Siri Herba Malaysia – Pegaga

Oleh: Noraidah Saiaan

Famili : Umbelliferae
Genus : Centella
Spesies : Centella asiatica /
Hydro asiatica

Pegaga1

PENGENALAN

Apabila terkenangkan arwah ibu ku, terus mengingatkan aku tentang penjagaan kecantikan, awet muda dan diet. Ibu ku semasa hidupnya adalah insan yang kelihatan muda walaupun pada ketika itu umurnya telah mencecah umur 64 tahun. Rahsianya adalah ibu seringkali menjadikan daun pegaga sebagai ulam dan juga minum air rebus pegaga (jus pegaga) untuk mengurangkan tekanan darah tinggi yang dihadapinya. Petua ini diamalkan ibu ku sejak berusia 15 tahun lagi. Ulam kecil yang berwarna hijau ini sangat berjasa kepada arwah ibu ku sepanjang usianya.

Pegaga2

Pegaga adalah sejenis tumbuhan herba yang paling mudah untuk tumbuh dan senang untuk dijaga. Terdapat 3 jenis pegaga utama di Malaysia iaitu pegaga salad, pegaga kerinting dan pegaga ubi (pegaga biasa). Pegaga berasal dari Asia(China, India, Sri Lanka dan Madagaskar) dan kemudian ditanam ke Asia Tenggara (Malaysia, Indonesia dan Indo-China). Tumbuhan menjalar ini boleh ditemui di sekitar paya, parit dan sawah dan kebanyakkan penduduk ada juga menanam pegaga secara komersial di atas tanah atau menggunakan sistem hidroponik.

Kadar khasiat yang tinggi terkandung di dalam daun pegaga telah menyebabkan tumbuhan ini sebagai ulam ulaman dikalangan bangsa melayu, minuman penyejuk badan oleh bangsa cina dan tonik kecerdasan minda oleh masyarakat India.

MORFOLOGI PEGAGA

Pegaga adalah tumbuhan renek dan bersaiz kecil yang mudah tumbuh di atas apa jua jenis tanah. Tumbuhan herba ini mempuyai daun yang berwarna hijau dan mempunyai tangkai yang panjang. Daun pegaga berbentuk otak atau ginjal diantara 3 hingga 5 cm, licin dan berlekuk lekuk di bahagian tepi daun. Tangkai daun pegaga boleh mencecah 15 cm bergantung kepada jenis pegaga. Di pangkal tangkai pegaga ada akar serabut yang membantu memegang tanah . Di celah celah 2 hingga 3 kuntum daun pegaga akan tumbuh bunga yang berwarna putih atau merah jambu. Bunga pegaga ini kecil berbentuk pipih dan kelihatan seperti biji cili.

KAEDAH PENANAMAN

Pegaga sesuai di tanam pada apa jua jenis tanah terutama tanah yang mempunyai tekstur dari lom berpasir ke liat berpasir (Mardi, 2005). Bagi pekebun yang menanam pegaga secara komersial, kawasan kebun perlulah digembur bagi mengingkatkan kadar mineral tanah. Semasa proses pengemburan tanah, racun Metolachor sesuai disembur di permukaan tanah bagi mengelakan percambahan rumpai. Tanah juga boleh digaul dengan baja organik iaitu baja najis ayam yang telah reput dan juga baja (Comphelemus 8-8-8-3) pada kadar 8.5 t/ha pada 3 hingga 4 hari sebelum menanam pegaga.

Penanaman pegaga tidak memerlukan kawasan yang luas. Ini kerana jarak antara 2 batas pegaga adalah 20 cm dan jarak antara pegaga yang hendak di tanam pada 1 batas adalah 20 cm sahaja. Tinggi setiap batas hanya 1.5 m dan lebar permukaan batas hanya 1 hingga 1.2 m. Ini memudahkan pekebun untuk menyiram tanam dan penyiram secara renjis (sprinkler) sesuai di gunakan untuk tanaman ini.

Pegaga boleh dibiakan melalui daun, batang dan akar dimana ianya boleh terus disemai di atas batas tanpa perlu disemai di dalam rumah semaian. Cuaca yang panas dan penyiram yang berterus pada 2 minggu pertama selepas penanaman adalah faktor paling kritikal. Penyiraman secara manual perlu diusahakan dan tidak boleh terlalu bergantung kepada sprinkler sekiranya hujan tidak turun pada ketika itu.

Selepas 2 minggu penanaman, penyiraman pokok boleh dikurangkan kepada 2 hingga 3 hari sekali dan baja tak organic seperti NPK 16:16:16 atau NPK 15:15:15 boleh diberikan pada kadar 250 kg/ha. Pegaga boleh dituai pada hari ke 80 atau 90 di mana keseluruhan pokok dan akar akan dicabut dari tanah. Pengeluaran hasil bergantung kepada keadaan cuaca, baja dan pengairan. Pengeluaran hasil basah pegaga bagi keluasan satu hektar tanah boleh mencapai 25.7 tan/ha (Mardi, 2005). Seorang pengusaha pegaga dari Perlis, En Din Saman, 66 tahun telah membuktikan penanaman pegaga di tanah seluas 1 hektar telah menjana pendapatan keluarganya sehingga RM30000 setahun dan RM 2000 sebulan secara purata (Harian Metro, 2009). Tumbuhan herba ini bukan sahaja berjasa sebagai sumber makanan tetapi ia juga memberikan sumber kewangan kepada pengusaha yang rajin berusaha berbakti kepada tanah.

SERANGGA DAN PENYAKIT

Tiada sebarang penyakit serius yang melanda tumbuhan pegaga selain dari penyakit reput akar, (Sclerotia sp) ini terjadi sekiranyakelembapan kawasan tinggi terutama musim hujan melanda kawasan kebun semasa tempoh matang pokok ini. Racun benomyl (Benlate) boleh disembur pada pokok bag I mengawal penyakit ini. Selain itu, Penyakit layu bakteria disebabkan oleh Ralstonia solanacearum biasanya akan menyerang pokok pegaga, dan sekiranya perkara ini terjadi, pengusaha boleh mencabut pokok yang rosak bagi mengelakan jangkitan kepada pokok pokok yang lain. Antara serangga yang sering kelihatan di pokok pegaga adalah lelompat daun dan lalat putih dan racun imidacloprid boleh digunakan bagi mengawal serangga ini.

KEGUNAAN & KHASIAT

Pegaga mengandungi seribu satu khasiat yang tersembunyi di antaranya ialah Vitamin A, Vitamin C dan Zat Besi. Nutrien yang berkhasiat ini bukan sahaja dijadikan makanan, minuman dan ulam ulaman malah ekstrak pegaga dijadikan krim kecantikan, sabun dan juga balm (ubat sapuan berherba).

Secara ringkasnya, pegaga berkhasiat dalam mengawal tekanan darah tinggi, membersihkan darah dan menghasilkan kulit yang sihat (penggunaan sabun pegaga). Selain itu, ia boleh mengubati sistem saraf dan meredakan tekanan perasaan. Ekstrak kopi pegaga juga diminum bagi merawat penyakit hati dan masalah buah pinggang (Che Aniha Che Isahak, 2009).

Pegaga3

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Herba and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply