dilakukan setiap kali bancuhan dibuat atau apabila pertukaran EC diperlukan sekurang-kurangnya sekali seminggu. Unit ukuran konduktiviti elektrik ialah ?S. Tahap kepekatan yang diperlukan bagi kebanyakan tumbuhan adalah antara EC 1.5 – 4.0. Bagi tanaman cili padi, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 – 2.4.

5. Kawalan penyakit dan serangga perosak

Antara serangga perosak utama tanaman cili padi ialah lalat putih (Bemisia tabaci), afid (Aphis gossypii), kutu trip (Thrips sp.), hamama (Polyphagotarsonemus latus), ulat ratus (Spodoptera sp.) dan ulat pengorek buah (Helicoverpa armigera). Manakala penyakit yang sering menyerang tanaman cili padi ialah lecuh anak benih, bintik daun Cercospora, hawar pucuk dan layu bakteria.

6. Penuaian hasil

Tuaian pertama bagi cili padi adalah sekitar 90 hari selepas mengubah. Kutipan hasil dilakukan selang 3 hari di peringkat awal dan setiap hari pada peringkat puncak. Prestasi hasil yang perlu dicapai oleh pengusaha ialah 1.74 kg sepokok bagi cili padi.

Fertigasi cili padi berasaskan tanah
ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Cili padi, Fertigasi and tagged , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply