SOP Tanaman Integrasi Fertigasi

Penanaman sayur-sayuran secara fertigasi di struktur pelindung hujan (SPH) telah terbukti berkesan dalam meningkatkan pertumbuhan dan hasil tanaman.

Kos pembinaan SPH yang tinggi merupakan punca utama kurang pengusaha menjalankan penanaman sayur-sayuran seperti cili di bawah SPH.

Kos pembinaan SPH dengan jaring kalis serangga berukuran 20’ x 100’ pun sudah menelan peruntukkan sebanyak RM 13 ribu tunai.

Bilangan pokok yang terhad yang boleh ditanam di bawah SPH dan kos pembinaan yang tinggi menjadikan pengusaha memilih untuk menanam secara fertigasi terbuka.

Bagi SPH 20’ X 100’ hanya mampu memuatkan 264 polibeg manakala rockmelon pula 500 polibeg.

Walau bagaimanapun, tanaman cili secara fertigasi terbuka sering menghadapi masalah penyakit terutamanya apabila musim hujan.

Penanaman secara intensif dan integrasi cili dan sayur daun dapat memaksimumkan penggunaan ruang di bawah SPH.

Penanaman secara integrasi juga dapat menjana pendapatan tambahan kepada pengusaha sekali gus dapat mempercepat tempoh pulangan modal pembinaan infrastruktur utama iaitu struktur pelindung hujan.

Berikut kami sharekan SOP Penanaman integrasi sayuran cili dan daun secara fertigasi di bawah struktur pelindung hujan.

1. Pemasangan sistem pengairan fertigasi. Dua sistem pengairan fertigasi yang berlainan diperlukan bagi projek integrasi ini. Ini kerana keperluan baja untuk tanaman cili dan sayuran daun adalah berlainan.

2. Penyediaan dan memindahkan anak benih. Penanaman integrasi cili dan sayuran daun secara fertigasi dapat dimulakan dengan penyemaian biji benih sayur daun. Selepas sayur daun dipindahkan ke dalam polibeg, penyemaian biji benih cili dilakukan. Ini supaya anak pokok sayur daun mendapat cahaya secukupnya untuk pertumbuhan awal sebelum anak pokok cili dipindahkan ke dalam polibeg. Jenis sayuran daun yang sesuai diintegrasikan bersama tanaman cili di bawah struktur pelindung hujan ialah tanaman yang mempunyai jangka hayat atau tempoh tuaian kurang daripada 75 hari seperti kucai, kubis, kubis bunga, sawi, kailan dan ulam-ulaman.

3. Pengurusan tanaman. Bagi tanaman cili, EC yang disyorkan adalah antara 1.8 – 2.4. Selepas selesai kerja memindahkan anak pokok ke batas, anak pokok cili perlu diberi air kosong. Selepas tempoh 24 jam anak pokok cili diberikan larutan baja dengan kepekatan 1.8 ?S sehingga berusia 3 minggu. Selepas 3 minggu, kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0 – 2.4 ?S sehingga tamat musim penanaman. Manakala bagi sayur daun pula, larutan baja dengan kepekatan 1.2 ?S diberi pada minggu pertama dan kepekatan baja dinaikkan menjadi 2.0 ?S bermula minggu kedua sehingga tuaian. Tempoh dan kekerapan titisan larutan baja bergantung pada usia dan peringkat pertumbuhan pokok.

4. Kawalan penyakit dan serangga perosak cili dan sayuran daun. Antara serangga perosak utama tanaman cili padi ialah lalat putih (Bemisia tabaci), afid (Aphis gossypii), kutu trip (Thrips sp.), hamama (Polyphagotarsonemus latus), ulat ratus (Spodoptera sp.) dan ulat pengorek buah (Helicoverpa armigera). Manakala penyakit yang sering menyerang tanaman cili ialah lecuh anak benih, bintik daun Cercospora, hawar pucuk dan layu bakteria. Antara serangga perosak yang sering menyerang tanaman sayur daun seperti kubis, sawi, kailan, kubis bunga ialah ulat plutella (Plutella xylotella Linn), ulat pangkas (Agrotis ypsilon), ulat ratus (Spodoptera litura) dan ‘webworm’ kubis (Hellula undalis F.). Tanaman sayur daun seperti ini juga sering menghadapi masalah serangan penyakit seperti reput lembut (Erwinia carotovora), akar tongkol (Plasmodiophora brassicae), bintik daun (Cercospora spp.) dan reput hitam (Xanthomonas campestris).

5. Penuaian hasil. Bagi tanaman cili, tuaian pertama boleh dilakukan sekitar 75 hari selepas mengubah anak benih ke polibeg. Manakala tempoh tuaian sayur daun yang sesuai diintegrasikan adalah kurang daripada 75 hari. Bagi setiap satu musim penanaman cili, sebanyak 2 – 3 musim penanaman sayur daun dapat dilakukan bergantung kepada jenis tanaman.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Fertigasi and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply