Famili : Polygonaceae
Genus : Persicaria
Spesies : P. Odorata
PENGENALAN
Pokok daun kesum adalah antara tumbuhan herba yang paling mudah untuk ditanam, cepat bercambah dan mudah dijaga Ini kerana ia hanya memerlukan kawasan yang lembap dan berair serta sedikit cahaya matahari.
Tumbuhan herba ini berasal dari kawasan Asia Tenggara(Malaysia, Indonesia, Vietnam, Thailand) dan ia tumbuh subur di kawasan yang lembap dan berair di tepi parit dan sekitar tasik. Di Malaysia, biasanya kita akan menanam daun kesum di dalam pasu, tong dan bekas plastik terpakai dan menggunakan apa jua jenis tanah yang boleh menampung kelembapan tanah. Batang daun kesum perlu di rendam di dalam air sehingga tumbuh akar serabut dan akhirnya di pindahkan ke dalam tanah yang lembap.
Daun kesum adalah bahan utama bagi masakan laksa, asam pedas dan nasi kerabu kerana ianya membangkitkan rasa enak masakan ditambah dengan aroma yang menyelerakan. Selain itu, pokok daun kesum boleh dijadikan sebagai pokok hiasan di balkoni rumah dan boleh dijadikan sebagai sumber aromaterapi.Bagi pengamal perubatan herba, daun kesum digunakan sebagai ubat untuk mengatasi masalah kesihatan.
MORFOLOGI KESUM
Pokok kesum adalah tumbuhan renek yang berketinggian lebih kurang 30 cm. Daun bersaiz kecil , panjang (5-7 cm) dan runcing berwarna hijau serta mempunyai batang bersilinder berwarna kemerah-merahan. Batang pokok kesum ini mempunyai buku dan ruas yang pendek untuk senang berakar. Ianya mempunyai bunga yang berwarna keungguan.
Terdapat 2 jenis daun kesum iaitu jenis menjalar dan jenis menegak.. Daun kesum jenis merayap mempunyai daun yang agak kecil dan agak lembut untuk dijadikan ulam manakala daun kesum jenis menegak mempunyai daun yang agak lebar dan agak kesat. Kedua dua jenis daun kesum ini mengeluarkan aroma yang wangi. Bagi penanaman secara komersial, jenis daun yang menegak lebih sesuai kerana memudahkan pengurusan ladang dan penuaian (Mardi, 2005)
KAEDAH PENANAMAN
Pokok daun kesum sesuai di tanam pada apa jua jenis tanah jenis mineral atau tanah gambut asalkan ianya mempunyai sistem pengairan yang baik kerana kadar pertumbuhan daun kesum bergantung kepada kelembapan tanah. Pengusaha atau petani secara komersial biasanya menggunakan sprinkler (sistem pengairan renjis) bagi menyiram tumbuhan ini.
Tanah perlulah digembur dan dibaja bagi mendapatkan kadar kelembapan tanah yang baik. Biasanya pengusaha menggunakan sistem dua baris (double avenue)dimana satu batas mempunyai 2 baris yang mempunyai jarak 25 cm antara pokok kesum. Jarak antara 2 batas pokok pula adalah sebanyak 55 cm. Racun rumpai seperti Alachor (Lasso) perlulah disembur di sekitar batas sebelum penanaman bagi mencegah rumpai daripada tumbuh.
Pokok kesum boleh membiak melalui keratan batang dimana ianya perlu direndam di dalam campuran air dan hormone penggalak akar selama 3 atau 7 hari sehingga akar kesum bercambah. Setelah itu, keratan batang ini akan ditanam di atas batas.
Pengairan air sangat kritikal pada bulan pertama pertumbuhan. Pengusaha perlu memastikan bahawa tanaman ini mendapat sumber air yang tinggi. Penanaman di musim hujan adalah digalakan. Bagi memperoleh pertumbuhan dan hasil yang tinggi, pengusaha menggunakan baja urea dan baja NPK (15:15:15) masing masing pada kadar 300kg/ha dan 100kg/ha. Baja ditabur diantara baris kesum pada minggu ke-4, ke-8 dan ke-12.
Tempoh matang daun kesum pada umur 16 hingga 18 minggu dimana kadar pertumbuhan pesat ini bergantung kepada jumlah kelembapan tanah dan pembajaan. Seorang pengusaha daun kesum dari Terengganu, Mohamad Ngah 59 tahun (bekas pemandu bas) telah menceburkan diri dalam penanaman daun kesum secara komersial dengan menjana pendapatan sebanyak RM 3000 sebulan di atas 30 batas pokok kesum sepanjang 30 meter. Daun kesum diikat dan dijual dengan harga RM 1 di Pasar Borong Wakaf Mempelam(Kosmo Online, 2012)
SERANGGA DAN PENYAKIT
Antara serangga yang sering menyerang pokok kesum ialah kutu trip dan afid dimana serangga perosak ini akan memakan daun dan menyebabkan daun kesum menjadi kecil, berlubang – lubang dan rosak. Penggunaan racun serangga seperti dimethoate boleh mengawal kehadiran perosak ini. Racun kulat jenis kuprum pula boleh mengawal kulat yang sering menyerang pangkal pokok menyebabkan pangkal pokok ini membusuk dan kering. Akan tetapi, sistem pengurusan ladang yang baik dapat mengurangkan risiko serangan makhluk perosak dan penyakit.
KEGUNAAN & KHASIAT
Daun kesum kaya dengan pelbagai nutrien seperti beta kerotena, Vitamin A dan C serta bahan galian (kalium, kalsium dan fosforus). Ekstrak daun kesum juga boleh menghasilkan minyak pati yang mengandungi bahan kimia ‘aliphatic aldehyde’ dimana komponen kimia utama ialah decanal dan dedocanal. Bahan penting ini telah menyumbang kepada industry perisa dan wangian.
Nenek moyang kita menggunakan daun kesum bagi mengawal dan mengurangkan kelemumur dengan melumurkan daun kesum yang telah dilumatkan pada kulit kepala. Selain itu, ia juga membantu dalam proses pencernaan dimana ia meransang dan melawaskan pembuangan air kecil dan air besar. Daun kesum tersebut perlulah di rebus dan airnya di minum.
Bagi sesetengah kepercayaan, daun kesum bukan hanya digunakan dalam masakan, malah ia dijadikan ulam ulaman bagi proses awet muda dan menguatkan tenaga batin. Seorang warga emas dari Marang Terengganu, Pok Nor berkongsi rahsia awet muda dan poligami. Beliau memakan pucuk daun kesum dan pucuk ubi selama 50 tahun sebagai hidangan sampingan bagi mengekalkan stamina tubuh dan kelihatan seperti orang muda (Harian Metro, 2011)
- Mulakan Projek Pertanian Musim Covid - May 27, 2021
- Apakah itu Baja Fertigasi? - January 14, 2021
- SOP Tanaman Integrasi Fertigasi - September 29, 2020