Siri Herba Malaysia – Pokok Kari

Famili : Rutaceae
Genus : Murraya
Spesies : Murrayya koeniggi
Nama lain : Daun kari (Malaysia), Kariveppilai, Kari-Kari, Veppu-neem, Daun
Ilai (Tamil), Curry leaves (Inggeris)

khasiat-pokok-kari-3

PENGENALAN

Daun kari adalah tanam yang tidak dijumpai di kedai atau dipasar raya kerana tanaman herba ini biasanya ditanam di keliling rumah dan juga dijadikan tanaman hiasan. Daun kari sangat sinonim dengan masakan masyarakat India yang menjadikan ia sebagai bahan rempah bagi meningkatkan bau masakan apabila digoreng bersama bawang dan bahan penumis yang lain. Selain masakan kari, ianya dicampur untuk masakan rasam, chutney dan muruku.

Asal usul pokok kari dikenalpasti dari India dan Sri Lanka dan ianya tumbuhan herba yang lasak serta boleh hidup subur dalam pelbagai keadaan cuaca. Malah rakyat Malaysia yang bekerja diluar negara telah menanam pokok kari di bawah cuaca sejuk dan terbukti ianya boleh hidup subur. Tanah yang subur, kaya dengan sumber mineral dan pengurusan tanaman (siraman dan pembajaan) adalah faktor pendorong bagi menghasilkan pokok kari yang sihat.

Daun “karipulaei” ini bukan sahaja digunakan dalam bidang masakan, malah ianya sangat digunakan sebagai penawar bagi merawat pelbagai jenis penyakit. Nutrisi yang terkandungi didalam 100g daun kari adalah seperti 66.3% kelembapan, 6.1% protein, 1.0% lemak, 16.% karbohidrat dan 6.4% fiber (Che Aniha Che Isahak, 2009).

MORFOLOGI POKOK KARI

Pokok kari adalah tumbuhan herba renek yang mempunyai batang berkayu berwarna coklat. Pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga 5.0 meter dan malah ianya boleh mencapai ketinggian maksimum sehingga 6.0 meter sekiranya tidak dicantas dahannya.

Tumbuhan ini mempunyai daun yang banyak dan bersifat majmuk pada ranting kecil. Ianya tumbuh berselang seli dan berbentuk bujur memanjang dan hujung menirus. Saiz sehelai daun diantara 2 hingga 4 cm panjang dan 1 hingga 2cm lebar. Ianya mempunyai aroma, berasa pahit dan pedas.

Bunga daun kari akan tumbuh di antara daun dimana ianya bersaiz kecil, warna putih kekuningan dan mempunyai 5 kelopak. Buahnya bersaiz seperti terung pipit; berwarna hijau ketika muda dan berwarna unggu dalam tempoh matang. Isi buahnya boleh dimakan dan terdapat biji benih kari yang berwarna hitam bersaiz kecil (Siti Fauziah Yusof, 2012)

100_6524

KAEDAH PENANAMAN

Pokok kari boleh dibiakkan melalui biji benih dan keratan batang. Anak benih akan disemai di tray semaian dan siraman dilakukan dengan kerap. Keratan batang anak pokok yang tumbuh dari pokok kari dewasa boleh diambil bersama akar lalu ditanam di dalam polibeg. Dalam masa tiga minggu, anak pucuk muda akan tumbuh subur dan berwarna hijau pucuk muda.

Selain itu, terdapat banyak nurseri tanaman menjual anak pokok kari dalam polibeg polibeg kecil dan anak pucuk kari ini berumur sebulan dari tempoh semaian. Anak pokok kari ini boleh dipindahkan ke tanah yang telah digembur dan dibaja dengan baja tanaman yang sesuai. Disyorkan agar pemindahan anak pokok kari dilakukan pada waktu petang bagi meminimakan pendedahan cahaya matahari bagi mengelakkan pokok menjadi layu dan kekeringan. Setelah anak pokok dipindahkan, pokok perlulah disiram bagi mempercepatkan percambahan anak pokok. Penggunaan racun yang sesuai boleh dilakukan sebulan sekali bagi mengawal rumpai dan serangan serangga perosak.

Dahan pokok kari perlulah dicantas bagi mengawal ketinggian dan mengalakan pertumbuhan pucuk baru. Pendedahan kepada cahaya matahari menggalakan pertumbuhan pucuk muda yang sentiasa mencari cahaya matahari untuk proses fotosintesis.

Oleh kerana tanaman herba ini jarang dijumpai di pasar maka adalah disyorkan agar ianya di tanam di sekeliling rumah. Daun pokok kari boleh dijual dipasar cuma ianya memerlukan penyimpanan dalam plastik bagi memastikan kesegaran. Ini kerana, daun kari yang telah dipetik akan cepat layu apabila terdedah kepada suhu yang tinggi.

SERANGGA DAN PENYAKIT

Serangga yang sering menyerang pokok kari ialah kumbang putih dimana ianya akan memakan pucuk muda dan menyebabkan daun menjadi rosak dan bergulung ditepi. Sekiranya perkara ini terjadi, bahagian yang terjejas perlu dibuang dan dibakar bagi mengelakan kumbang ini merosakan daun yang lain. Persekitaran pokok kari juga perlu dibersihkan dari sampah bagi memastikan tiada serangan serangga perosak yang lain.

KEGUNAAN & KHASIAT

Pucuk muda daun kari boleh dijadikan ulam dan salad (dijadikan kerabu). Rasa pedas dan pahit yang keluar dari daun kari menyebabkan rasa kerabu lebih sedap. Ia juga boleh digunakan oleh wanita mengandung bagi mengurangkan rasa mabuk dengan mencampurkan perahan daun bersama sesudu limau nipis.
Daun kari juga sangat berguna bagi mengatasi masalah kencing manis, penghadaman, merawat lemah saraf , masalah gigi dan tulang dimana dengan memakan 10 helai daun kari yang segar setiap hari. Selain itu, ia boleh digunakan sebagai penghalau lalat kerana bau daun kari sangat tidak digemari si lalat.
Nenek moyang kita menggunakan daun kari sebagai bahan bagi menghitamkan rambut dimana dengan mengeringkan daun kari lalu dijadikan tepung dan dicampur ke dalam air masak lalu diminum. Dengan izin tuhan, rambut akan kelihatan hitam berkilat.

ysuhaimi
Latest posts by ysuhaimi (see all)

About ysuhaimi

Penulis jemputan MYAGRI. Dikenali sebagai Dr Mut. Veteran Agronomist, Researcher dan Farmers yang sering menulis berkaitan tentang pertanian tepat guna.
This entry was posted in Herba and tagged , , , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply